SETIAP anak yang dilahirkan akan diberi nama oleh ibu bapanya. Malah, ramai
ibu bapa memilih nama yang disukai lebih awal. Proses menamakan anak ini
sering dilihat oleh ibu bapa sebagai hak istimewa mereka.

Ini berbeza dengan sepasang suami isteri dari New York yang tidak mahu
menggunakan hak istimewa ini, sebaliknya melelong hak itu dengan harga
AS$500,000 (RM1.9 juta).

Agak terperanjat juga saya ketika membaca berita luar negara bertajuk “Suami
isteri lelong hak namakan anak dalam Internet,” seperti yang disiarkan dalam
sebuah akhbar tempatan pada 28 Julai 2001.

Pasangan itu yang sedang menunggu kelahiran anak ketiga mereka ketika itu,
berharap mana-mana penaja korporat akan sanggup membayar AS$500,000 (RM1.9
juta) untuk menamakan anak mereka itu. Ini bermakna anak itu kelak mungkin
bernama Heinz, Microsoft, Coke atau Kraft.

Pasangan itu membuat lelongan untuk membolehkan mereka membeli rumah lebih
besar dan membiayai kos pendidikan anak mereka. Bagi suami isteri ini, cara
itu memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk mendapatkan publisiti
ketika nama itu diumumkan kelak.

Demikianlah keadaan manusia apabila hidup tidak ada bimbingan dan panduan.
Hak menamakan anak yang menjadi hak istimewa mereka menjadi seperti barang
yang boleh dilelong. Malah, ia dijadikan aset untuk mendapatkan sejumlah
wang bagi menikmati taraf hidup lebih selesa.

Berbeza dengan umat Islam yang dibimbing al-Quran dan hadis, hak menamakan
anak dianggap amat istimewa dan umat Islam biasanya menggunakan hak ini
dengan sebaik-baiknya.

Islam sebagai satu cara hidup, memberi panduan kepada umatnya mengenai semua
perkara, termasuk berkaitan hak memberi nama kepada zuriat mereka.

Dalam Islam hak ini begitu istimewa dan perlu digunakan sebaik-baiknya. Ini
kerana nama itu akan bersama dengan anak itu sehingga hayatnya.

Oleh itu, proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut
garis panduan yang diberikan oleh Islam.

Satu daripada garis panduan itu ialah masa menamakan anak berkenaan.

Ada mengatakan anak itu patut dinamakan pada hari kelahirannya. Ini
berdasarkan kepada peristiwa di mana Nabi Muhammad saw menamakan anak Abu
Usaid dengan nama al-Munzir pada hari kelahiran bayi itu.

Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa anak itu perlu dinamakan pada hari
ketujuh selepas kelahirannya. Ini berdasarkan sepotong hadis bermaksud,
“Setiap budak tergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari
ketujuhnya dan dinamakan serta dicukurkan kepalanya.”

Jadi, berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw ini, ada kelapangan dari segi
masa untuk menamakan anak. Mereka boleh dinamakan pada hari kelahirannya
atau pada hari ketiga selepas kelahiran. Jika masih belum dinamakan,
digalakkan menamakan bayi pada hari melaksanakan akikah (hari ketujuh).

Selain itu, Islam memberi garis panduan nama yang harus dipilih untuk anak
kita. Umat Islam dituntut untuk menamakan anak dengan nama paling baik dan
indah.

Ini seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw dalam hadis baginda
bermaksud, “Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu
dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelok nama kamu.”(Riwayat Abu
Daud).

Apa pula nama baik dan buruk? Dalam hal ini, Rasulullah saw pernah bersabda
bermaksud: “Namakanlah (anak kamu) dengan nama nabi. Dan sebaik-baik nama di
sisi Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Apa yang bagus lagi ialah Haris
dan Hammam. Dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.”

Ibu bapa juga dilarang menamakan anak dengan nama buruk yang boleh
merendahkan kehormatan anak atau dijadikan bahan ejekan. Rasullah saw
sendiri pernah menukarkan nama anak perempuan Umar bin Al-Khattab daripada
Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti yang cantik.

Ibu bapa juga perlu menghindari daripada memilih nama yang membawa maksud
`sial’ agar anak terpelihara dari kesialan yang dibawa oleh nama itu.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bertemu seorang bernama Hazan
(bermaksud duka cita), lalu baginda menyuruhnya menukar nama itu kepada
Sahel (mudah). Namun, orang bernama Hazan itu enggan menukar nama yang
diberi oleh bapanya. Akibatnya, dia sendiri mengakui bahawa perasaan duka
cita tidak pernah lekang daripada dirinya.

Islam juga menuntut supaya ibu bapa menghindari daripada menamakan anak
dengan nama khusus bagi Allah seperti al-Ahad (bermaksud Yang Esa),
Ash-Shamad (tempat meminta’), al-Khaliq (Yang Mencipta) dan Ar- Razzaq (Yang
Pemberi Rezeki).

