*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
INILAH HASIL PERJUANGAN UMNO UNTUK MEMARTABATKAN BANGSA MELAYUKU....
BELUM PUN TAHUN 2020; MELAYUKU SUDAH PUN MULA MENGHILANG DI MUKA DUNIA!!

HIDUP MELAYU!!

------------------------------------------------------------------------

Nasib Bahasa Melayu

Oleh: ZALINA YAHAYA (WARTAWAN UTUSAN)
ISU kegagalan hampir 50,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2000 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu hanyalah ibarat cebisan
daripada luka yang sebenarnya yang sudah sekian lama bernanah
dan tidak pernah sembuh.

Ia bukan masalah baru. Sebelum ini, bilangan mereka yang gagal
atau mendapat F9 dalam mata pelajaran tersebut tidak jauh berbeza
daripada tahun ini.

Masalah ini tidak begitu dipandang berat dan sering dianggap satu
fenomena biasa. Bagaimanapun tahun ini, bilangan kegagalan itu
agak jelas kerana melalui konsep pensijilan terbuka yang
diperkenalkan, pelajar yang gagal dalam Bahasa Melayu tidak layak
mendapat sijil.

Bahasa Malaysia kertas Julai menjadi penyelamat bagi pelajar yang
berminat untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) atau mempunyai perancangan untuk bekerja di sektor
kerajaan.

Tetapi berapa kerat sangatkah daripada kita yang peduli dengan
semua ini? Perkembangan pesat institusi pendidikan tinggi swasta
(IPTS) di negara ini nampaknya memudaratkan lagi kepentingan
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

IPTS boleh dianggap sebagai penyelamat kepada mereka yang tidak
begitu mementingkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Melayu.

Kelulusan Bahasa Melayu ini tidak mempunyai nilai langsung
sekiranya pelajar mengambil program yang ditawarkan dengan
kerjasama universiti luar negara.

Malah Persatuan Kolej-kolej Swasta Malaysia (MAPCO) sendiri
mengakui Bahasa Melayu bukanlah keutamaan untuk seseorang
melanjutkan pelajaran ke IPTS. Yang penting ialah kredit yang baik
dalam mata pelajaran lain dan bersesuaian dengan program yang
dipohon.

Satu tamparan kepada Bahasa Kebangsaan, tetapi kita menutup
sebelah mata terhadap penghinaan ini kerana kita begitu dibayangi
dengan kehebatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa
dunia. Oleh yang demikian Bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa
pengantar dan ini pula bukan satu `dosa', walaupun kita telah
mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di IPTS bukanlah
satu kesalahan kerana Akta IPTS 1996 sendiri yang
menghalalkannya, terutamanya jika sesebuah IPTS itu mempunyai
pelajar asing.

Inilah budaya yang sentiasa ditanamkan dalam jiwa rakyat negara ini.
Sentiasa memuliakan tetamu walaupun sering kali akhirnya hak kita
sendiri terkorban. Persoalannya, apakah perkembangan yang berlaku
ini satu petanda awal kepada kejatuhan Bahasa Melayu di alaf baru?

Kepentingan Bahasa Melayu hanya untuk anak-anak sekolah
mendapat sijil. Setelah melepasi tahap ini, Bahasa Melayu terpaksa
mengalah dengan Bahasa Inggeris yang dilihat sebagai syarat mutlak
untuk laku di pasaran kerja. Di sektor-sektor swasta, syarat fasih
berbahasa Inggeris menjadi keutamaan walaupun prestasi akademik
tidak cemerlang. Maka jadilah taraf Bahasa Melayu hanyalah seperti
mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Inggeris, Pengajian
Agama Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Matematik.

Wajib diambil, tetapi cukup sekadar lulus untuk melayakkan pelajar
mendapat sijil.

Persoalannya, adakah kegagalan pelajar di peringkat SPM ini
merupakan satu loceng amaran awal mengenai sikap kita yang kini
nampaknya terlalu memberatkan Bahasa Inggeris dalam semua hal.

Malah sokongan untuk memantapkan penggunaan Bahasa Melayu
selepas tamat pengajian di peringkat tertinggi juga nampaknya begitu
rapuh.

Bidang pekerjaan berstatus profesional seperti kejuruteraan,
undang-undang, seni bina, perakaunan terlalu memandang sepi
kepada kepentingan Bahasa Melayu.

Seterusnya, globalisasi dan dunia tanpa sempadan menguatkan
hujah kita menolak ke tepi kepentingan Bahasa Melayu. Seperti kata
Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Juriah Long, penekanan yang
tidak seimbang antara dua bahasa utama ini mungkin memberi kesan
negatif kepada pencapaian pelajar dalam Bahasa Melayu.

Perkara ini menurut Dr. Juriah tidak berlaku ketika tahun 1970-an dan
1980-an dahulu yang menyaksikan penguasaan bahasa di semua
peringkat adalah baik.

