PAS tidak panik tetapi BN resah dituduh pengganas
Wednesday, October 23 @ 10:52:01 MYT


Oleh Dr Hatta Ramli
Beberapa bulan yang lalu, penulis mendapat e-mail dari seorang intelek muda
yang sedang berada di US menyatakan bahawa sebuah buku yang ditulis mengenai
keganasan dan Al-Qaeda oleh seorang rakyat Sri Lanka telah berada di pasaran
dan hangat diperkatakan.

Antara perkara yang hendak diberitahu oleh beliau ialah adanya tercatit nama
PAS dan ABIM dalam senarai organisasi yang cuba dikaitkan dengan aktiviti
keganasan.
Rakan saya ini bercadang untuk mempertikai isi kandungan buku itu. Saya
hanya mengucapkan terima kasih bagi pihak PAS atas daya usaha beliau itu.
Bagi saya ketika itu sebarang usaha untuk memburukkan PAS adalah perkara
usang yang akan diperbaharui dari semasa ke semasa oleh orang-orang yang
berlainan.
Seorang pemimpin BN semasa berucap di depan masyarakat perniagaan di New
York dalam tahun 1998 telah memburukkan imej PAS dengan berbagai tuduhan
liar.
Dalam negara ini, musuh politik PAS menyamakan PAS dengan komunis. Yang lain
pula menakutkan masyarakat dengan mengaitkan PAS dengan Taliban. Jadi apa
yang ada dalam buku terbaru itu saya anggap sebagai cerita kitar semula yang
tidak memeranjatkan.
aya tidak mengatakan ianya tidak menjejaskan PAS, tetapi ianya ‘yet another
attempt to demonise PAS’.
Apa yang tidak diberitahu oleh rakan intelek saya itu ialah mengenai Barisan
Nasional yang turut dikaitkan dengan pengganas.
Jika saya dimaklumkan lebih awal, saya pasti mengkategorikan buku itu
sebagai karut. Apakah saya tidak percaya BN itu pengganas? Panjang
jawapannya.
Minggu lalu, cerita ini mendapat laporan muka depan hampir setiap akhbar
Malaysia. Puncanya ialah pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Perdana
Menteri mengenai laporan pasukan pemantau keganasan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) yang merujuk kepada bukan tulisan Dr. Rohan Gunaratna itu.
Penulis memahami kemarahan BN kerana PAS turut merasa marah setiap kali
dilabel pengganas termasuk oleh pemimpinan BN sendiri.
Menunjukkan rasa marah semata-mata tidak akan membawa kemana-mana.
Mengharamkan buku Inside Al Qaeda: Global Network of Terror itu juga
memberikan implikasi yang negatif kepada negara ini.
Ugutan mendakwa Dr. Gunaratna jika beliau masuk ke Malaysia jelas
menggambarkan betapa sempit dan singkatnya pemikiran BN.
Penulis tidak mahu memberikan terlalu banyak ‘mileage’ kepada penulis buku
yang ternyata jahil mengenai PAS dan suasana politik di Malaysia.
Apa yang lebih merisaukan saya ialah mengapa PBB memberikan kredibiliti yang
tinggi kepada isi buku itu sehingga mengambilnya sebagai kandungan dokumen
rasmi badan dunia itu. Apakah motifnya dan siapa dalang di belakangnya?
Laporan PBB itu nampaknya merupakan percubaan mengaitkan apa sahaja dan
siapa sahaja yang dipanggil Islam dan Muslim dengan keganasan. Ini termasuk
gerakan Islam, parti Islam dan negara umat Islam.
Orang yang ‘liberal’ dalam Islampun tidak terkecuali. Kesannya cukup besar
termasuk menjadikan negara umat Islam tidak stabil, dan menjauhkan orang
Islam dari penganut ugama lain.
Langkah terbaru PBB ke atas umat Islam ini memerlukan respons segera. Antara
yang perlu didahulukan sebelum lebih ramai penulis macam Gunaratna menulis,
ialah mendefinisikan ‘keganasan’ itu sendiri.
Setakat ini definisi yang tepat mengenai ‘keganasan’dan ‘pengganas’ agak
lambat diperolehi, mungkin kerana kekhuatiran sesetengah pihak bahawa jika
didefinisikan secara tepat, maka akan terserlah Zionis Israel sebagai
pengganas, Rusia mengganas di Chechnya, Sri Lanka mengganas terhadap
penduduk Tamil, IRA adalah pengganas, kerajaan autokratik adalah pengganas,
kerajaan yang menggunakan undang-undang untuk menekan saingan yang sah juga
pengganas dan berbagai lagi.
Mungkin juga akan disahkan bahawa MILF yang mengadakan siri sidang damai
dengan kerajaan Filipina bukan pengganas, bahawa rakyat Palestin yang
menuntut pembebasan wilayahnya bukan pengganas, dan pejuang Kashmir yang
menuntut pelaksanaan resolusi PBB juga bukan pengganas. Pembaca mungkin
mengesan kecendurangn penulis dalam membawa contoh-contoh di atas.
Tanpa definisi, tidak ada sesiapa yang boleh menafikan andaian ramai bahawa
yang menjadi serangan ‘perang terhadap pengganas’ ini ialah Islam, bukan
keganasan.
Jika tujuannya memerangi pengganas, Israellah yang patut dibom oleh Amerika
Syarikat (AS). Dalam kes Iraq, sikap berdolak dalik AS menunjukkan bahawa
minyak yang menjadi objektif permusuhannya dengan rakyat Iraq.
Lupakah kita bahawa Presiden Bush telah mengisytiharkan perang ‘crusade’
terhadap pengganas? Apakah beliau tersalah pilih perkataan? ‘Crusade’ adalah
perang salib antara orang Islam dan Kristian yang dikira telah tamat lama
dulu.
Bukan ada makna lain bagi perang ‘crusade’. Sebenarnya itulah niat Bush
walaupun beliau menarik balik perkataan itu.
Memasukkan Korea Utara antara musuh AS adalah lakonan semata-mata untuk
tidak dikatakan hanya memusuhi negara umat Islam (Iraq dan Iran).
Kunjungan pemimpin AS ke Pyongyang tidak menggambarkan mereka bermusuh.
Dengan negara umat Islam tidak pula semesra itu. Malah ancaman ke atas
Sudan, Yaman menambah lagi kesangsian kita.
Berbalik kepada PAS, musuh lamanya dalam politikpun akan mengakui bahawa PAS
adalah organisasi yang sah dan bergerak mengikut landasan demokrasi.
Tidak ada dalam sejarah PAS sebarang kecenderungan militan atau keganasan.
Malah PAS pernah bersama memerintah negara ini.
Tuduhan bahawa PAS ada hubungan ideologi dengan mana-mana pertubuhan Islam
yang lain bukan satu jenayah kerana pada dasarnya semua umat Islam mencari
keredhaan Allah SWT. Itu ideologi kita semua.
Apologetik
PAS tidak apologetik dalam hal ini. Manakala menganggap hubungan politik
juga sebagai bukti kita pengganas hanya akan memisahkan sokongan politik
seluruh dunia Islam kepada perjuangan sah rakyat Palestin menuntut
pembebasan tanahair mereka daripada cengkaman Israel. PAS juga tidak akan
meminta maaf dalam hal ini.
Langkah yang sebaiknya dalam menghadapi laporan PBB ini ialah gabungan
seluruh rakyat Malaysia, Islam atau yang berugama lain dalam dalam wadah
yang satu. Pihak berkuasa harus memelihara integriti negara, bukan hanya
menumpu kepada maruah BN.
Wakil tetap kita di PBB harus bersuara membersihkan imej negara bukan hanya
BN. Mungkin BN melenting kerana belum pernah berhadapan dengan tuduhan yang
begitu berat. Inilah pengajaran penting yang perlu di ambil oleh BN. Usaha
BN kononnya mahu memerangi keganasan di Malaysia tidak mendapat tempat di
hati AS.
Malah pemimpin BN dimalukan di bumi AS. Setelah sebegitu banyak Malaysia
menunjuk-nunjuk mahu bersama AS, yang kadang-kadang seperti kerbau dicucuk
hidung, akhirnya ini balasan kepada kita. Yang menjadi mangsa ialah
penentang BN yang sah.
BN juga harus belajar dari peristiwa ini agar tidak menggunakan kuasanya
untuk ‘mengganas’ rakyatnya sendiri. Selain pemimpin BN, rakyat tidak nampak
bersimpati kepada BN yang dituduh ganas, kerana sebahagian rakyat terasa
diganasi selama ini.
Tekanan atas gerakan reformasi dan cengkaman terhadap kebebasan bersuara dan
hak asasi memang tindakan ganas. Pemimpin BN juga berperangai luar biasa
apabila menyamakan PAS dengan komunis, dan mengaitkan PAS dengan Taliban.
Kini mereka terkiai-kiai mencari jawapan untuk melepaskan diri mereka.
PAS tetap menyokong perang terhadap keganasan yang ditaja oleh PBB. Namun
kami akan membantah sebarang cubaan untuk mengaitkan mana-mana organisasi
sebagai pengganas tanpa asas dan bukti.
Umat Islam di Malaysia dengan sokongan rakyat berbagai ugama perlu
mengujudkan kerjasama yang jitu bagi menafikan sebarang usaha melabelkan
Malaysia dan badan-badan yang sah sebagai pengganas.
> ATTACHMENT part 2 application/x-microsoft-ole-object name=Picture



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do you Yahoo!?
Y! Web Hosting - Let the expert host your web site

Kirim email ke