Isu Naib Canselor UPM: Mengapa?
Oleh Dr Shafie Abu Bakar

1. Pendahuluan 

Isu yang paling hangat dalam bidang akademik yang
tercetus sejak awal Mei 2005 hingga kini ialah
mengenai desakan `Perletakan Jawatan Naib Canselor
(NC) UPM`. Akhbar-akhbar perdana membawa judul di
halaman depan di dada akhbar-akhbar masing-masing.
Antaranya:

``Dr Zohadie didesak letak jawatan Naib Canselor UPM``
(BH, 9 Mei, 2005: 1) 

`Universiti Putra V-C asked to resign`` (NST, May 9,
2005: 1). 

Berita-berita berkenaan sememangnya mengejut dan
menarik perhatian. Pembaca mahu tahu apakah sebabnya
yang mewajarkan tuntutan agar NC UPM tersebut diminta
meletakkan jawatan. 

Sebab nyata yang diberi ialah kerana NC UPM
mempersoalkan arahan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Dr
Shafie Mohd. Salleh, iaitu dengan mengirim memorandum
membantah arahan penukaran Program Aerospace
Engineering yang terbina di UPM ke UKM. 

Bantahan ini dikatakan mencemarkan nama UPM dan
merosakkan hubungan baik UPM dengan Kementerian
Pengajian Tinggi. Sebab itu beliau telah diminta
meletak jawatan NC oleh Pengarah Lembaga Pentadbiran
UPM, iaitu Tan Sri DrZainul Ariff Hussain yang telah
mengambil keputusan dikatakan melalui mesyuarat
mengejut pada Rabu 4 Mei sebelumnya. Pihak Pengarah
Lembaga Pentadbiran juga tidak berpuas hati dengan
Dr.Muhamad Zohadie yang dikatakan membaca pantun di
dalam satu majlis anjuran Alumni di UPM yang
ditafsirkan sebagai memperli Datuk Dr. Mohd. Shafie. 

2. Pertembungan antara `Budaya PTD` dan Akademik 

Isu meminta NC UPM meletakkan jawatan yang dibuat oleh
Tan Sri Zainul Ariff Hussain berkait dengan arahan
pemindahan Program Aerospace Engineering yang
dipersoalkan oleh Dr. Muhamad Zohadie adalah merupakan
pertembungan antara budaya PTD (Pegawai Tadbir dan
Diplomatik) dan Budaya Akademik. Di dalam budaya PTD
yang dilatih dengan mentaliti boss, bahawa arahan
`Tuan Pegawai Tadbir` hendaklah dipatuhi, tanpa
dipersoal, apalagi menentang, jika tidak ianya akan
merosakkan authority, protocol, wibawa dan maruah
`Tuan Pegawai Tadbir`. Inilah mekanisme dan formula
yang dikatakan dapat melicinkan pentadbiran, walaupun
mungkin tidak benar atau tidak tepat Ini bercanggah
dengan `Budaya Akademik` yang setiap pelajar dan
pengajar yang hidup di dalam alam akademik dilatih
berfikir secara kritis. Tiap suatu yang disogokkan
hendaklah dinilai, dikaji, dipersoal dan dibukti
kebenaran dan kewajarannya. 

Berhubung dengan kes permintaan supaya Dr.Muhamad
Zohadie meletakkan jawatan dari NC jelas
memperlihatkan bahawa Zainul Ariff adalah Bekas Ketua
Pentadbir diberbagai-bagai Kementerian dan kini
Pengarah Lembaga Pentadbiran UPM. Topi PTD di luar
universiti masih dipakai di dalam budaya universiti.
Arahan memindahkan Program Aerospace Engineering
datangnya dari Menteri Pengajian Tinggi Dato'Dr.
Shafie Mohd. Salleh Boss Tertinggi di dalam
Kementerian Pengajian Tinggi, maka arahan ini
sewajibnya dipatuhi tanpa soalan agar aturan dan
protokal tidak bercanggahan. Sebaliknya di atas budaya
kritis yang diajar di universiti bagi mempastikan
kebenaran Muhamad Zohadie, merasakan kewajaran arahan
harus dipersoalkan, lantaran ianya bertentang dengan
reality kewujudan Program Aerospace Engineering di UPM
yang tentu mendapat restu Kementerian Pelajaran.
Mengapa ianya harus ditarik dan mengapa pula perlu
dipindah ke UKM. Di dalam konteks ini adalah arahan
dipersoalkan dan atas alasan-alasan yang wajar,
termasuk program telah berjalan dengan baik, akan
mengganggu kesinambungan pelajar yang sedang mengikuti
kursus, mengganggu kepakaran tenaga pengajar yang ada
di UPM, kerjasama yang dilakukan dengan pihak luar dan
pengiktirafan yang didapati mewajarkan NC menghantar
memorandum kepada pihak Kementerian Pelajaran. Dari
segi rasional ianya dilihat sesuatu yang logik, wajar
dan tidak boleh diertikan sebagai keingkaran. Ianya
merupakan proses mencari kebenaran dan kewajaran
hingga arahan tidak dilihat sebagai adhoc dan sembrono
! 