Ini amat tidak digalakkan sehingga Rasulullah saw pernah menukarkan nama
seorang sahabat bernama Hani tetapi bergelar Abul Hakam oleh kaumnya kepada
Abu Syuraih. Ini kerana Abul Hakam itu seperti nama Allah al-Hakam yang
bermaksud terserah kepada-Nya segala hukum. Oleh demikian, Nabi menukarkan
gelaran itu kepada Abu Syuraih iaitu bapa Syuraih, mengikut nama anak
sulungnya.

Islam juga melarang ibu bapa menamakan anak dengan nama mengandungi unsur
kemewahan atau menunjukkan nasib baik. Ini bertujuan mengelakkan kekeruhan
apabila ternyata anak itu tidak seperti tergambar pada namanya. Contohnya,
nama seperti Aflah (bermaksud sangat berjaya), Nafi’ (sangat berguna), Rabah
(sangat beruntung) dan Yasar (sangat mewah).

Ini berdasarkan hadis bermaksud: “Ucapan yang sangat disukai Tuhan ada
empat: Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaaha Illallaah dan Allahu Akbar.
Jangan kau namakan anakmu Yasar atau Rabah atau Najihan atau Aflah kerana
kau akan berkata: Apakah betul ia itu begitu? Jika tidak, engkau jawab: Ia
tidak.”

Ibu bapa juga perlu menjauhkan diri daripada menamakan anak dengan nama
hamba kepada selain daripada Allah seperti Abdul Uzza (bermaksud hamba
berhala), Abdul Kaabah (hamba Kaabah), Abdun Nabi (hamba Nabi) dan
seumpamanya. Ulama bersependapat bahawa nama seperti ini adalah haram.

Akhir sekali, ibu bapa hendaklah mengelakkan daripada menamakan anak dengan
nama orang kafir supaya umat Islam dikenal dengan namanya yang istimewa dan
sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri.

Jadi ternyata, hak istimewa bagi ibu dan ayah dalam menamakan anak perlu
digunakan sebaik-baiknya mengikut garis panduan Islam. Ternyata menamakan
anak bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dianggap enteng, lalu menamakan
anak dengan nama yang hanya sedap disebut dan didengar, tetapi tiada makna
baik.

Sebaliknya, kita perlu memikirkan nama anak dengan baik dan teliti kerana
daripada nama mereka tercermin harapan serta doa orang yang memberi nama
itu. Adalah diharapkan sifat baik yang ada pada nama baik itu akan dimiliki
oleh anak berkenaan.

Kadang kala, dalam proses memilih nama ini, ibu bapa tidak mencapai
persetujuan. Si ibu memilih nama A, sedangkan si bapa memilih nama B. Jika
persetujuan tidak dicapai, Islam melihat bahawa suami lebih berhak
menentukan nama anak.

Ini kerana al-Quran juga menetapkan bahawa anak itu menurut keturunan ayah,
bukan keturunan ibu. Ini jelas dalam firman-Nya bermaksud : “Panggillah
mereka dengan (nama) kepada bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi
Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 5).

Islam juga melarang ibu bapa daripada memanggil anaknya dengan panggilan
tidak baik seperti si pendek, si comot dan si buruk. Ini jelas dalam firman
Allah bermaksud :“...dan janganlah pula kamu panggil-memanggil di antara
satu dengan lain dengan gelaran yang buruk...” Ini kerana gelaran buruk itu
boleh mendatangkan kesan negatif dalam jiwa anak tadi.

Dalam masyarakat kita, adalah sesuatu yang biasa apabila nama yang diberi
berlainan dengan nama panggilannya. Biasanya nama panggilan ini lebih
ringkas daripada nama sebenar.

Sering kali kita mendapati anak yang mempunyai nama sedap dan baik
maksudnya, dipanggil dengan nama pendek yang tiada makna. Misalnya anak
bernama Muhammad, dipanggil Boboy. Anak yang memang sedap namanya yakni nama
yang mengikut nama junjungan kita, Nabi Muhammad saw, kini dipanggil dalam
bahasa Inggeris yang tiada makna baik dari segi Islam.

Hal begini perlu dielakkan kerana nama itu juga doa. Dengan memanggil nama
itu, kita seolah-olah berdoa agar unsur baik pada nama itu terjelma dalam
peribadi anak kita. Oleh demikian, jika nama sebenarnya sudah baik, teruskan
memanggilnya dengan nama itu agar harapan kedua ibu bapa tadi terjelma dalam
peribadi si anak.

Bersyukurlah kerana sebagai umat Islam, kita diberi panduan dalam setiap
lapangan hidup, hatta menamakan anak sekalipun.

Gunakanlah garis panduan ini dengan baik kerana anak kita akan menggunakan
nama itu sehingga akhir hayatnya.



_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp.


RantauNet http://www.rantaunet.com

Isikan data keanggotaan anda di http://www.rantaunet.com/register.php3
===============================================
Mendaftar atau berhenti menerima RantauNet Mailing List di
http://www.rantaunet.com/subscribe.php3

ATAU Kirimkan email
Ke/To: [EMAIL PROTECTED]
Isi email/Messages, ketik pada baris/kolom pertama:
-mendaftar--> subscribe rantau-net [email_anda]
-berhenti----> unsubscribe rantau-net [email_anda]
Keterangan: [email_anda] = isikan alamat email anda tanpa tanda kurung
===============================================

Kirim email ke