Kepada mereka yang ingin membantu sila
hubungi Ustaz Shaifudin 06-7911141 atau 013-3991359. Bantuan kewangan
boleh disalurkan melalui nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad
(Bank Islam) iaitu 05058010003417 atas nama Pusat Pendidikan Islam
Al-Irshad

Pelajar tahfiz hilang tempat tinggal
8 Jun 2013 

LABU - Seramai 20 pelajar Pusat
Pendidikan Islam Al-Irshad, di sini hilang tempat tinggal apabila
sebahagian blok menempatkan asrama pelajar berkenaan terlibat dalam
kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam
9.30 malam di Batu 10, Jalan Labu itu turut memusnahkan bilik
pengetua sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Shaifudin Maulup, 38,
bagaimanapun berkata, mujurlah tiada sesiapa di situ semasa kejadian
berlaku berikutan kesemua 45 pelajar maahad tahfiz terbabit sedang
bercuti sekolah.

“Ketika insiden berlaku, saya dan
pembantu tadbir, Mohd Ezairy Ujang, 37, pula sedang menghadiri satu
program ceramah keagamaan di Tampin sempena sambutan Israk Mikraj.

“Kami bergegas pulang selepas
dimaklumkan isteri saya yang juga guru besar Sekolah Rendah Tahfiz
Al-Quran Intergrasi Al-Irshad, Sharifah Norasyida Syed Nordin, 38,
tentang kebakaran tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di
sini, semalam. 

Menurut Shaifudin, sebaik sahaja tiba
di sekolah berkenaan sekitar jam 11.25 malam, pihaknya mendapati api
sudah pun dipadamkan oleh bomba, namun pelbagai kitab dan dokumen
penting hangus dijilat api.

“Justeru, kita akan berbincang dengan
ahli lembaga sekolah bagi mencari jalan menempatkan 20 pelajar lelaki
terbabit yang berusia antara 14 hingga 15 tahun.

“Bagaimanapun, perkara ini agak sukar
dilaksanakan memandangkan pihak sekolah sedang menghadapi masalah
kewangan untuk membaik pulih bangunan berusia 56 tahun itu,”
katanya. 

Mengulas tentang bantuan orang ramai
pula, Shaifudin berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sebarang
pertolongan atau derma bagi meringankan beban ditanggung .

“Orang ramai yang prihatin boleh
menghulurkan sumbangan kepada pihak sekolah di alamat Pusat
Pendidikan Islam Al-Irshad, Batu 10, Jalan Labu, 71900 Labu yang
boleh dihubungi melalui talian 06-7911141 atau 013-3991359.

“Selain itu, bantuan kewangan juga
boleh disalurkan melalui nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad
(Bank Islam) iaitu 05058010003417 atas nama Pusat Pendidikan Islam
Al-Irshad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Penolong
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran negeri, Jamaluddin Marawi
berkata, pihaknya segera ke tempat kejadian selepas menerima
panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 9.47 malam.

“Sebanyak dua jentera dari Balai
Bomba dan Penyelamat Nilai membabitkan 12 anggota dikejarkan ke
lokasi bagi menangani kebakaran tersebut.

“Selain itu, kita turut dibantu
jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dengan kekuatan
lapan anggota, di mana menyaksikan kebakaran berjaya dikawal dalam
tempoh lima minit dan dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian,”
katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pelajar-tahfiz-hilang-tempat-tinggal-1.168827
 

Kirim email ke