Islam liberal produk Barat                                                
                                                                    Wednesday, 
01 August 2007                       Oleh Idris Musa


GELAGAT manusia suka kepada kebebasan. Tidak mahu terikat dalam aspek 
kehidupan, malah dalam beragama pun mereka mahu kebebasan. Justeru, mereka 
mencipta istilah dan ideologi yang sesuai dengan kehendak itu, seperti ‘Islam 
liberal.


  Mereka yang mendukung falsafah ini mengatakan Islam secara liberal lebih 
sesuai diamalkan dalam masyarakat majmuk, kononnya lebih praktikal dan diterima 
akal.


Hujah pendukung Islam liberal ini tidak kurang hebat, malah apabila dikaitkan 
dengan keperluan semasa, ia boleh mempengaruhi orang lain terutama yang cetek 
pengetahuan lalu menerima ideologi itu dalam kehidupan. Apa yang anda tahu 
mengenai Islam liberal dan bahaya kepada umat Islam?


Mengikut rentetan sejarah, Islam liberal satu fahaman berteraskan prinsip 
kebebasan individu tanpa sempadan yang muncul pada kurun ke-16 dan ke-17 ketika 
zaman Renaissance di Eropah.


Melalui web Jaringan Islam Liberal (JIL), ia dijelaskan sebagai menggambarkan 
prinsip yang mereka anuti, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan 
pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas.

Makna liberal
Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin 
al-Ghari, berkata liberal di sini bermakna dua, kebebasan dan pembebasan.

 
“Mereka percaya Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam 
ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya.

 
“Pihak terbabit memilih satu jenis tafsir dan dengan demikian satu kata sifat 
terhadap Islam, iaitu liberal. Bagi mewujudkan Islam liberal, pihak terbabit 
membentuk JIL.


“Berdasarkan tafsiran ini dapatlah disimpulkan bahawa Islam liberal bermaksud 
sekumpulan golongan yang memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional yang 
bersifat menyeluruh tanpa sebarang had,” katanya.


Penampilan istilah dan fahaman itu sendiri menunjukkan pendukung terbabit 
memperjuangkan satu ideologi yang mengamalkan keterbukaan dan kebebasan, 
sedangkan ia membelakangi batasan syariat Islam itu sendiri.

 
“Ini termasuk kebebasan memberi pandangan secara terbuka yang tidak terikat 
kepada pemikiran Islam bahkan melebihi had ajaran Islam itu sendiri, sedangkan 
Islam mempunyai prinsip al-Hurriyyah (kebebasan) yang tersendiri berasaskan 
wahyu.

 
“Apa yang dituntut golongan Islam liberal ialah al-Hurriyyah al-Fikriyyah wa 
al-I’tiqadiyyah iaitu satu konsep kepercayaan yang mengatakan tiap-tiap 
individu mesti diberi kebebasan (supreme importance) dalam kehidupan sosial.

 
“Suara dan hak kebebasan ini cuba diperoleh mereka melalui prinsip peluang sama 
rata.

 
“Mereka berpendapat semua orang memiliki hak mutlak untuk memerintah, mencari 
harta, bercakap dan mengemukakan kepentingan masing-masing.


“Saya berpendapat istilah Islam liberal itu satu rekaan yang menyimpang dari 
landasan Islam,” katanya.


Jenis-jenis liberal
Menurut Zamihan, secara umumnya ada dua jenis liberal, iaitu liberal bercorak 
klasik dan moden, dengan liberal klasik menekankan hak asasi dan undang-undang 
semula jadi merangkumi moral, politik, ekonomi dan sosial manakala liberal 
moden menekankan dasar awam melalui pengalaman, penelitian dan praktik.


“Islam liberal semuanya menyeleweng sama ada liberal klasik mahupun moden 
kerana ideologi yang diperjuangkan bertentangan dengan prinsip Islam,” katanya.


Ada beberapa faktor utama yang membantu kemunculan golongan Islam liberal, 
seperti cabaran terhadap umat Islam, pengaruh orientalis, kelemahan pemimpin 
Islam, kejumudan ulama dan kejahilan masyarakat.


Ideologi Islam liberal mempunyai beberapa dasar, iaitu kesatuan agama, 
menjadikan al-Quran sebagai produk budaya, mengkritik dan menghina Rasulullah 
s.a.w, menafsirkan semula Islam, mentafsir al-Quran secara hermeunatika, 
menilai semula hadis dan hukum fekah.


“Golongan Islam liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. 
Bahkan semua agama di dunia ini sama dan benar berdasarkan kepada konsep 
keseluruhan, iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan.

 
“Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi 
pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (Lintas agama).


“Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme adalah sebuah 
aturan tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah.

 
“Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah tuhan dan 
jaring adalah simbolik dari pelbagai agama,” katanya


Katanya, menurut Alwi Shihab di dalam bukunya, “Islam Inklusif: Menuju Sikap 
Terbuka Dalam Beragama”, beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan 
ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif, bukannya eksklusif untuk umat 
Islam sahaja.


Islam liberal produk barat
Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi dan Arief Budiman.


“Ulil absar Abdalla pula mengatakan: Semua agama sama. Semuanya menuju 
kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar,” katanya.


Bertitik tolak daripada fahaman ini, golongan terbabit, katanya, menyimpulkan 
bahawa semua agama adalah sama.

 
“Dengan itu mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang 
berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian dari hasil ijtihad dan 
pembaharuan hukum pada dimensi Islam,” katanya.


Golongan Islam liberal juga, katanya, menganggap ilmu usul tafsir, usul hadis, 
al-jarh wa ta’dil adalah ilmu buatan manusia yang tidak terlepas dari kesilapan 
dan kecacatan.

 
“Aliran ini mempunyai kaedah tersendiri dalam menilai hukum fekah. Apa yang 
diambil adalah tujuan hukum iaitu maslahat, bukannya bentuk hukum berkenaan. 
Justeru, ketentuan hukum boleh diubah berdasarkan maslahat manusia,” katanya.


Sebagai contoh, pembahagian harta faraid boleh diubah suai mengikut keadilan 
ahli waris, hak suami menjatuhkan talak boleh dilupuskan dan kes perceraian 
hanya boleh diputuskan hakim mahkamah sivil, poligami dilarang dan arak tidak 
haram jika tidak memabukkan.


“Aliran pemikiran Islam liberal adalah produk Barat yang bertentangan dengan 
prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


“Fahaman ini boleh menjadikan seseorang itu sesat dan terkeluar dari Islam. 
Panel Kajian Syariah Jakim dan Muzakarah Ulama Ipoh 2006 mengklasifikasikan 
fahaman ini sebagai sesat dan menyesatkan.


“Pemikiran liberal menyumbang kepada perpecahan umat Islam sesebuah negara.


“Kehadiran Muslim liberal juga satu usaha menghidupkan watak munafik zaman awal 
Islam untuk disesuaikan dengan peradaban zaman kini, justeru anda umat Islam 
perlu berwaspada ” katanya. Harian Metro


Join me  :
 http://groups.yahoo.com/group/ReSpeKs/join



  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

       
---------------------------------
Shape Yahoo! in your own image.  Join our Network Research Panel today!

Kirim email ke