KTMB Pantas Di Landasan Promosi Pelancongan

DUA SEJOLIĀ… Persembahan seni silat Melayu menjadi penyeri persandingan pasangan pengantin Norekhsan Osman dan Rohayu Yunus di dalam Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bergerak dari Stesen Gemas ke Stesen Mentakab. Perkahwinan di atas kereta api ini adalah idea baru KTMB dengan bayaran pakej antara RM3,000 hingga RM5,000 mengikut jarak perjalanan tidak termasuk makanan. Foto: Syed Muhammad Zahid
Oleh Frank Julian Martin

KUALA LUMPUR, 31 Julai  -- Kekuda diatur, pencak dipersembah namun pesilat kecil tidak dapat tidak sesekali membetulkan langkah agar kemas bertenaga apabila terhoyong-hayang tatkala Keretapi Tanah Melayu menyusur laju di atas landasannya.

Bunga seni silat Melayu dibuka menjadi penyeri majlis persandingan Norekhsan Osman dan Rohayu Yunus di atas pelamin indah yang digemerlapkan oleh lampu berwarna-warni.

Majlis menepung tawar oleh tetamu yang hadir berjalan seperti mana-mana persandingan lain namun kedua mempelai pasti tidak akan melupakannya kerana ia diadakan di atas keretapi yang menyusur selaju 80 km sejam dari Stesen Gemas ke Stesen Mentakab.

Suasana majlis terus dimeriahkan lagi dengan tarian zapin dan joget oleh para penari dan tetamu, disusuli dengan nyanyian karaoke yang turut disertai mempelai lelaki.

Nampak saja sempit namun koc khas yang ditempah pihak pengantin jelas memberikan kemeriahan yang berlainan daripada persandingan yang diadakan di rumah kampung mahupun di hotel bertaraf bintang.

Pendek kata semua yang ada cukup terhibur meraikan kedua-dua pengantin sambil menjamu makanan yang disediakan.

IDEA BARU

Perkahwinan atau persandingan di atas keretapi ini adalah satu idea baru Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam memberi pilihan kepada orang ramai.

Bayaran yang ditawarkan untuk pakej ini ialah antara RM3,000 hingga RM5,000 mengikut jarak perjalanan dan tidak termasuk makanan.

"Minimum 40 orang jemputan diperlukan untuk mendapatkan pakej tersebut. Kita boleh memuatkan 1,000 jemputan pada satu-satu masa untuk satu koc," kata Pengurus Besar Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Sarbini Tijan semasa lawatan media bersama KTMB ke Kelantan baru-baru ini.

Pakej ini telah dibangunkan dan mula dipasarkan pada tahun lepas dan seramai tiga pasangan dari Kelantan dan Johor telah menggunakan pakej ini.

"Mereka hanya membuat perjalanan secara penanggah di mana rombongan daripada pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan. Kami sediakan perkhidmatan sambungan dengan bas, selepas itu balik ke rumah lelaki," katanya.

KTMB bukan hanya cuba mengetengahkan kelainan dan pengalaman yang manis kepada mempelai malah kepada pihak keluarga mereka.

PAKEJ PELANCONGAN

KTMB turut berbincang dengan Perbadanan Pelancongan Malaysia terutama sekali di bahagian domestik dan telah mengenalpasti 12 tema yang meliputi eco-pelancongan, sukan, pra-sejarah melalui perjalanan dengan keretapi yang boleh dibangunkan.

Bagi pakej pelancongan barunya "Mari Gi Kelate", KTMB cuba membawa pelancong untuk menikmati keaslian budaya Melayu yang masih dipertahankan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Selain itu, Kelantan memiliki keindahan alam semulajadi dan mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu di Dabong.

KTMB telah mengenalpasti beberapa tempat penginapan yang terdiri daripada hotel-hotel di sekitar bandar Kota Bharu dan juga motel serta chalet di pantai Bachok.

"Bachok adalah satu tempat pelancongan yang unik kerana ia boleh dikunjungi sepanjang tahun ...tidak seperti pantai-pantai lain, pantai Bachok tidak dilanda ombak besar dan laut bergelora kerana ia dilindungi oleh Pulau Susu Dara, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas," kata Sarbini.

