PUTRAJAYA 5 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu maklumat mengenai 
perkembangan Taufan Durian yang dilaporkan sedang menghala ke 
Malaysia disebarkan secara meluas kepada penduduk Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya Jabatan Meteorologi 
mengesan sesuatu ancaman bahaya akan berlaku ia perlu dimaklumkan 
segera kepada beliau bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

``Saya nasihatkan para nelayan terutama di Pantai Timur supaya 
sentiasa mengikuti siaran dan pengumuman berhubung keadaan cuaca dari 
semasa ke semasa.

``Jika terdapat amaran ombak mencecah ketinggian empat hingga enam 
meter, mereka tidak wajar lagi turun ke laut dalam keadaan 
sedemikian," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan 
Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-62 di sini hari ini.

Najib diminta mengulas pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia hari 
ini bahawa hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di 
kebanyakan tempat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mulai 
malam ini sehingga malam esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini memberitahu 
keadaan itu berpunca daripada Taufan Durian yang sedang bergerak dari 
tenggara Vietnam ke arah barat daya dengan kelajuan 24km/j merentasi 
Teluk Thailand dan menghala ke Malaysia.

Berikutan itu hujan lebat dan angin kencang akan berlaku dalam tempoh 
24 jam bermula malam ini di negeri-negeri berkenaan.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Pusat 
turut meminta penduduk di kawasan berhampiran pantai supaya sentiasa 
berhati-hati dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku ombak 
besar.

``Kita akan terus membuat siaran dan pengumuman secara terbuka 
tentang keadaan cuaca yang kita akan hadapi. Apa yang penting 
maklumat mengenainya perlu disebar secara meluas kepada mereka yang 
tinggal di kawasan tertentu," katanya lagi.

Mengenai persediaan menghadapi ancaman Taufan Durian, beliau berkata, 
jawatankuasa itu sentiasa memantau keadaan semasa dan sudah 
mengarahkan semua pihak yang terlibat dalam operasi membantu mangsa 
banjir mengikuti perkembangan tersebut dan sekiranya perlu 
menempatkan aset-aset tertentu di kawasan berkenaan.

Katanya, jawatankuasa berkenaan telah menempatkan anggota tentera, 
polis dan pertahanan awam di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan 
sekiranya keadaan memerlukan, bantuan tambahan akan 
disediakan.//Utusan


Kirim email ke