MURTAD Mengikut Pandangan Ulamak Islam
 Posted on Thursday, July 12 @ 10:59:42 MYT by greenboc 
  Oleh Dr Zakaria @ Mahmod bin Daud, KIAS


Pendahuluan
Akhir-akhir ini isu murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat 
Islam di mana-mana sahaja, ia ada disiar dalam akhbar-akhbar, majalah-majalah 
dan disebut dalam ceramah-ceramah bahkan ada kes-kes tertentu diangkat ke 
mahkamah. 


Selain itu pengikut-pengikut kumpulan ajaran sesat ada di seluruh Malaysia dan 
mereka menghayati ajaran itu samada terang-terangan atau secara senyap-senyap 
seperti pengikut ajaran Ayah Pin, Anti Hadis dan lain-lain. 


Selain itu, mungkin ramai dari umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa 
sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila 
seseorang itu menukar agama, masuk agama Kristian, agama Hindu dan sebagainya.


Manakala yang mengamalkan ajaran-ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, Hassan 
Anak Harimau dan lain-lain tidak dianggap murtad. Perkara ini tidak dianggap 
sensitif, yang dianggap sensitif hanya yang masuk Kristian, Hindu, Budha dan 
agama-agama lain. Kertas ini penulis akan mengulas mengenai murtad secara lebih 
luas mengikut pandangan ulama' Islam.




Definisi Murtad.
Murtad dari segi bahasa bermaksud "Kembali". Manakala dari segi istilah ia 
bermaksud meninggal atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama 
atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samada 
dengan melalui perkataan atau melalui perbuatan atau apa-apa iktiqad, 
kepercayaan dan keyakinan hati.

 
Murtad atau keluar dari agama Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam; 
Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur 
biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan 
Rasulullah S.A.W. Sebab itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh 
setelah disuruh bertaubat beberpa kali sedangkan dia tetap tidak mahu 
bertaubat. 



Allah berfirman, ertinya : 
Dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama 
Islam) lalu dia mati, sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosaklah 
amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli 
neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).
(surah al-Baqarah : 217) 
Rasulullah bersabda, ertinya : 
Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya. 
(Hadis riwayat al-Bukhari)




Perkara-perkara yang Boleh Menjadi Murtad.
Mengikut Islam, murtad boleh terjadi dengan melalui salah satu dari tiga 
perkara berikut; melalui perkataan, ucapan dan kata-kata, melalui perbuatan 
atau tingkah laku dan melalui iktiqad, kepercayaan dan keyakinan dalam hati 
atau niat. Di bawah ini akan dijelaskan sebab-sebab tersebut.




a) Melalui Perkataan / Ucapan dan Kata-kata. 
Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata. Apabila ucapan 
dan kata-kata tersebut menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran 
Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina apa-apa 
ajaran Islam, hukum hakam Islam, menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan nabi-nabi 
lain, menghina Allah S.W.T. dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari 
wajib mengeluarkan zakat, wajib puasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji 
dan lain-lain, atau dia berkata minum arak tidak haram, berzina harus, apatah 
lagi kalau suka sama suka, riba' diharuskan (tidak haram), dikatakan al-Quran 
bukan kalam Allah atau kata-kata yang merendahkan dan menghina Sunnah 
Rasulullah, umpamanya apabila diterang kepadanya bahawa mengerat kuku adalah 
Sunnah Rasulullah S.A.W. 



Apabila dia mendengar kata-kata itu, dia menjawab, "aku tidak akan kerat kuku, 
walaupun ia Sunnah Rasulullah (dengan niat mahu menghina sunnah tersebut)". 
Atau dia berkata, "sekiranya Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. menyuruh aku 
kerjakan anu-anu, aku tidak akan melakukannya". Atau dia berkata,"Aku tidak 
tahu adakah nabi itu manusia atau jin". Atau pun dia berkata,"Aku tidak tahu 
apa itu iman". Semua kata-kata di atas adalah ucapan yang menghina / mengejek 
ajaran Islam, maka dengan kata-kata sedemikian seseorang itu boleh menjadi 
murtad.


Begitu juga seseorang yang zalim,apabila dia mendengar orang yang dizaliminya 
berkata,"Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan 
takdir Tuhan", maka orang zalim tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas 
dia terus berkata dengan sombong,"Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah 
S.W.T. tetapi dengan kuasa yang ada padaku", maka kata-kata orang zalim 
sedemikian itu boleh menjadi murtad.


Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan 
RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati 
oleh para ulama' tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia 
menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau 
mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap 
sedemikian boleh menjadi murtad.


Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh 
membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu: 
Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :


• Hukum apa ini ? 

• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup 
aurat dengan memakai telekong).


• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa 
salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila 
diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa 
makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila 
diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara 
mempersenda dan mempermain-mainkannya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh 
menjadi murtad.

 

b) Melalui Perbuatan atau Tingkah Laku.
Apabila seseorang Islam melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku 
yang boleh membatalkan imannya maka orang itu boleh menjadi murtad seperti 
sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada 
mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah 
S.W.T. Seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain


Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan 
Islam seperti mencampakkan al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau 
kitab-kitab hadith dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina. Dalam 
buku Mustika Hadith ada menyebut perbuatan yang boleh menjadi murtad seperti 
meletakkan ayat-ayat suci al-Quran, hadith-hadith nabi, nama-nama Allah, 
rasul-rasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan 
tujuan menghina dan merendahkannya. 



Begitu juga seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan 
dalam keadaan mengingkari wajibnya atau mengatakan ia tidak wajib, maka dia 
boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui 
oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. 
Tetapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin sembahyang atau 
puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad.


Apa yang disebut adalah sebahagian dari contoh-contoh yang boleh memurtadkan 
seseorang Islam melalui perbuatan dan tingkah laku.


c) Melalui Akidah atau Kepercayaan atau Niat.
Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang 
Islam mengingkari dalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia 
yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa 
agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jinayah Islam) 
tidak layak dilaksanakan sekarang dalam masyarakat moden.


Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak 
mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan 
lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa Nabi Muhammad 
SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk 
seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah 
hukum-hukum lapok, tidak sesuai dengan keadaan zaman. Dia menghina apa-apa 
ajaran yang dibawanya, dia beriktiqad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada 
syurga dan neraka, manusia tidak dibangkit semula sesudah mati, beriktiqad 
agama orang kafir lebih baik dari agama Islam, atau berbalik-balik hati antara 
mahu manjadi kafir pada masa akan datang dan lain-lain lagi keyakinan dan 
iktiqad yang salah.

 
Hukum Orang Murtad.
Orang murtad dikenakan ke atasnya beberapa hukum iaitu, pertama; disuruh 
bertaubat, kedua; dihukum bunuh kalau tidak mahu bertaubat, ketiga; dirampas 
hartanya (ditarik hak milik harta), keempat; terputus hubungan suami isteri dan 
tidak boleh pusaka mempusakai antara suami isteri, ayah ibu dan anak-anak, 
kelima; penyembelihannya tidak halal dan pahala ibadatnya terbatal. Dibawah ini 
diterangkan hukum-hukum secara ditil.


a) Disuruh Bertaubat.
Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, 
juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu bertaubat setelah disuruh 
berulang kali dia mesti dibunuh. Tempoh masa untuk bertaubat tersebut – 
mengikut Jumhur ulama’ – selama tiga hari tiga malam, tetapi mengikut hadis 
yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa dia diberi peluang suruh bertaubat 
selama kira-kira dua puluh malam. 



Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu memeluk Islam 
semula, taubatnya diterima, dengan melalui beberapa perkara: Pertama, dia perlu 
mengucap dua kalimah syahadah semula. Kedua, dia perlu membuat pengakuan atau 
ikrar di atas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi kafir (murtad), 
dan melepaskan diri daripada segala ajaran yang menyalahi agama Islam. 
Umpamanya jika dia murtad dengan sebab percaya adanya dua Tuhan atau 
mengingkari risalah Nabi Muhammad S.A.W., maka sewaktu bertaubat dengan 
mengucapkan dua kalimah syahadah, dia perlu membuat pengakuan yang Tuhan hanya 
satu bukan dua, dan mengaku memang betul dan benar bahawa Nabi Muhammad SAW 
adalah nabi akhir zaman.

 
b) Dijatuhkan Hukum Bunuh.
Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan 
dikaunseling dalam masa tempoh yang ditentukan, maka tidak ada jalan lain dia 
mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya.