3. Mempersoalkan Kementerian Pengajian Tinggi 

Arahan menukar program adalah rentetan memperlihatkan
Kementerian Pengajian Tinggi masih tidak mempunyai
Pelan Dasar Tindakan Sepadu Kementerian Pengajian
Tinggi yang menjadi rujukan polisi, tindakan dan
penilaian. Selama ini terlihat sesuatu polisi,
program, arahan dan tindakan dibuat secara adhoc,
tidak terancang dan sewenang-wenang. Apabila
Kementerian Pengajian Tinggi diwujudkan dan Menteri
yang sekarang ini dilantik (Awal April 2004) kita
meletakkan harapan yang tinggi, bahawa kementerian ini
akan menjadi satu kementerian yang dinamik di dalam
merangka dasar, polisi, pendekatan dan pengunjuran
pengajian tinggi yang melibatkan semua institusi
pengajian tinggi awam dan swasta dan galakan
pengembangan keilmuan sehingga pencapaian pengajian
tinggi dan perkembangan keilmuan di Negara ini
memuncak menandingi institusi-institusi pengajain
tinggi terkenal di dunia, sesuai dengan keinginan
Malaysia menjadi hub keilmuan di rantau ini dan di
dunia. 

Malangnya selepas melihat Kementerian tidak dapat
menampilkan satu Dasar Pengajian Tinggi secara
Komprehensif, Konkrit dan Bersepadu, sebaliknya
Menterinya bercakap mengenai isu-isu yang tidak
mencerminkan sesuatu yang sepada dan selaras mengenai
ijazah dwi pengkhususan (BH, 22 April 2004: 12) yang
merupakan sesuatu yang bukan baru di universiti,
Pengajian Ethnik (Sunday Star 18 July 2004: 18) yang
juga bukan baru (boleh dimasukkan ke dalam kursus
Kenegaraan Malaysia yang sedia ada), Wakil Khas
Kementerian Pengajian Tinggi bertaraf Menteri -
Effendi Norwawi (BH 18 Ogos 2004: 8) yang fungsinya
hingga kini tidak diketahui, penstrukturan semula LAN
(BH 23 Ogos 2004: 10) baik, tapi apakah telah
dilakukan ? dan sebagainya. Ketidakselarasan dan
kecelaruan ini menyebabkan dirasakan, bahkan
disuarakan agar Dasar Pengajian Tinggi Negara (DPTN)
yang holistic dirangka yang boleh dijadikan panduan
tindakan, rujukan dan penilaian. Hasil dari teguran
yang pernah dibuat, perkara ini diucapkan oleh Dr.
Shafie Mohd Salleh sebagai bahan kempennya sebelum
pemilihan Jawatankuasa Tertinggi UMNO yang berlangsung
pada 23 September 2004, tetapi buku mengenai DPTN ini
masih belum dikeluarkan. Kepentingan dasar ini turut
dibangkitkan oleh Pemuda UMNO baru-baru ini. Antara
gesaan itu menyebut: 

``Putrajaya: Pemuda UMNO menggesa Kementerian
Pengajian Tinggi membentangkan rangka tindakan atau
blueprint mengenai dasar universiti dan kolej
universiti awam supaya orang ramai mempunyai gambaran
jelas mengenai sebarang keputusan kerajaan.``
Seterusnya kenyataan menyambung, ``Jika Menteri
Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Salleh bertindak
secara sedikit demi sedikit, warga akademik, pelajar
dan ibu bapa akan keliru dengan keputusan kementerian
itu``. (BH 13 Mei 2005: 17). 

