INTISARI KITAB
Mau'izhatul Mu'minin min
"IHYA' ULUMIDDIN"
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)

Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du...
 
KITAB ADAB PERGAULAN, PERSAUDARAAN DAN PERSAHABATAN (4/15)
 
Hak persaudaraan dan persahabatan
        
      Ketahuilah bahwasanya saudaramu itu mempunyai bermacam-macam hak iaitu:
      (1)               Hak di bidang harta
      (2)               Hak memberikan bantuan dengan jiwa dan raga.
      (3)               Hak memelihara lidah dan hati
      (4)               Hak memelihara ucapan
      (5)               Hak pengampunan
      (6)               Hak mendoakan
      (7)               Hak menepati janji dan ikhlas diri
      (8)               Hak memberi kemudahan, meninggalkan bersusah payah atau
      menyusahkan.
       
      Hak-hak saudara ini berjumlah delapan kesemuanya. Berikut keterangan satu
      persatu:
       
      (1)               HAK DI BIDANG HARTA:
      Diriwayatkan dalam sebuah Hadis berbunyi:
       
      “Perumpamaan kedua saudara itu adalah seperti kedua tangan; yang satu
      membersihkan yang lainnya.”
       
      Amat tepat sekali, perumpamaan itu, kerana memanglah tugas kedua tangan
      itu saling bantu-membantu antara satu sama lain atas maksud yang satu.

      Demikian pulalah hendaknya keadaan kedua saudara itu, tiada akan sempurna
      persaudaraannya, melainkan bila kedua-duanya bersatu dalam satu tujuan,
      seolah-olah bila dipandang keduanya seperti orang yang satu. Kesatuan
      tujuan keduanya mestilah dalam keadaan senang dan susah, dan saling
      tolong-menolong dalam masa akan datang dan sekarang, dengan menjauhkan
      segala kepentingan diri atau melebihkan satu atas yang lain.

      Adapun perihal bantu-membantu dalam soal kewangan terhadap saudara ada
      tiga peringkat :

      Pertama: Tingkat yang paling rendah sekali ialah dengan mengganggap
      sebagai seorang khadam kepadamu. Jadi lebih dulu, anda penuhkan semua
      keperluan anda dari harta kekayaan anda. Kemudian sekiranya ada lebih
      lagi, sedangkan saudaramu memerlukan pula kepada pertolongan, maka barulah
      anda berikan pertolongan kepadanya. Tetapi jangan pula anda menunggu
      sampai ia meminta dulu baru diberikan, tetapi hendaklah anda menawarkan
      terlebih dulu. Jika anda berdiam diri sehingga ia terpaksa meminta, maka
      sikap itu adalah suatu kecuaian dalam soal persaudaraan.

      Kedua: Tingkat kedua ialah dengan menganggap saudaramu seperti dirimu
      sendiri. Anda redha berkongsi dengannya dalam harta kekayaan dan segala
      milik anda, sehingga anda sanggup membahagi dua harta benda dan kekayaan
      anda bersamanya.

      Ketiga: Tingkat yang paling tinggi sekali, iaitu dengan mendahulukan hajat
      dan keperluannya atas hajat dan keperluan anda sendiri. Sifat seumpama ini
      hanya ada pada orang-orang dalam tingkatan para siddiqin, dan ia merupakan
      tingkatan para pencinta.

      Dan puncak dari segala tingkatan-tingkatan ini, ialah melebihkan hak orang
      lain atas hak peribadi sendiri, maka sayugialah anda perhatikan semua
      tingkatan-tingkatan ini pada diri anda. Kiranya tidak ada satu pun dari
      ketiga-tiga tingkatan ini pada diri anda, maka ketahuilah, bahwasanya
      ikatan persaudaraan itu masih belum terikat lagi dalam batin anda. Adapun
      pergaulan yang berlaku sehari-hari dengan saudara mara itu, tiada lain
      melainkan semacam pergaulan yang rasmi saja, tidak ada kesan apa pun yang
      tertinggal di dalam akal atau agama.

      Berkata Maimum bin Mahran: Barangsiapa yang suka berkawan, tetapi tidak
      suka melebihkan kawan atas diri sendiri, maka lebih baik ia berkawan
      dengan ahli kubur.

      Setengah ahli agama masih belum dapat menerima darjat pertama dari
      tingkatan-tingkatan yang tiga tadi sebagai sifat yang diredhai oleh
      mereka.

