SUMATERA BARAT TAWAR LESEN KAIL IKAN

Gabenor wilayah garis peluang bagi peniaga Singapura

Oleh
Rosebi Mohd Sah

SUMATERA Barat akan menyediakan lesen bagi pengusaha Singapura yang berminat melakukan penangkapan ikan di dua kawasan lautan perikanan yang popular di sana.

Pengusaha itu juga akan diberi keutamaan jika mereka ingin meneroka memulakan kilang memproses ikan di sana, kata Gabenor Sumatera Barat, Encik Zainal Bakar.

Beliau juga menawarkan pengusaha Singapura membuka pelbagai kilang di sana, termasuk memproses atau mengetinkan daging lembu atau ternakan lain kerana terdapat banyak bekalan lembu dan ternakan lain di sana.

Mereka yang berminat memproses, membuat pakej dan memasarkan hasil pertanian di sana seperti beras, sayur-sayuran dan buah-buahan setempat juga dialu-alukan membuat penerokaan perniagaan atau usaha sama dengan peniaga di sana.

'Bagi pengusaha yang ingin bekerjasama bagi penangkapan ikan, kami akan menyediakan lesen secara rasmi.

'Ada dua kawasan perairan yang sememangnya terdapat banyak ikan, terutama ikan tuna, iaitu di kabupaten distrik Pesisir Selatan dan di kepulauan Mentawi.

'Ia merupakan satu potensi niaga yang sangat baik. Sebelum ini kawasan perairan di sana digunakan secara haram oleh nelayan. Tetapi sekarang, kami akan memberi kemudahan bagi pengusaha Singapura memanfaatkan kawasan tersebut dengan memberi lesen bagi mereka menangkap ikan di sana.

'Malah, mereka juga boleh meneroka membuka kilang di sana sama ada membuka cold storage atau kilang perikanan atau mengeksport barangan segar daripada hasil tanaman kami,' kata Encik Zainal Bakar dalam temu bual dengan Ekoniaga di Hotel Mandarin Jumaat lalu.

Beliau dan rombongannya berada di sini selama empat hari mulai Rabu lalu atas udangan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Brigedier-Jeneral (Kerahan) George Yeo.

Rombongan Encik Zainal Bakar yang terdiri beberapa pegawai dan peniaga di sana antara lain bertujuan meneroka peluang perniagaan dan mencari rakan perniagaan yang ingin melabur dan melakukan perniagaan di Sumatra Barat.

Satu lagi bidang sangat berpotensi yang harus dimanfaatkan pengusaha Singapura ialah pelancongan, katanya.

Ini kerana Sumatera Barat, katanya, destinasi pelancongan ketiga paling popular di Indonesia, selepas Bali dan Jogjakarta.

Ini terutama apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Ketaping di sana siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Antara bidang khusus yang mempunyai permintaan tinggi dalam pelancongan di sana termasuk perhotelan, pusat peranginan dan kegiatan melungsur air (surfing), tambahnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Lembaga Perancangan Pembangunan Serantau Sumatra Barat di e-mel [EMAIL PROTECTED].

__________


Do you Yahoo!?
Yahoo! Search - Find what you’re looking for faster.
____________________________________________________
Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: 
http://groups.or.id/mailman/options/rantau-net
____________________________________________________

Kirim email ke