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a., baginda bersabda, ertinya:

 
Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya. 
(Hadis riwayat al-Bukhari)


Hadis lain diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asyari r.a. yang bermaksud “Bahawa 
baginda S.A.W. berkata kepadanya, “Pergilah kamu ke negeri Yaman”, kemudian 
baginda menghantar Muaz bin Jabal selepas itu. Apabila Muaz sampai ke tempat 
Abu Musa, Abu Musa menjemput Muaz dengan memberi sebiji bantal alas duduk serta 
berkata, “Sila duduk”, sedangkan di majlis itu ada seorang yang badannya 
diikat, Muaz bertanya, “Apa hal orang ini?”. Abu Musa menjawab, “Orang ini 
asalnya Yahudi, dia telah masuk Islam kemudian dia balik menganut agama Yahudi 
semula”. Muaz berkata, “Aku tidak akan duduk sehingga dia dibunuh (terlebih 
dahulu), itulah hukum Allah dan RasulNya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 
Dari hadis di atas jelas bahawa orang yang murtad mesti dibunuh segera apabila 
dia enggan bertaubat. Hukum bunuh seperti di atas telah pun dijalankan oleh 
sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W., antaranya Abu Bakar r.a., Umar bin 
al-Khattab dan Ali bin Abu Talib r.a. sewaktu pemerintahan masing-masing.

 
Hukum tersebut di atas, tidak sekali-kali bertentangan dengan “dasar kebebasan 
beragama”, atau dasar “لا إكراه 
في الدين” (Tidak ada paksaan dalam 
agama). Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran, kerana dasar ini 
tidak ada hubungan sama sekali dengan soal orang murtad.

 
Soal murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah yang berlainan. 
“Tidak ada paksaan dalam agama” bererti; orang-orang Islam tidak boleh sama 
sekali memaksa orang kafir memeluk Islam, kerana hakikat iman dan kufur telah 
dijelaskan dalam al-Quran, dalam hadis dan juga oleh para ulama’ dalam dakwah 
mereka, maka terserah kepada seseorang itu sama ada mahu beriman dan taat atau 
pun mahu kekal kufur dan ingkar. Selain itu, kalau dipaksa orang kafir supaya 
memeluk Islam, maka Islamnya tidak sah.

 
Ini berlainan halnya dengan orang Islam yang murtad, kerana apabila seseorang 
itu murtad sama ada melalui iktikad, atau percakapan dan tuturkata atau melalui 
perbuatannya, ini bererti dia telah melakukan jenayah, bukan sahaja kepada 
dirinya sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan umat Islam 
seluruhnya. Antara jenayah-jenayah yang dilakukan ialah: 



a) Dia memang menganggap dirinya betul dan pandai, umat Islam lain semuanya 
dianggap salah dan bodoh belaka. Ini bererti dia menghina dan memusuhi 
masyarakat Islam. 



b) Dia menyalahkan agama Islam kerana didorong oleh nafsunya, dia tidak mahu 
terikat kepada suruhan Allah dan Rasul serta larangan keduanya. Ini bererti dia 
menghina agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya dan dihormati oleh seluruh 
umat Islam. 



c) Dia akan menjadi contoh buruk bagi orang-orang lain yang akan terpengaruh 
kepada diayahnya. Ini akhirnya akan meruntuhkan ajaran Islam.


Oleh sebab jenayah orang yang murtad sangat besar dan bahaya, maka hukum Islam 
yang ditetapkan supaya dilaksanakan di dunia dengan dijatuhkan hukum bunuh dan 
balasan azab seksa di akhirat kelak amatlah adil dan setimpal dengan jenayahnya 
yang besar itu.




c) Dirampas Hartanya.
Setelah sabit seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya perlu 
dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan diletak 
dibawah pengawasan Ketua Negara atau wakilnya. Jika harta itu perlu diambil 
untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, pihak 
kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar perlu sahaja.


Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta tersebut perlu diserah 
balik kepadanya. Ini bererti harta tersebut masih dianggap hartanya cuma 
ditahan hak milik buat sementara. Tetapi sekiranya dia tetap tidak mahu 
bertaubat, bahkan dijatuhkan hukuman bunuh, maka harta tersebut menjadi milik 
kerajaan dikira semenjak dia mula-mula murtad lagi.

 
Harta orang yang murtad tidak boleh dipusakai oleh waris-warisnya dan dia juga 
tidak boleh menerima harta pusaka dari waris-waris lain kerana diantara syarat 
untuk membolehkan seseorang menerima harta pusaka ialah waris tersebut 
sama-sama beragama Islam, sedangkan orang itu telah menjadi kafir.


Rasulullah SAW ada bersabda, ertinya : 
Orang Islam tidak boleh mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak boleh 
mewarisi orang Islam.
(Hadis riwayat al-Bukhari)


d) Terputusnya Hubungan Suami Isteri.
Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan 
hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. 



Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka 
pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad 
kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa 'idah isterinya belum habis 
(tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali 
seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak 
bertaubat dalam masa 'idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. 
Kalau dia bertaubat (kembali kepada Islam semula) selepas habis 'idah, dia 
perlu diakad nikah semula dengan maskahwin baru jika mahu meneruskan hubungan 
suami isteri yang sah.


Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin 
sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan 
orang lain.




e) Penyembelihannya Tidak Halal dan Segala Pahala Amalan Ibadat Terbatal.
Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan 
hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut 
agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Nasrani (Kristian) sekali pun 
penyembelihannya tetap haram.


Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan - walau 
berapa banyak sekali pun - menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia, 
sebagaimana Allah berfirman, ertinya :

 
Sesiapa yang kufur (ingkar syariat Islam) sesudah dia beriman maka sesungguhnya 
gugur dan terbatal segala (pahala) amalan baiknya dan dia di akhirat nanti 
tergolong dari golongan orang yang rugi.
(Surah al-Maidah : ayat 5)


Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati 
dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam 
semula, maka dia dituntut supaya mengqada'kan amal-amal ibadat seperti 
sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. 
Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada'kan.



 
Mayat Orang Murtad yang Dihukum Bunuh
Mayat orang murtad yang dihukum bunuh tidak boleh diurus seperti mayat-mayat 
orang Islam. Mayat tersebut tidak perlu dimandi kerana dia telah keluar 
daripada Islam, tetapi kalau dimandikan ia adalah harus. Juga tidak boleh 
disembahyangkan kerana sembahyang mayat ke atas orang kafir adalah haram. 
Sebagaimana Allah berfirman, ertinya :

 
Jangan kamu sembahyang ke atas seorang pun yang mati dari orang-orang kafir itu 
selama-lamanya.
(surah al-Taubah : ayat 84)


Demikian juga tidak harus dikebumi di tanah perkuburan orang Islam, bahkan 
harus dikebumikan di tanah perkuburan orang kafir atau di tempat khas yang 
berasingan.




Kesimpulan 
Dari ulasan-ulasan yang panjang lebar di atas jelaslah bahawa murtad mengikut 
pandangan Islam merupakan satu jenayah yang paling besar dan paling bahaya 
kerana ia menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Oleh itu 
hukum bunuh dengan memancung leher adalah satu hukuman yang setimpal dengan 
jenayah yang dilakukan. Hukum tersebut juga untuk menakutkan orang lain supaya 
tidak malakukan jenayah seperti itu.


Selain itu apabila murtadnya seseorang Islam, beberapa hukum lain dikenakan ke 
atasnya, seperti hartanya perlu dirampas oleh pemerintah, terpisah hubungan 
suami isteri, tidak boleh mempusakai harta, mayatnya tidak boleh dimandikan, 
disembahyang dan ditanam di perkuburan Islam dan lain-lain lagi.

 
Semoga kertas ini dapat memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai murtad 
mengikut pandangan ulama' Islam. 

 

Join Me :
http://health.groups.yahoo.com/group/respeks/join



  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

 
---------------------------------
Sucker-punch spam with award-winning protection.
 Try the free Yahoo! Mail Beta.

Kirim email ke