Yayasan Islam Kelantan (Yik) mensasarkan 8,000 pelajar baru bakal 
mendaftar untuk belajar di tingkatan satu sekolah-sekolah agamanya 
bagi sesi pengajian tahun depan.

Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Sekolah) Yik, Ustaz Mohamad Ya 
berkata, jumlah itu bertambah berbanding 7,000 pelajar tahun ini. 

"Jumlah kemasukan dijangka meningkat memandangkan kesedaran ibu bapa 
untuk menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan agama dan akademik 
di sekolah kendalian Yik," katanya di sini. 

Menurutnya borang permohonan untuk kemasukan ke tingkatan satu mulai 
dibuka sekarang dan mereka yang berminat boleh mendapatkan di sekolah 
agama berdekatan. 

Bagi kemasukan ke sekolah kawalan iaitu Maahad Muhammadi Lelaki, 
Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong dan 
Maahad Tahfiz Sains, calon-calon perlu memperolehi sekurang-kurangnya 
3A dan 2B dalam UPSR. 

Mohamad berkata, kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelajar di 
sekolah terbabit diperuntukan kepada pelajar dari luar Kelantan. 
Ujian bertulis bagi kemasukan ke sekolah agama Yik akan diadakan pada 
2 Disember ini bermula jam 10 pagi. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi Yik 
di talian 09 712 6315 atau 09 712 4359. //Mazlan Jusoh -Hrkh
 


Kirim email ke