Dalam kata lain Dasar dan Pelan Tindakan Menyeluruh
Kementerian Pengajian Tinggi perlu wujud yang menjadi
asas bagi sebarang keputusan dan tindakan yang dibuat.
Dalam hubungan dengan arahan memindahkan program
Aerospace UPM ke UKM orang mempersoalkan dasar dan
kewajaran Kementerian Pengajian Tinggi bertindak
sedemikian secara mengejut dan merugikan pelajar,
pengajar dan dasar di UPM itu sendiri. Jika dikatakan
hendak mengkhususkan pengajian tersebut pada satu
universiti sahaja, orang dapat mempersoalkan, banyak
lagi kursus-kursus yang bersifat duplikasi dan
dianjurkan oleh lebih dari satu buah universiti. Ambil
saja contoh Pengajain Bahasa dan Sastera Melayu wujud
di UKM, UM, UPM, USM dan UPSI, apakah ianya perlu
dipindahkan kepada satu institusi sahaja ? Demikian
juga pengajian ekonomi dan perniagaan ada di UM, UKM,
UPM dan UUM. Begitu juga dengan pendidikan ada di UM,
UKM, UPSI dan USM.. Sebenarnya wujudnya Fakulti,
Jabatan, program dan sebagainya berada di lebih dari
sebuah universiti bukan persoalan, tetapi lebih kepada
keperluan dan kepentingan. Misalnya wujudnya Fakulti
Perubatan di lebih dari satu universiti di Malaysia,
ialah kerana kepentingan untuk melahirkan pegawai
perubatan yang terus tidak kecukupan di negera ini
sebab itu Fakulti Perubatan wujud di UM, UKM, USM,
UIAM dan UPM. Bahkan satu-satu fakulti, Jabatan dan
program perlu wujud sekurang-kurangnya di dua buah
universiti di Negara ini, bukan saja bagi menampung
pelajar, tetapi juga sebagai ukuran perbandingan mutu
yang menjadi penilaian dan pemilihan pelajar. Di dalam
kata lain adalah wajar dan releven wujudnya dua
Program Aerospace Engineering di UPM dan UKM bagi
kebaikan universiti dan bagi peningkatan mutu bagi
kedua-dua universiti tersebut. 

4. Agenda Tersirat 

Berhubung dengan arahan supaya NC UPM Dr. Mohamad
Zohadie meletakkan jawatan kerana mempersoalkan arahan
Menteri Pengajian Tinggi supaya memindahkan pengajian
program Aerospace Engineering sebenarnya ada agenda
tersirat yang bukan rahsia di kalangan warga akademik
di UPM. Antara agenda tersirat ini ialah campur tangan
Umno. 

4.1. Campurtangan Umno 

Sebagaimana di UKM dan UM, Umno menggunakan
orang-orangnya di universiti memantau penyokong parti
lawan di universiti, demikian juga di UPM, dikatakan
pekerja yang merisik tentang penyokong-penyokong parti
lawan Umno di UPM ini wujud. Pihak talibarut Umno ini
dikatakan membawa perkara ini kepada pengetahuan NC
UPM. Tetapi pihak NC dikatakan hanya mengambil
tindakan menasihat pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja
yang terlibat agar tidak keterlaluan hingga mengganggu
tugas di universiti. Pihak talibarut berkenaan tidak
berpuashati dengan tindakan menasihat sahaja. Ini
menjadi salah satu sebab yang dicari-cari bagi
menjatuhkan NC UPM tersebut. 

4.2. Kepentingan Peribadi 

Salah satu punca yang membawa ke arah tindakan meminta
Mohamad Zohadie meletakkan jawatan, umum dikatakan
bahawa semasa Menteri Pengajian Tinggi sekarang
menjadi Timbalan Menteri Kewangan, isteri beliau yang
menjadi pensyarah pendidikan di UPM pernah memohon
jawatan Profesor di Fakulti Pendidikan. Permohonannya
tidak berjaya. Mohamad Zohadie ditanya mengenai
keputusan interview berkenaan. Beliau menjawab,
keputusan dibuat oleh lembaga penilai tentang
kelayakan pemohon dan keputusan bukan dibuat secara
berseorangan. Selepas itu calon berkenaan telah
berpindah ke KUIM dengan ditawarkan jawatan professor
dan kini dengan jawatan itu ia berpindah ke UPSI. Ini
menjadi punca terlonggok masalah yang digunakan oleh
musuh-musuh beliau. 

