Rahsia Belida
Oleh : Aznir Malek : PANCING April 1998

Saya katakan belida ikan yang unik kerana bentuk tubuhnya yang berbeza dari 
ikan lain. Tidak ada ikan tempatan lain yang seiras dengannya, kalau adapun 
yang paling dekat mungkin tapah. Dengan rahang yang luas, misainya dan 
perut yang menggeleber, perbezaannya amat ketara.

Belida ialah ikan yang nipis jika dilihat dari pandangan atas, lebih nipis 
dari lampam. Mungkin pada pandangan pertama kita mengatakan ia tidak besar. 
Sebenarnya belida ialah ikan yang pembesarannya tidak terhad.

Dua ciri utama belida ialah sirip dorsal yang bersambung dengan sirip ekor 
dan membentuk ekor. Bolehlah kita katakan bahawa sirip anal juga ekor 
belida. Jika kita memerhatikan belida, cara pergerakannya ialah 45 darjah. 
Kepalanya akan condong 45 darjah kebawah. Ini adalah kesan dari kayuhan 
sirip anal yang menolaknya ke depan.

Pergerakan sirip anal di dalam air sama seperti kibaran bendera ditiup 
angin dan membalas setiap pantulan cahaya yang menimpanya. Nama saintifik 
dan nama dalam bahasa inggeris diambil sempena kecantikan yang ada pada 
sirip belida. Perkataan 'notos' berasal dari Greek bermakna belakang dan 
'pterygion' ialah bulu.

Belida ialah ikan dari golongan clupeiformes, badan seperti ikan 'herring'. 
Ikan lain yang termasuk dalam golongan ini ialah ikan parang (Chirocentrus 
dorab) dan ikan bilis (Stelophorus commersonii). Kelisa yang dikenali 
antara ikan tempatan yang garang adalah dari golongan ini.

Kepelbagaian
Terdapat dua spesies belida yang lazim dijumpai di Semenanjung Malaysia. 
Yang paling kecil ialah Notopterus notopterus. Kebiasaannya dijumpai di 
sungai-sungai kecil, paya atau lombong. Mulutnya lebih pendek dari 
Notopterus chitala. Jarak sirip dorsal dan kepala lebih dekat, orang Melayu 
di utara dan Kelantan memanggilnya ikan selat. Saya masih teringat 
memancing ikan ini di Sungai Korok, Perlis semasa kecil. Saya amat tertarik 
dengan warna keperakan pada badannya. Setiap hari saya mesti mendapatkan 
selat, paling tidak pun seekor untuk melihat sinaran pada badannya apabila 
ia bergerak.

Ikan selat senang dipancing menggunakan umpan cacing atau udang kecil. 
Mereka biasanya berkumpulan, jika mendapat seekor, kita tahu di bawah sana 
masih banyak lagi. Seekor demi seekor akan menelan umpan dari tempat yang 
sama sehinggalah ikan terlucut dari mata kail. Buruan kita yang lain akan 
terkejut dan takut untuk memakan umpan. Lebih baik beredar mencari kawasan 
lain.
Di lombong lama di Subang dan Puchong (yang sedihnya sekarang telah 
ditimbuni bangunan dan kawasan perumahan) saya menggunakan perambut 6lb 
sepanjang 6 inci, mata udang nombor 10 yang dilekatkan cengkerik atau udang 
hidup.

Setiap kali pergi memancing saya boleh mendapat lebih dari 20 ekor. 
Perlawanan tidak begitu memberangsangkan kerana ikan akan mengikut sahaja 
apabila kekili diputarkan. Hanya ragutan permulaan sahaja yang 
menyenangkan, joran Ugly Stik membengkok apabila mereka meragut umpan.

Untuk perlawanan yang hebat dan mendebarkan, saya menyarankan anda mencari 
Notopterus chitala. Untuk memburunya memerlukan kesabaran dan usaha yang 
tidak boleh dikatakan ringan. Jenis besar ini hanya boleh dijumpai di 
kawasan pendalaman atau sungai-sungai besar.

Perjalanan saya di negara kita telah menemukan saya dengan tempat yang 
dihuni oleh gergasi ini, Tasik Cenderoh dan Kenering di Perak, sebahagian 
Sungai Muar dan Tasik Bera. Terdapat juga di sebahagian sungai di Pahang 
dan Selangor tetapi amat sukar dijumpai. Saya mencarinya berpandukan kepada 
pengetahuan penduduk tempatan. Satu alasan untuk memperpanjangkan 
silaturrahim dengan penduduk pendalaman atau kampung.

Dua spesies belida yang tidak terdapat di negara kita ialah belida yang 
mempunyai 'bunga' atau tanda di bahagian bawah tubuh menghala ke bahagian 
ekor. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini ia telah banyak ditemui di 
lombong-lombong. Satu spesies berasal dari Thailand dan satu spesies lagi 
berasal dari Indo-China. Spesies dari Indo-China lebih cantik dan menarik.

Teknik Menangkap Belida
Belida menyukai kawasan sungai berair dalam tanpa mengira air mengalir 
perlahan atau laju. Kawasan lubuk juga didiami oleh ikan ini.
Kebiasaannya ia mendiami kawasan dasar mencari siput dan ikan-ikan kecil. 
Cara belida berenang ialah condong 45 darjah dengan kepalanya menghala ke 
bawah.

