Surat terbuka Mursyidul Am kepada pengundi Pendang dan Anak Bukit
Tuesday, July 16 @ 10:13:49 MYT


SURAT TERBUKA KEPADA PENGUNDI KAWASAN PARLIMEN PENDANG DAN DUN ANAK BUKIT
KEZALIMAN
Saya dahului ucapan dengan salam sejahtera kepada semua bakal pengundi.
Salam yang disertai dengan doa kesejahteraan ini saya dahulukan kerana
melihat suasana amalan Islam dan demokrasi yang semakin tertekan. Semuanya
angkara UMNO/BN. Dalam masjid tidak dibenarkan tazkirah.

Luar masjid pun tetap tidak dibenarkan ceramah. Akhbar dan majalah yang
mengkritik kerajaan digantung dan ditarik permit. Politik pelajar di
Universiti-universiti tempatan disekat. Melanggarnya dipecat. Anehnya, Kelab
UMNO dihalalkan pula untuk disertai pelajar-pelajar Malaysia dari luar
negara. Bahkan, duit pun turut disediakan. Saluran media, baik bercetak atau
radio dan TV hampir tidak langsung memberi ruang walau sebelah kaki untuk BA
mengemukakan pandangan. Sebarang perbezaan pendapat dituduh sebagai
pelampau, anti-pembangunan dan memusuhi negara Malaysia.
ANCAMAN ISA
Untuk menyempurnakan lagi penindasan, ISA digunakan. Ia menakutkan dan
memang munasabah ditakuti kerana terbukti dihalalkan kezaliman dengan
menggunakan instrumen undang-undang. Walaupun ia menyalahi demokrasi dan
Perlembagaan, ia tetap dikuatkuasakan. Sesiapa sahaja dari rakyat Malaysia
boleh menjadi mangsa pada bila-bila masa. Inilah nasib Malaysia yang
memiliki pemimpin ‘bertaraf dunia’, kononnya.
PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
Apakah nasib ini mustahil diubah? Tentunya tidak mustahil kerana kita ada
BA. Malaysia perlukan pembangkang yang kuat untuk mengembalikan Islam ke
landasan dan memulihkan demokrasi. Reformasi ummah dalam segenap aspek hanya
boleh diusahakan melalui pengukuhan saf pembangkang. Amerika tidak akan
bertindak sewenang-wenangnya ke atas Afghanistan dan Palestine jika ada satu
lagi kuasa besar dunia yang boleh mengimbangi kegelojohan mereka seperti
ketika adanya kuasa Rusia.
“Dan kalaulah Allah tidak menolak (persaingan) setengah manusia (yang ingkar
dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya
rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya
kepada sekalian alam.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 251)
Demikian juga dengan UMNO/BN. Memperkasakan pembangkang samalah seperti
menyekat kegelinciran Islam dan demokrasi dari terus berlaku. Sokongan
pengundi kepada calon PAS (BA) yang sekuat-kuatnya amat mustahak dibuat di
kedua-dua kerusi, Parlimen dan DUN. Cabaran mesti bersambut dan UMNO/BN
wajib dikalahkan.
HUDUD
Menyentuh tentang hudud, UMNO tidak jemu-jemu mengatakan bahawa Hudud ini
adalah Hudud PAS. Bila dicabar mana hudud UMNO, dia membisu sampai ke hari
ini. Tidak satu pun alasan yang tetap dan istiqamah. Kaji bukan main lama
(sejak tahun 1993). Sepatah draf pun tidak keluar. “Nak buat tapi tak nak
buat”. Punya berbelit, Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.
Dengan segala kesungguhan; Hudud yang dijelaskan dengan keikhlasan akan
meningkatkan kefahaman dan menjamin penerimaan. Saudara kita dari keturunan
Tionghua dan India boleh terima Hudud di Kelantan tanpa masalah. Merekalah
yang sepatutnya tidak takut kerana segala kekayaan mereka hampir terjamin.
Yang takutkan Hudud adalah pencuri, penzina, penyangak, pengkhianat agama,
bangsa dan negara; dan bukannya orang Cina. PAS boleh naik kerana Hudud.
Semua orang Islam sokong Hudud. Yang tidak sokong dan menakut-nakutkan orang
supaya menolak Hudud ialah orang UMNO. Kenapa hukuman gantung sampai mati
kerana kesalahan dadah tidak buat sibuk. Ramai isteri yang menjadi janda dan
anak yang menjadi yatim. Orang masih boleh menerima sedangkan jumlah mangsa
bukan sedikit. Hudud cuma kudung tangan. Itupun setelah menjalani proses
yang cukup teliti di Mahkamah. Dengan kudung, orang UMNO masih boleh
mengundi UMNO. Dengan kudung, orang tahu yang dia bekas pencuri. Dia akan
keluar masuk masjid, kedai dan pasar dengan menimbulkan kesedaran kepada
mereka yang bercita-cita mahu mencuri. Rugi apa. Kadar jenayah akan menurun.
Rakyat boleh tidur dengan nyenyak.
BAHASA
Dalam keadaan pentingnya Bahasa Inggeris diberikan tempat, saya percaya BA
mempunyai cara yang lebih berkesan. Langkah tergesa-gesa menjadikan Bahasa
tersebut sebagai Bahasa penghantar matapelajaran Sains dan Matematik mulai 1
Januari 2003 amat tidak masuk akal. Ia dibuat tanpa perancangan. Tanpa satu
tempoh peralihan yang munasabah, ia telah menjadi caca marba. Kita melihat
isu ini lebih kepada membebankan anak-anak kita di kawasan kampung dan
pendalaman. Tidak mustahil, langkah ini adalah hasil dari sabotaj mereka
yang tidak mahu melihat pelajar-pelajar bumiputera maju ke hadapan. Bagi
PAS, bahasa adalah anugerah daripada Allah S.W.T. baik Bahasa Inggeris atau
Bahasa Mandarin. Penggalakan yang selaras antara Bahasa
Malaysia dengan lain-lain bahasa etnik akan diberikan ruang yang selesa
untuk diamalkan. Kalaupun Bahasa Inggeris hendak diberikan tekanan, kita
akan pastikan satu pelan perancangan bagi pelaksanaan usaha tersebut berlaku
secara komprehensif dan teratur; bukan dengan kaedah yang terburu-buru.
PEMBANGUNAN
Pembangunan adalah tanggungjawab mana-mana parti yang memerintah Pusat. Jika
BN yang memerintah maka BN lah yang bertanggungjawab. Jika BA yang
memerintah, kita pulalah yang membuat pembangunan. Di Amerika Syarikat,
sekali Demokrat dan sekali Republikan. Di India, dulu Kongres, sekarang
Janata. Di Indonesia, dulu Golkar sekarang PDI. Semuanya berpunca dari undi.
Akhir kata, selamat mengundi. Pilihlah calon yang dapat mengembalikan Islam,
menentang kezaliman dan memulihkan demokrasi. Segala-galanya ada pada calon
yang kami kemukakan, InsyaAllah. Orang UMNO juga dijemput dengan segala
hormatnya untuk mengundi bulan. Bagi duit, halal. Bagi kain, pakai. Bagi
Kertas Undi, pangkah bulan. Apa salahnya!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Bertarikh: 3 Jamadil Awal 1423 / 14 Julai 2002
> ATTACHMENT part 2 application/x-microsoft-ole-object name=Picture



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Autos - Get free new car price quotes

Kirim email ke