4.3. Ramai Peminat Untuk Mengambil Alih jawatan NC UPM


Jawatan NC di universiti adalah menjadi jawatan
tadbiran tertinggi di universiti yang diminati ramai
pegawai-pegawai yang menjangka mereka layak. Dikatakan
di dalam proses bagi perlantikan timbalan-timbalan NC
yang bakal mengambil alih jawatan NC, pihak NC telah
menghantar kepada Kementerian nama-nama meraka yang
layak dan diberi sokongan, tetapi apa yang berlaku
pelantikan yang dibuat bukan dari nama yang dihantar
dan diberi sokongan, tetapi Menteri melantik mereka
yang bukan berpengalaman. Antaranya baru naik pangkat
professor madya dan tidak mempunyai pengalaman
mentadbir sama ada di jabatan, fakulti atau kolej.
Kenyataan berikut mengukuhkan pendapat berkenaan: 

``The rift between the ministry and the
Vice-Chancellor was believed to have started following
the appointments of UPM deputy Vice-Chancellors Prof.
Nik Mustapha Raja Abdullah (development) and Assoc.
Prof. Dr. Azali Mohamed (students` Affairs)`` (The
Star, 12 May 2005: 6). 

Jadi usaha mengkesampingkan cadangan NC berlaku dan
lantikan dibuat bukan dari mereka yang dicadangkan
layak, bahkan sengaja dilantik oleh Kementerian
Pengajian Tinggi dari kalangan yang tidak sebulu
dengannya agar boleh memasalahkan NC dari segi
pentadbiran. 

4.4. Tindakan Pengarah Lembaga Tadbir UPM 

Tidaklah dipastikan apakah tindakan Pengarah Lembaga
Tadbir UPM Tan Sri Zainul Ariff, mempunyai hubungan
dengan mereka yang tidak senang dengan Mohamad Zohadie
atau mempunyai hubungan dengan mereka yang berminat
dengan kerusi jawatan NC. Tetapi yang nyata arahan
yang dibuat oleh Pengarah Lembaga Tadbir ini adalah di
luar dari bidang kuasanya. Walaupun Menteri Pengajian
Tinggi membelanya dengan mengatakan tindakannya
berasas (UM 10 Mei, 2005: 6) Kuasa melantik NC adalah
dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat
Kementerin Pengajian Tinggi dan kuasa melantik
timbalan-timbalan NC pula pada tangan Menteri
Pengajian Tinggi. Oleh kerana menyedari kesilapan ini
dan kesilapan keputusan meminta Dr. Mohamad Zohadie
meletakkan jawatan dibuat dalam mesyuarat Lembaga
Tadbir UPM, pada hal mesyuarat ini tidak diadakan dan
ianya merupakan tindakan perseorangan. Sebab itu
menyedari kesilapannya yang boleh dibawa kepada `court
case` diperbetulkan penjelasan bahawa: 

``UPM board did not ask for resignation`` Putrajaya,
Friday: The Universiti Putra Malaysia`s (UPM) board of
directors had never asked for the resignation of the
university`s Vice Chancellor, Professor Datuk Dr.
Muhamad Zohadie Bardaie, , it was claimed today. Board
Chairman Tan Sri Dr. Zainul Ariff Hussein , who
``briefed`` representatives from the UPM Academic
officers` Association, Administrators` Association and
the employees Union (Kepertama) on the `leadership
crisis` between the Board and its Vice-Chancellor is
said to have told them that what was discussed was
``Muhamad Zohadie`s misconduct during an UPM Alumni
Function (reading poem) at the University last
month.`` (NST, May 14, 2005: 14). 

Jadi kenyataan awal `minta meletak` jawatan telah
diubah, bahkan dinafikan. 

5. Kekuatan Muhamad Zohadie 

Di dalam hal krisis ini Muhamad Zohadie mempunyai
kekuatan. Dari segi akademik dan juga dari segi logic
dan rasional beliau bagi pihak program aerospace dan
universiti keseluruhannya berhak bertanya bagi
kepentingan program dan universiti itu sendiri. Ianya
adalah bukannya satu kesalahan. 

Barangkali puisi yang dipetik (dari puisi Usman Awang)
dan dibaca di dalam Majlis anjuran Alumni yang
dihadiri oleh Pengarah Lembaga Pentadbir yang
berbunyi: Siakap senohong Gelama ikan duri Bercakap
bohong Bolehkah menjadi menteri adalah merujuk kepada
janji yang telah disetujui oleh Kementerian tentang
program Aerospace di UPM itu dan sememangnya sedang
berjalan, maka sewajarnya tidak ditarik balik. Perkara
ini ada kaitan dengan etika dan perkara ini
sememangnya kurang manis ditimbulkan. 