Penglihatan belida amat baik, mungkin kerana rumahnya yang sentiasa gelap. 
Saya mengatakan demikian berdasarkan belida akuarium. Pada siang hari 
belida tidak aktif dan pergerakannya lembab. Malamnya apabila lampu 
akuarium ditutup akan kedengaran ikan bermain air dan keesokannya anak-anak 
ikan kecil seperti sepat dan 'guppie' hilang atau mati.

Apakah umpan yang terbaik untuk belida? Saya mempunyai 4 umpan kegemaran, 
udang, sepat, puyu dan haruan kecil. Umpan terbaik ialah udang air tawar. 
Matanya yang bersinar merah memberikan kesan yang terbaik didalam air yang 
gelap. Udang ini hendaklah hidup dan udang yang dibeli dari kedai ikan akan 
memberikan hasil yang tidak memuaskan. Jika belida tidak menyentuh udang 
yang kita hidangkan, ikan-ikan lain seperti lampam, kerai dan kalui akan 
menyembatnya. Jadi kita tidak akan bersahaja.

Peralatan yang terbaik untuk memancing belida ialah menggunakan batu ladung 
di bahagian bawah. Bagaimanapun ia bergantung kepada arus, batu hidup 
biasanya digunakan di kawasan air mengalir perlahan seperti tasik dan 
lombong. Untuk kawasan berumput rampai di dasarnya, gunakan batu hidup dan 
panjangkan perambut sehingga 4 kaki. Ditengah-tengahnya letakkan pelampung 
supaya umpan berada dibahagian tengah air. Ini menyenangkan ikan melihat umpan.

Belida ialah ikan yang kuat rontaannya, oleh itu menggunakan mata kail yang 
betul adalah mustahak. Jenama Daichi dan Mustad adalah pilihan paling sesuai.
Saya biasanya menggunakan perambut 20lb dan tali utama 15lb. Ini sudah 
boleh dikira minimum. Keupayaan peralatan hendaklah ditingkatkan mengikut 
keadaan air dan ikan. Untuk peluang yang lebih baik, gunakan tangsi yang 
tahan calar. Perlawanan dengan belida memakan masa dan persekitarannya 
dipenuhi batu dan kayu. Tali yang saya gunakan ialah 'Maxima Chemeleon, 
Tortue, Daiwa Crystal Clear dan Samurai Green'. Warna tali tidak mustahak 
kerana sarang belida di selubungi kegelapan.

Belida Gergasi
Sehingga mana belida boleh membesar? Kita selalu melihat gambar ikan 
seberat 3-5kg. Saiz yang kecil tetapi ia dapat memberikan perlawanan yang 
hebat dan menarik.
Pengalaman En. Ismail semasa perjalanan ke Kuala Lipis mungkin dapat 
memberikan gambaran. Dia terjumpa seorang lelaki tua di sebuah gerai di 
tepi jalan yang memberitahunya terdapat seekor belida besar di sungai di 
belakang rumahnya. Maklumat sebegini biasanya banyak kita dengari tetapi 
kebanyakannya tidak mendatangkan hasil.
Ismail mengambil keputusan untuk mencuba nasib berumpankan udang air tawar. 
Setelah sejam menunggu, belida akhirnya tercangkuk di mata kailnya. 
Pertarungan berlangsung lebih sejam. Dia terpaksa melompat ke atas perahu 
dan mengikut ikan tersebut untuk mengelakkan dari tersangkut pada batu dan 
kayu yang tenggelam di situ. Masa dia mendaratkan ikan baru dia menyedari 
yang peluh membasahi bajunya dan tangannya menggeletar, beratnya 
berkurangan beberapa paun. Berat ikan mencapai 10kg.
Belida paling besar pernah saya ketahui ditangkap ialah dari Tasik 
Kenering, beratnya 25kg. Fakta ini didapati pada tahun 1985. Seperti selalu 
tiada bukti yang lengkap. Fakta ini tidak salah mengikut pengalaman saya 
yang pernah melihat belida sepanjang 2-3 kaki yang bermain air di Empangan 
Temenggor. Bukan seekor tetapi banyak. Di kawasan toman sepanjang 5 kaki, 
kalui seberat 10kg dan haruan 7kg, perkara ini tidak mustahil.
Belida, antara ikan tempatan yang terbesar, sekarang menuju kepada 
kepupusan. Mendapat ikan seberat 7kg adalah nasib yang teramat baik. 
Sekarang mendapat ikan seberat 3kg sudah dikira besar.
Belida boleh dikatakan permata ikan tempatan dari segi rupa paras dan 
perlawanannya. Menjejak belida juga adalah sesuatu yang menarik dan tidak 
membosankan.


---------------------------------------------------------------------

To unsubscribe, e-mail: [EMAIL PROTECTED]
For additional commands, e-mail: [EMAIL PROTECTED]

Website mancing-l at http://www.MancingL.com  --> Fishing information, online chat, 
forum discusion, clasifiedads, etc  
MancingL Archive at http://www.mail-archive.com/mancing-l@kreatif.com
Fishing@Indonesia a MancingL sharing picture forum at 
http://communities.msn.com/FishingIndonesia

Millis ini terselengara berkat dukungan PT. Metrocom Global Solus- The Prefered IT 
Solution Company
http://www.metrocom.co.id

** Save Bandwidth... potong berita yang tidak perlu **








Kirim email ke