Black 505: Polis sedia beri kerjasama esok – Rafizi
KENYATAAN MEDIA PENGARAH STRATEGI KEADILAN

Mewakili  gerakan rakyat #black505 yang menganjurkan Himpunan Aman
#black505  Padang Merbok yang dijadualkan pada 22 Jun 2013, saya
mengalu-alukan  kenyataan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang
mengesahkan  bahawa pihak polis akan memberi sepenuh kerjasama untuk
memastikan  perhimpunan esok berjalan dengan aman.

Saya telah dimaklumkan  secara tidak rasmi bahawa pihak polis akan
membantu penganjuran  perhimpunan esok hari, selagi peserta tidak
memusnahkan harta awam.

Saya  merakamkan sepenuh penghargaan terutamanya kepada Ketua Polis
Daerah  Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang banyak membantu, termasuk
kesudian  beliau untuk duduk berbincang dengan saya dan rakan-rakan
Pakatan Rakyat  (walaupun terpaksa dibatalkan akhirnya).

Kesediaan polis memberi  kerjasama dan membantu penganjuran esok
disahkan oleh ASP Ananthan Rajoo  dari IPD Dang Wangi yang mengakui
telah menerima arahan atasan untuk  membantu, seperti yang dilaporkan
oleh laman FreeMalaysiaToday sebentar  tadi.

Pada masa yang sama, sekretariat penganjur telah duduk  berbincang
dengan pasukan perubatan sukarelawan untuk memperhalusi  persediaan
perubatan sokongan memandangkan keadaan udara yang  membimbangkan.

Saya mengambil pandangan bahawa sejumlah besar  orang ramai akan tetap
hadir untuk menyertai perhimpunan pada esok hari  tidak kira arahan yang
diberikan oleh pihak sekretariat. Oleh yang  demikian, keutamaan utama
sekretariat dan pasukan perubatan sukarela  adalah untuk memastikan
bantuan perubatan sokongan adalah memadai untuk  berhadapan dengan
sebarang masalah, termasuklah bersabit kualiti udara  yang tidak baik
akibat jerebu.

Langkah-langkah berikut akan  diambil oleh sekretariat dan pasukan
perubatan sukarelawan bagi  memastikan bantuan perubatan sokongan yang
memadai:

1. Satu  ibupejabat markas perubatan akan dibuka di Padang Merbok. 4
markas  perubatan sokongan akan turut dibuka di sekitar laluan di Kuala
Lumpur  ke arah Padang Merbok, iaitu di Dataran Merdeka, Masjid Negara,
Kompleks  Sogo dan Dataran Maybank.

2. Sebanyak 4 buah ambulan dan 5  motorsikal perubatan akan disediakan
sekiranya ada keperluan untuk  memindahkan pesakit terus ke hospital.
Petugas bermotosikal akan  memudahkan mereka bergegas ke kawasan yang
memerlukan sokongan.

3. Keseluruhan kekuatan tenaga perubatan adalah sebanyak 55 orang
termasuklah doktor, jururawat dan paramedik

4.  Setiap markas perubatan akan dibekalkan dengan "automated
external  defibrillator" atau AED bagi operasi menyelamatkan nyawa
(jika  diperlukan) dan ubat-ubatan/kemudahan "drip"  bagi tujuan
"advanced life  support" (ALS)

Orang ramai yang mempunyai apa-apa masalah  perubatan dan memerlukan
bantuan boleh menghantar SMS ke nombor 010 277  2072 dengan maklumat
berikut:

1. Bentuk kesukaran dan kecemasan (berapa orang yang terlibat di dalam
kecemasan)

2. Di mana kecemasan berlaku (pastikan lokasi yang tepat)

3. Siapa yang perlu dihubungi di tempat kecemasan dan nombor

Saya percaya segala perancangan telah dibuat untuk memastikan
perhimpunan #black505 Padang Merbok berjalan dengan aman.

Dengan  persediaan polis dan bantuan sukarelawan perubatan, saya
menggesa  seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turun berkumpul bermula
dari jam 12  tengahari esok. Sila bawa sekurang-kurangnya sapu tangan
dan air  mineral sebagai persiapan sekiranya masalah jerebu
berpanjangan.

RAFIZI RAMLI



Pengarah Strategi KEADILAN



Ahli Parlimen Pandan





21 JUN 2013

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=53617

Kirim email ke