      Diriwayatkan bahwa Utbah al-Ghulam rahimahullah mengunjungi rumah seorang
      kawan yang telah diakuinya sebagai saudara, lalu berkata: Aku perlukan
      dari hartamu sekadar 4,000 dirham. Jawab rakannya: Ambillah 2,000 saja!
      Utbah enggan menerimanya malah ia mencela orang itu, katanya: Sungguh tak
      kusangka bahwa anda telah memilih dunia dari Allah Ta’ala. Tidakkah anda
      merasa malu mendakwakan persaudaraan kerana Allah, kemudian anda berkata
      semacam ini?

      Adapun tingkatan yang paling tinggi sekali dari tingkatan persaudaraan
      itu, maka Allah telah menjelaskan sifatnya sepertimana yang ditunjukkan
      kepada kaum Mu’minin yang berikut dalam firmanNya:
       
      “Dan urusan mereka dipermusyawaratkannya antara sesama mereka, dan mereka
      sentiasa membelanjakan apa-apa yang Kami memberikan rezeki kepada mereka.”
        (asy-Syura: 38)
       
      Yakni, kaum Mu’minin itu menjadi syarikat atau kongsi dalam harta benda
      sesama sendiri, tidak ada bedanya harta seorang dengan yang lainnya.
      Bahkan ada di antara mereka itu yang enggan mengaku kawan kepada orang
      yang berkata: Ini sandalku, yakni ia telah mementingkan dirinya sendiri
      bila mengatakan sandal itu miliknya.

      Ada di antara mereka itu yang terus memerdekakan hamba sahayanya
      disebabkan kedatangan seorang teman atau saudara ke rumahnya, lalu
      mengambil dari hartanya sekadar keperluan saudara itu sedangkan ia tidak
      ada di rumah. Perbuatan memerdekakan hamba sahaya itu kerana terlalu
      gembira dengan perilaku kawannya tersebut.

      Berkata Zainul Abidin Ali Ibnul-Hussain r.a kepada orang ramai: Pernahkah
      seseorang di antara kamu memasukkan tangannya ke dalam saku atau kocek
      kawannya seraya mengambil apa yang diperlukan olehnya tanpa izin? Mereka
      berkata: Tidak pernah! Maka beliau berkata lagi: Kalau begitu kamu
      sekalian belum boleh dikatakan sahabat.

      Ibnul Umar r.a pula berkata: Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah
      menerima hadiah kepala kambing dari sahabatnya, tetapi dia telah
      menolaknya dengan alasan ada sahabat yang lain yang lebih berhajat
      daripadanya, maka kepala kambing itu pun dibawalah kepada sahabat yang
      dikatakan lebih berhajat itu, tetapi sahabat itu juga telah menolaknya,
      dengan alasan bahwa di sana ada orang lain yang lebih berhajat
      daripadanya. Seterusnya kepala kambing itu pun bertukar tangan dari
      seorang kepada yang lain, sehingga berkeliling ke tangan tujuh orang dan
      akhirnya sampai semula ke tangan orang yang pertama itu sekali lagi.

      Berkata Abu Sulaiman ad-Darani: Andaikata seluruh isi dunia ini kepunyaan
      saya, lalu saya letakkannya ke dalam mulut salah seorang dari
      sahabat-sahabatku, maka saya masih merasakan terlalu sedikit; iaitu
      disebabkan membelanjakan sesuatu ke atas sahabat itu lebih utama daripada
      bersedekah terhadap kaum fakir miskin.

      Berkata Ali r.a.: Dengan hanya dua puluh dirham yang dapat aku berikan
      kepada saudaraku kerana Allah adalah lebih kucintai daripada dapat
      bersedekah dengan seratus dirham ke atas orang-orang miskin.

      Termasuk kesucian diri dalam persaudaraan ialah bersenang lenang di rumah
      sahabat, sebagaimana ianya menjadi amalan sebahagian terbesar dari para
      Salaf Saleh. Allah telah berfirman:
       
      “Ataupun di rumah yang kamu miliki kunci-kuncinya atau di tempat kawanmu.”
            (an-Nur: 61)
       
      Maksud dari ayat di atas ialah sekiranya ada seorang sahabat yang
      menyerahkan kunci rumahnya kepada sahabat yang lain, serta mengizinkan
      sahabat itu untuk bertindak sesuka hati di dalam rumahnya itu. Jadi pada
      mulanya sahabat itu memelihara diri supaya tiada memakan sesuatu dalam
      rumah itu menurut hukum taqwa, sehingga Allah turunkan ayat yang tersebut
      di atas, yang mengizinkan untuk bersenang lenang dalam mengecap
      makan-minum kawan-kawan dan rakan-rakan di rumah masing-masing.
       
(Bersambung)


Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila terus diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau mampu.




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke