Orang Islam bukan milik satu komuniti

TRIPOLI 1 Dis. - Orang Islam bukannya kepunyaan satu komuniti sahaja walaupun mereka mahu beranggapan begitu, oleh itu mereka tidak pernah mampu untuk bertindak bersama mempertahankan ummah, kata bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini pada Rabu.
 
``Kita selalu memperkatakan mengenai ummah seolah kita milik kepada satu komuniti Islam tetapi hakikat sebenarnya kita tidak. Kita memperkenalkan diri kita sebagai anggota puak Sunni, Shiah atau Wahabi,'' katanya pada hadirin kira-kira 1,000 orang, kebanyakannya para cendekiawan Islam yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Keempat Kepimpinan Popular Islam di sini serta para diplomat asing.
 
Dr. Mahathir yang bercakap selepas menerima Anugerah Antarabangsa Gaddafi bagi Hak Asasi Manusia menarik perhatian bahawa pertikaian di antara umat Islam berhubung interpretasi mereka mengenai Islam dan kecenderungan mereka untuk mendukung negara mereka masing-masing telah menyebabkan berlaku pembunuhan sesama Islam.
 
``Hari ini ummah wujud hanya pada nama. Memandangkan kesetiaaan kita adalah terhadap negara kebangsaan kita, kita bersedia untuk berperang dan berbunuh sesama sendiri. Saya fikir lebih ramai orang Islam dibunuh oleh orang Islam sendiri berbanding mereka dibunuh oleh bukan Islam," katanya.
 
Dr. Mahathir berkata semua negara Islam adalah lemah, tidak stabil dan tidak mampu untuk maju kerana mereka mengenepikan pengajian lain selain agama Islam.
 
``Tiada agama yang meletakkan kepentingan ilmu dan kemahiran begitu tinggi berbanding agama kita. Ajaran pertama yang diterima Nabi Muhammad SAW ialah baca. Bagaimanapun hari ini kita masih tidak mematuhi suruhan pertama Islam -- supaya membaca dan menimba ilmu. Kita malahan tidak tahu bagaimana untuk menimba kekayaan yang Allah limpahkan terhadap kita.
 
Sebaliknya kita hanya duduk dan menikmati kekayaan yang dihasilkan orang lain untuk kita,'' katanya.
 
Kenyataan lantangnya itu dilihat mengejutkan ramai di dalam dewan itu. Beberapa hadirin yang kelihatan mengantuk, terus tegak memberikan tumpuan kepada Dr. Mahathir yang menyampaikan ucapan penghargaanya.
Mereka yang berdiri di dalam dewan penuh sesak itu yang hanya boleh menampung 800 orang, sabar menunggu Dr. Mahathir menamatkan ucapannya dan menyertai yang lain memberikan tepukan gemuruh terhadap beberapa perkara menarik yang dibangkitkan beliau.
 
Dr. Mahathir, yang digelar pemikir Islam oleh beberapa negara Arab, menggesa umat Islam supaya sentiasa menggunakan akal fikiran mereka supaya ilmu boleh diserap dan ketajaman otak boleh diperbaiki.
 
Bagaimanapun beliau berkata ramai orang Islam tidak berusaha ke arah itu menyebabkan otak mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir, untuk menimbang dan menyelesaikan masalah.
 
``Bahawanya kita boleh berfikir, mengurus dan menyelesaikan masalah kita sendiri dicerminkan melalui cara kita menangani kesukaran sedia ada.
 
Berhadapan dengan serangan terhadap kita, kita cuba bertindak balas secara jangka pendek. Kita tidak dapat memikirkan mengenai rancangan dan strategi untuk mempertahankan ummah kerana otak kita tidak digunakan untuk itu.
 
``Kita tidak merancang untuk kemenangan muktamad, bagi penyelesaian jangka panjang. Kita hanya cuba membalas dendam. Dendam kita terhadap penindas dan penceroboh tidak menghasilkan apa-apa. Ia hanya merosakkan imej Islam dan umat Islam. Penindasan dan derita menanggung malu berterusan dan bertambah teruk dengan berlalunya masa,'' katanya.
 
Dr. Mahathir berkata, umat Islam perlu merancang bagi kejayaan yang muktamad dengan membina kekuatan dan kaupayaan mereka supaya dapat mendatangkan rasa hormat dan takut musuh-musuh mereka dan mengelakkan diri daripada terus dibuli, diserang dan dimalukan.
 
``Ia akan mengambil masa yang lama tetapi fikirkanlah mengenai perjuangan Nabi. Rasullullah SAW pernah menderita kalah, direjam oleh musuhnya, diancam dan terpaksa melarikan diri dari Mekah dan melalui kesengsaraan. Bagaimanapun secara beransur beliau dapat mengatasi musuhnya, mendapat sokongan mereka dan akhirnya mereka memeluk Islam.
 
``Alhamdulillah, kerana tekad keazaman dan dedikasinya terhadap Islam, perjuangannya menyebabkan Islam tersebar luas ke Sepanyol di Barat dan Asia Tenggara di Timur.
 
``Jika Rasullullah SAW boleh berjuang selama 23 tahun yang panjang, siapalah kita untuk mengharapkan kemenangan segera. Sebagai manusia biasa, umat Islam harus bersedia untuk berjuang lebih lama lagi, untuk bersabar merancang satu strategi yang baik dan membuat persiapan yang perlu untuk mengembalikan kedudukan atau zaman kegemilangan tamadun Islam,'' katanya.
 
Dr. Mahathir berkata dengan rahmat bimbingan Allah dan keikhlasan umat Islam serta usaha yang berkekalan mereka akan menemui jalan untuk mengubah nasib mereka.
 
``Di Malaysia kami mempunyai slogan "Malaysia Boleh". Kami percaya kami boleh melakukan apa yang orang lain boleh buat. Tetapi jika kami tidak melakukan apa-apa, adalah mustahil kami boleh berjaya,'' katanya.
 
Dr. Mahathir tiba di sini pada petang Selasa. Selain menerima anugerah itu, beliau menghadiri sesi akhir Kongres Umum Antarabangsa Penduduk dan Kepimpinan Islam, menghadiri satu mesyuarat perniagaan dan dijadual melancarkan satu projek jalan raya usaha sama syarikat Libya-Malaysia pada Khamis sebelum berlepas ke Jepun pada petangnya. - Bernama
 
Utusan Malaysia - 2 Disember 2005

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau mampu.




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke