09 Oktober, 2002 16:40PM  

K'jaan T'ganu Akan Nyatakan Pendirian Mengenai Cadangan Baru LPT

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan menyatakan pendiriannya mengenai cadangan baru pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kepada Kementerian Kerja Raya dalam beberapa hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri akan memberi jawapan terhadap cadangan perubahan jajaran LPT daripada jajaran asal yang melibatkan sebahagiannya pembesaran jalan untuk dijadikan lebuh raya dari Kemaman ke Chendering.

Rancangan pembinaan LPT di Terengganu pada mulanya adalah sejauh 169km dengan kos RM1.46 bilion dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Ia dicadangkan bermula di dua tempat -- di sempadan Pahang dari Jabor, Kemaman dan dari Chendering, Kuala Terengganu ke Bukit Besi, Dungun.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyatakan cadangan jajaran baru yang dikemukakan kerajaan pusat.

Kerajaan negeri akan turut memberikan cadangan kepada kementerian itu supaya memberikan tumpuan kepada kontraktor tempatan untuk terlibat secara langsung dalam projek pembinaan LPT itu, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco mingguan di sini hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan tetap meneruskan projek lebuh raya yang diswastakan "Motorway" dari Jabor, Kemaman hingga ke Bukit Kubu, Jertih tahun depan dan dijangka akan disambung ke Kelantan dan Selatan Thailand.

-- BERNAMA


_____________________________________________________________________
Disclaimer: This email and any attachments may contain confidential and/or proprietary information. If you are not the intended recipient,
kindly delete this email including all attachments, destroying all forms of all copies, and do not disclose, disseminate or otherwise make use of the information contained therein. Non-compliance with the forgoing may result in legal action.

This message has been checked for all known viruses by the
MessageLabs Virus Scanning Service. For further information visit
http://www.messagelabs.com/stats.asp

Kirim email ke