Hukum Menyentuh Perempuan
 Posted on Monday, July 30 @ 18:27:06 MYT by SongkokPutih 
  Bimillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamiin, wabihi nasta’in.

Muqaddimah: Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga 
terdekat yang haram dinikahi dan isteri) dengan sengaja adalah satu perbuatan 
yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini 
berdasarkan sabda Nabi saw:((لأن يطعن 
في رأس أحدكم 
بمخيط من 
حديد، خير له 
من أن يمس 
امرأة لا تحل 
له )) الطبراني.



Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala  salah seorang dari kamu adalah 
lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [HR 
At-Tabarani  20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921] Masalah yang akan dibincangkan 
ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh 
isteri sendiri, adakah batal wudhu’ atau tidak? 


Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu 
Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang 
masyhurnya adalah tiga:


1) Pendapat pertama: Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan 
yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wudhu’, sama ada dengan 
syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. 


Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah 
pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ 
bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman 
Allah:[أو لامستم 
النساء] 


Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43].Mereka 
berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu 
sentuhan. 


Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah 
disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar: 


Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan 
tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh 
isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wudhu.” [Riwayat Imam 
Malik di dalam Al-Muwatta’]. 


Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya 
perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wudhu’ dengan sebab itu. [Al-Umm: 
1/63].

Manakala tentang hadis-hadis yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (ada 
di bawah ini),  mazhab Syafei menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan 
berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah saw sahaja. 

2) Pendapat  kedua: Tidak terbatal wudhu’  dengan menyentuh perempuan, sama ada 
dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib 
ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala:  “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh 
atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini 
juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah 
dan Sufyan Ath-Thauri. 


Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun 
menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wudhu’, kecuali dengan berjimak.


Dalilnya:

1)  Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur 
di hadapan Rasulullah saw yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah 
kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya 
menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun 
saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan 
rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”. [HR  Al-Bukhari : 382] .

 
2)  Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, 
tidak batal wudhu’nya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah ra. Maksudnya: “Pada 
suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari 
beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki 
Baginda ketika Baginda sedang sujud”. [HR Muslim: 486]. 

 
3)  Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat 
manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin 
bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.” [HR Ahmad:  6/260, An-Nasa’ei: 
166. Sahih.] 

4)  Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw mengucup salah 
seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda 
tidak pula mengambil wudhu”. [H.R Ahmad No. 25766, Abu Daud: 179. Sebahagian 
ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadis ini sahih, tetapi ramai juga yang 
mengatakan hadis ini dhaif].


Para ulama’ di kala menghuraikan hadis ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu 
dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wudhu’; kerana 
sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi 
saw tidak pula memperbaharui wudhu’nya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini 
adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”. 


Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah  tidak 
batal wudhu’, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi 
mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan 
sentuhan tanpa syahwat.   
3) Pendapat ketiga: Bersyarat, iaitu terbatal wudhu’ jika menyentuh dengan 
syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wudhu’. Ini adalah 
pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk 
MadinahPendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di 
atas tadi. Nyata bagi mereka  setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah 
membatalkan wudhu’.

Perkataan “Ghamazni”  dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa 
persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini 
digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan 
wudhu’. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan 
hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang 
menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air 
mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.  

Kesimpulan: Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab 
Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan 
sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wudhu’. Sedangkan 
Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.


Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam 
Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan 
wudhu’ ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.


Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat jumhur yang mengatakan tidak 
batal wudhu’ dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah 
ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman Al-Quran dan Habrul Ummah) 
dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, 
“Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat 
Tafsir Ibnu Kathir]. 


Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah saw dan Aisyah adalah 
dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ 
mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti 
yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: “Satu hukum yang 
amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun 
secara umum kemudian dinukil oleh jenerasi umat ini…


Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wudhu’ kerana bersentuh 
dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan 
syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa 
Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wudhu’ kerananya. Al-Quran pula tidak 
menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah 
ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, 
adalah lebih baik baginya untuk  memperbaharui  semula wudhu’nya, sebagaimana 
yang disarankan oleh sebahagian ulama’.. 


Wallahua’lam.Akhukum: 

Abu Anas Madani. 
Sungai Durian,
19 Jun 2007.
http://www.abuanasmadani.com/

Rujukan:
1.  Al-Majmu’, Imam An-Nawawi. 2/26-38.2.  Fiqh At-Toharah, Al-Qardawi, 
179-183.3.  Syarh Bulughul Maram, Dr Salman Al-Audah, 2/821-827.4. Taudhih 
Al-Ahkam, Al-Bassam, 1/231-232.5. At-Tarjih fi masail At-Toharah wa As-Solah, 
Dr. Mohd Umar Bazamul.
 

Join me  :
 http://groups.yahoo.com/group/ReSpeKs/join



  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

       
---------------------------------
Choose the right car based on your needs.  Check out Yahoo! Autos new Car 
Finder tool.

Kirim email ke