PUTRAJAYA 28 Jun – Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor 
mencadangkan supaya Pusat Kajian al-Quran Kontemporari ditubuhkan untuk 
kepentingan umat Islam sejagat. 

  
Beliau berkata, selain mengadakan kelas tafsir dan pengajian al-Quran yang 
biasa, pusat kajian itu wajar berperanan untuk melakukan kajian secara 
empirikal berpandukan ayat-ayat suci al-Quran. 

  
‘‘Ia perlu merangkumi pelbagai bidang kritikal terutamanya dalam bidang sains 
dan teknologi, teknologi maklumat, perubatan dan ekonomi. 


‘‘Saya percaya, jika semua ini dilakukan, ia mampu menjana serta memangkin 
semula kekuatan umat Islam pada hari ini dan sekali gus membina benteng yang 
ampuh pada masa hadapan,” katanya. 

  
Rosmah berkata demikian ketika berucap pada majlis khatam kelas tafsir al-Quran 
yang diketuai oleh beliau bersama 35 peserta lain termasuk anak perempuannya, 
Nooryana Najwa Mohd. Najib di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri 
Satria, di sini hari ini. 

  
Kumpulan yang dipimpin oleh Datuk Dr. Fatma El-Zehraa itu berjaya menamatkan 
pengajian tafsir al-Quran selepas enam tahun mengikuti kelas tersebut. 
  

 Kelas tafsir al-Quran itu telah bermula pada 1 Mac 2001 dengan surah an-Naba’ 
juzuk ke-30 dan disempurnakan pada April lalu. 

  
Menurutnya lagi, sejajar dengan tuntutan zaman yang semakin mendesak dan imej 
Islam yang kian tercemar, sudah tiba masanya generasi al-Quran sebagai wadah 
perubahan tamadun Islam dilahirkan. 

  
‘‘Saya yakin dengan kelahiran generasi ini, keindahan dan keluhuran Islam mampu 
diketengahkan kepada masyarakat dunia malah menjadi penghubung bicara antara 
dunia Islam dan dunia bukan Islam,” katanya. 

  
Malahan tegas beliau, pelbagai gejala sosial, salah laku dan 
kesalahan-kesalahan juvana di kalangan anak-anak orang Islam akan dapat 
dikurangkan. 

  
Sebagai ibu bapa dan seorang muslim katanya, masyarakat Islam perlu menjadikan 
hasrat murni tersebut sebagai suatu realiti berbanding menjadikan generasi baru 
generasi realiti televisyen. 
  

Rosmah berkata, seiring dengan era globalisasi umat Islam mesti mempraktikkan 
ajaran al-Quran dalam bentuk yang lebih global dengan mengkaji, mengamalkan dan 
menterjemahkannya dalam kehidupan bersesuaian dengan konteks semasa. 

  
Dalam pada itu, beliau turut mengajak para ibu bapa agar menjadikan al-Quran 
sebagai kamus rujukan kehidupan dan mendidik anak-anak supaya cintakan al-Quran 
selain menyemai benih ketauhidan dalam diri mereka. 

  
Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 105 penerima 
yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Ibu Tunggal Kawasan Lembah Pantai; 
Persatuan Ibu Tunggal Mas Merah, Wilayah Persekutuan; Rumah Kanak-Kanak Tunku 
Budriah, Cheras dan Rumah Anak-Anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur 
  
   
 Sumber : Utusan 


Join Me : 
http://health.groups.yahoo.com/group/respeks/join



  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

       
---------------------------------
Luggage? GPS? Comic books? 
Check out fitting  gifts for grads at Yahoo! Search.

Kirim email ke