Muhamad Zohadie selain dari mempunyai kekuatan dari
segi logik dan kepentingan UPM berautoriti sebagai
jurucakap universiti, beliau sebenarnya seorang NC
yang berprinsip dan berstrategi dan merupakan orang
yang bersifat `action oriented`. Beliau mempunyai
hubungan baik dengan tenaga akademik, pentadbir,
pekerja dan mahasiswa. Mereka menyokong Muhamad
Zohadie. Ini terbukti dari kenyataan berikut: 

Staff and students back varsity VC 

Petaling Jaya: Many Universiti Putra Malaysia (UPM)
staff and students have come toward in support of
their Vice-Chancellor Prof. Datuk Dr. Mohd Zohadie
Bardie who has been asked to resign by the
university`s board of directors The University`s
academic staff association president Assoc. Prof.
Mansor Ahmad said they were disappointed with the
board of directors as the matter should have been
settled internally.`` (The Star 12 May 2005: 6). 

6. Siapakah Yang Sepatutnya Meletakkan Jawatan? 

Tercetusnya isu NC UPM adalah dari angkara Pengarah
Lembaga Tadbir UPM iaitu Tan Sri Zainul Ariff, beliau
terbawa-bawa budaya PTDnya yang tergesa-gesa membuat
kenyataan dan arahan. Hingga tercetusnya kekecohan di
UPM dan juga di kalangan masyarakat akademik dan warga
kampus. Beliau menyangka mempunyai kuasa bertindak
sedemikian, tetapi ternyata ia adalah di luar bidang
kuasa. Kenyataannya bahawa tindakan diambil melalui
mesyuarat Lembaga Tadbir dan ternyata sebenarnya
mesyuarat tidak diadakan. Ianya merupakan tindakan
berseorangan. Menyedari kesilapan dan kebimbangannya
perkara tersebut boleh diseret ke mahkamah, beliau
memperbetulkan kenyataan sebagaimana telah
diperkatakan. Ini ialah kerana menurut Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik UPM mengatakan: ``It
looks like the board is taking over the executive. I
have never come across anything like this.`` (The
Star, 12 May 2005: 6) 

Kesilapan, bahkan kesalahan nyata datangnya dari
Pengarah Lembaga Tadbir UPM. Maka sebab itu dalam
keadaan sekarang orang yang sepatutnya diminta
meletakkan jawatan ialah Tan Sri Zainul Ariff Pengarah
Lembaga Tadbir UPM itu sendiri. 

7. Perlu Meredakan Keadaan 

Walau bagaimana isu Dr. Muhamad Zohadie ini tidak
semata berhubung dengan arahan perpindahan Program
Aerospace Engineering, ianya berentetan dengan
politik, perjawatan yang dipohon, cadangan-cadangan
darinya sebagai NC yang tidak dilayan bahkan keinginan
pihak-pihak tertentu yang mau mengambil tempatnya di
UPM. Beliau sebenarnya dalam keadaan ditekan. Dalam
keadaan sekarang, kiranya beliau diminta juga meletak
jawatan, orang lebih mentafsirkan bukan setakat
mengingkari arahan, tetapi sebagai tindakan balas
dendam. Jika sekiranya Dr. Zohadie dapat bertahan atas
kebenarannya dan sekongan para akademik, pelajar,
pekerja dan warga kampus, beliau juga harus bersedia
untuk menyerahkan jawatannya, sekurang-kurangnya bila
cukup tempoh perlantikan yang besar kemungkinan sukar
untuk disambung perjawatannya, kecuali berlaku
perubahan di dalam Kementerian Pengajian Tinggi. 

8. Penutup 

Kekocohan sedemikian agak jarang berlaku di dalam
warga kampus. Tindakan membuat arahan agar Program
aerospace dipindah dari UPM ke UKM dapat dipersoalkan.
Apa salahnya kedua-dua universiti berkenaan
memperkembangkan bidang berkenaan di universiti
masing-masing sebagaimana bidang yang lain berlaku
pertindihan. Dengannya menggerakkan daya persaingan
yang sihat memajukan bidang berkenaan. Kita
mengharapkan pertemuan secara tertutup antara Menteri
Pengajian Tinggi Datuk Dr. Mohd. Shafie Salleh dengan
Dr. Muhamad Zohadie NC UPM kelmarin (25 Mei) diharap
dapat menjernihkan keadaan. Tugas semua pihak
memperkasakan pengajian tinggi, bukannya mencari
kesalahan-kesalahan. 

Sekian. Terima kasih. 

27 Mei 2005 

18 R. Akhir 1426. 



                
__________________________________ 
Discover Yahoo! 
Have fun online with music videos, cool games, IM and more. Check it out! 
http://discover.yahoo.com/online.html


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Would you Help a Child in need?
It is easier than you think.
Click Here to meet a Child you can help.
http://us.click.yahoo.com/sTR6_D/I_qJAA/i1hLAA/JcWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Reply via email to