Beliau menjelaskan bahawa KTMB kini sedang berbincang dengan Majlis Tindakan Pelancongan Kelantan untuk mengadakan satu pakej pelancongan pada musim tengkujuh.

"Jika di pantai barat orang ramai akan berasa takut apabila berlakunya banjir, sebaliknya di pantai timur khasnya di Kelantan, penduduknya akan meraikannya dengan pesta.

"Kita cuba adakan pakej khas pada musim tengkujuh untuk merasai sambutan Pesta Air bersama penduduk Kelantan. Sambil berpesta, lazimnya golongan muda akan berkenalan antara satu sama lain, menjalinkan ikatan sehingga membawa ke jinjang pelamin," katanya.

KTMB juga akan mempromosikan tempat-tempat menarik seperti Kampung Kraftangan di Kota Bharu, Muzium Negeri, Memorial Peperangan, Muzium Istana Batu, Pasar Siti Khadijah dan Rantau Panjang yang sudah pasti merupakan kemestian untuk dilawati.

TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2007

Sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2007, KTMB merancang untuk mengadakan pelbagai program dan aktiviti di dalam mewujudkan perjalanan yang lebih menarik dengan keretapi ke destinasi-destinasi yang menjadi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara.

"Kita akan adakan aktiviti-aktiviti kebudayaan di atas keretapi itu sendiri contohnya persembahan dikir barat atau sesuatu majlis khas seperti sambutan hari jadi," katanya.

Sarbini percaya KTMB boleh membawa masuk ramai pelancong luar terutamanya dari Eropah menerusi terminal penumpang tambang murah yang terdapat di Singapura dan Thailand.

Pelancong-pelancong tersebut boleh memulakan perjalanan mereka dari stesen Hat Yai di Thailand ke Kuala Lumpur dengan menaiki Ekspres Senandung Langkawi dan dari Stesen Singapura ke Kuala Lumpur dengan menaiki Ekspres Rakyat, Sinaran dan Senanjung Malam.

Dari segi keselamatan, beliau berkata para penumpang tidak perlu bimbang kerana laluan KTM melalui bandar-bandar utama.

Pengawal-pengawal keselamatan juga sentiasa membuat kawalan dan kakitangan KTMB juga mempunyai latihan dan pengalaman yang mencukupi untuk berdepan dengan sebarang kecemasan atau kemalangan, katanya lagi.

Misalnya, jika berlaku banjir KTM mempunyai pelan kontigensi untuk membaikpulih sebarang kerosakan ke atas keretapi.

"Kita pernah memindahkan penumpang dengan selamat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan seperti pertahanan awam, bomba, polis, tentera dan sebagainya pada masa banjir," kata Sarbini.

Namun dari segi kejuruteraan, Sarbini berkata landasan keretapi merupakan perhubungan melalui darat yang terakhir dan jika ia tenggelam, bererti seluruh bandar seperti Kota Bharu ditenggelami banjir.

UBAH PANDANGAN

Melalui pelbagai pakej yang ditawarkan, KTMB berharap agar persepsi masyarakat yang menganggap keretapi sebagai 'besi buruk' sebelum ini dapat dihakis.

Dengan terhakisnya imej itu, lebih ramai orang akan menggunakan perkhidmatan keretapi untuk melancong ke banyak tempat menarik di sepanjang laluannya.

Melalui keretapi juga pelancong asing boleh mengenali lebih dekat penduduk Malaysia dan budayanya.

KTMB yang mengendalikan seramai empat juta penumpang setahun kini merancang untuk menjadi tuan rumah persidangan ketua pegawai eksekutif keretapi negara ASEAN November nanti.

Menerusi persidangan itu, KTMB berhasrat untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan menimba pengalaman daripada pengendali sistem keretapi negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja yang mengendalikan lebih 10 juta penumpang setiap tahun.

Persidangan yang akan turut dihadiri oleh pemerhati dari negara Korea Selatan, Jepun dan Britain dijangka membincangkan tiga topik iaitu dasar korporat, pemasaran (perkhidmatan penumpang dan kargo) dan teknikal.//BERNAMA
 

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com __._,_.___


SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke