Bismillah,
Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie
Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke
atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Amalan berdoa di kalangan umat Islam bukanlah suatu perkara yang
baru, malahan ianya telah sebati dengan muslimin dan muslimat sejak dari
zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Baginda telah
menunjukkan pimpinan dan ikutan bagaimana berdoa dan mendoakan.
Hukum berdoa adalah sunat (mustahab iaitu digalakkan). Dalam
al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, terdapat
suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala ke arah kebaikan, samada dia dalam keadaan senang
ataupun susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian mahupun
berjema’ah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya
:
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku
(Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); “Aku perkenankan permohonan orang
yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”
(Surah al-Baqarah : ayat 186)
Menurut Imam al-Qurthubi bahawa ayat di atas menunjukkan perintah
Allah Ta‘ala supaya sentiasa berdoa dan beribadat kepada-Nya. Ayat ini juga
memberi kegembiraan dan kesenangan kepada makhluk Allah kerana dijanjikan
bahawa doa-doa tersebut akan dikabulkan. Melainkan ada sebab-sebab lain
mengapa suatu doa itu tergantung-gantung atau ditolak.
FirmanNya lagi yang
tafsirnya :
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong
takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam
dalam keadaan hina.”
(Surah Ghafir: ayat 60)
Telah disebutkan dalam banyak hadis-hadis yang shahih mengenai doa,
antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang
maksudnya :
“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika
seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan (tidak
menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta
rugi.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Manakala hadis-hadis berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah
Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya
:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada doa.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Sabda Baginda lagi yang
maksudnya :
“Barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah Subhanahu wa
Ta‘ala, maka Allah murka
kepadanya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda
lagi yang maksudnya :
“Akan dikabulkan doa seorang dari kamu selama
mana dia tidak terburu-buru mengatakan: “Aku sudah berdoa (kepada Allah),
namun doaku belum dikabulkan.”
(Hadis riwayat Muslim)
Mendoakan Orang Lain Tanpa Pengetahuannya
Alangkah indahnya Islam itu apabila menganjurkan supaya umatnya
saling doa mendoakan antara satu sama lain, samada orang yang didoakan itu
mengetahuinya ataupun tidak, lelaki atau perempuan, yang masih hidup mahupun
yang telah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang
tafsirnya :
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.”
(Surah al-Hasyr: ayat 10)
FirmanNya lagi yang tafsirnya
:
“Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan,
dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan
perempuan.”
(Surah Muhammad: ayat
19)
Abu
Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda yang maksudnya :
“Setiap
hamba
Muslim yang
mendoakan saudaranya pada ketika saudaranya itu tidak ada (tanpa
pengetahuannya), maka malaikat akan berkata: “Semoga kamu juga mendapat
seumpama (doa) itu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Malah doa seorang muslim terhadap saudaranya yang
lain tanpa pengetahuannya adalah mustajab berdasarkan hadis
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Adapun
doa seorang Muslim
bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada
malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan bagi saudaranya
itu, malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama
apa yang engkau doakan itu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun antara orang-orang yang wajar didoakan adalah seperti berikut:
Mendoakan Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam
Mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,
bererti juga mendoakan Baginda. Di samping menunjukkan rasa cinta dan kasih
terhadap Junjungan besar itu, berselawat itu juga merupakan perintah Allah
Subhanahu wa Ta‘ala yang perlu dilaksanakan sebagaimana firmanNya
yang tafsirnya :
“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan malaikatNya berselawat
(memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam); wahai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera
dengan penghormatan yang penuhnya.”
(Surah al-Ahzaab: ayat 56)
Adab
Memulakan Doa
Memulakan doa dengan menyebut Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan
berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah
satu adab berdoa. Bahkan doa akan tergantung-gantung tanpa
selawat.
Ulama telah sepakat mengatakan bahawa sunat memulakan doa dengan
menyebut dan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kemudian diikuti
dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu
juga apabila menutup atau menamatkan doa tersebut.
Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama dengan nama-nama
Al-Asma’ Al-Husna dan memberi selawat dan salam kepada Nabi,
dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah
(dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama
itu.”
(Surah
al-A‘raaf: ayat 180)
Telah diriwayatkan
oleh seorang sahabat yang bernama Fadhalah bin ‘Abid Radhiallahu
‘anhu bahawa dia mendengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang maksudnya :
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
mendengar seorang lelaki berdoa di dalam sembahyangnya, dia tidak
mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan tidak
membaca selawat ke atas Nabi, maka Rasulullah bersabda: "Tergesa-gesa orang
ini!”
Kemudian
Baginda memanggilnya, lalu bersabda kepadanya atau pada orang lainnya:
“Apabila seseorang berdoa, maka mulailah dengan mengagungkan Tuhannya dan
memujiNya, setelah itu mengucapkan selawat ke atas Nabi, kemudian dia
(boleh) berdoa sesudah itu mengikut
kehendaknya.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Malah
Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu
‘anhu berkata
bahawa setiap doa yang tidak dimulai dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
adalah doa yang
terhalang. Sayyidina ‘Umar berkata yang ertinya :
“Sesungguhnya doa itu akan berhenti (tergantung) di antara langit dan
bumi tidak boleh naik ke atas, sehingga dia mengucapkan selawat atas Nabi
kita Shallallahu
‘alaihi wasallam.”
(BERSAMBUNG)
bersambung