Mungkin faktor semangat kebangsaan ketika itu yang begitu
memperjuangkan keagungan Bahasa Melayu boleh dikaitkan dengan
senario ini.

Bagaimanapun perjuangan tidak seimbang ini sebenarnya tidak
membantu dalam memajukan penguasaan bahasa sesuatu bangsa.
Bahasa Melayu perlu di kendong dan bahasa Inggeris jangan
dibiarkan keciciran.

Bagi beliau, ketidakseimbangan memperjuangkan isu ini akan
memberikan kesan negatif kepada guru dan juga pelajar di sekolah.

``Guru akan merasa tidak bermotivasi untuk mengajar dan pelajar pula
tidak bermotivasi untuk belajar,'' katanya.

Hakikatnya, menurut pakar pendidikan bahasa itu, kedua-dua bahasa
itu penting dalam mengharungi dunia globalisasi. Tetapi, adilkah kita
menunding jari kepada penekanan yang tidak seimbang ini jika pelajar
dan guru sendiri tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk
mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Seharusnya tempoh 11 tahun mempelajari Bahasa Melayu sudah
cukup untuk seseorang itu menguasai bahasa dengan baik.

Malah kata Dr. Juriah, penguasaan Bahasa Melayu seharusnya tidak
menjadi masalah jika pengajaran bahasa secara merentas kurikulum
sepertimana yang disarankan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) ditafsir
dan dilaksanakan dengan sempurna.

Bagaimanapun seperti kata Pengarah Pusat Bahasa, Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan, dalam hal ini, kita
sebenarnya hanya terlalu banyak menghasilkan cadangan yang
muluk-muluk, tetapi pelaksanaannya begitu mengecewakan.

Bahasa Melayu dalam mata pelajaran lain seperti Sejarah, Geografi,
Sains dan Matematik hanya sekadar untuk difahami dan memahami.

Yang penting ialah pelajar mampu memberikan jawapan yang betul
mengikut kehendak soalan. Laras dan tatabahasa bukan ukuran.
Maka, bukan mustahil apabila kita mendapati terdapat sebilangan
daripada lulusan SPM kita mampu mencapai keputusan yang
cemerlang dalam mata pelajaran lain (yang pastinya menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi), tetapi gagal dalam
Bahasa Melayu.

Oleh itu, Dr. Awang mencadangkan 30 peratus diperuntukkan khas
kepada soal bahasa dalam memeriksa kertas-kertas jawapan.

`Hukuman' ini mungkin agak keterlaluan, tetapi bagi beliau inilah
sahaja yang boleh dilakukan supaya pelajar lebih memandang berat
terhadap soal bahasa.

Mungkin pandangan radikal Dr. Awang itu ditafsirkan sebagai
pandangan yang dilahirkan oleh kelompok pejuang bahasa. Malah
beliau sendiri berada di institusi yang dipertanggungjawabkan untuk
memartabatkan bahasa dan kelompok yang memperjuangkan isu
bahasa selalu dicap sebagai `fanatik bahasa'.

Bagaimanapun dalam hal ini, terutamanya dalam soal bahasa, kita
perlu menjadi fanatik kerana sikap berlembut dan mengalah selama
ini banyak memakan diri. Satu pertanyaan di sini, adakah kelulusan
dalam Bahasa Melayu ini adalah satu indikator kepada penguasaan
yang baik dalam bahasa ini.

Menurut Dr. Juriah, ini tidak selalunya berlaku. Malah pernah seorang
pelajar yang mendapat kelas pertama di Jabatan Linguistik
tergagap-gagap untuk bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

Kes yang dikemukakan oleh Dr. Juriah ini adalah antara banyak kes
yang berlaku kepada pelajar bukan Melayu yang lulus cemerlang
tetapi mempunyai masalah besar untuk berkomunikasi dengan baik.

Senario ini memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa bahasa
Melayu hanya dikuasai untuk lulus peperiksaan semata-mata dan
bukan untuk menghayatinya. Bagi pensyarah di Jabatan Linguistik,
UKM, Prof. Madya Dr. Ramli Md. Salleh, masalah yang berlaku ini
berpunca daripada salah tanggapan pelajar terhadap konsep
mempelajari bahasa.

``Bahasa tidak dipelajari dalam bentuk aplikasi, sebaliknya hanya
sebagai ilmu yang terasing,'' katanya.

Bahasa bukanlah isu baru dan isu ini adalah sesuatu yang rumit
sentiasa mencuit sensitiviti masyarakat.

Ia perlu ditangani dengan baik dan perjuangan untuk meletakkannya
di tempat yang teratas perlu dilakukan dengan penuh diplomasi dan
tidak menyusahkan kerana untuk menguasai bahasa, ia perlu dicintai
secara rela dan bukan paksaan.


______________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2bmail.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke