Umno seakan pendatang tanpa izin?
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

KERJA menggali lubang dan menutupnya semula
rupa-rupanya tidak berlaku setakat di Malaysia sahaja.
Berita dari Singapura yang menyebut “menyediakan lebih
banyak peruntukan bagi merawat ‘tahi judi’ sedang
dirangka” menjelaskan penyakit tersebut sudah
'berjangkit'.

Kerajaan Singapura terpaksa membuat rancangan ini
sebagai persiapan menangani kesan-kesan sampingan jika
kasino pertamanya dibina dalam tempoh terdekat. -
(Utusan Malaysia 21 Mac 2005). 
Jika kita kembali ke Malaysia, kita sudah ada pusat
judi dan kasino di Genting Highlands. Dari sudut ini,
mungkin kita mendahului Singapura! Jika Singapura akur
akan keburukan yang boleh lahir dari rakyat yang
menjadi ‘tahi judi’ maka apa kata Kerajaan Umno/BN
yang memerintah Malaysia? 

Jika judi haram, tidak berdosakah Kerajaan Islam
Hadhari yang meluluskan lesen, premis dan operasi di
bukit peranginan itu? Saya tidak faham bagaimana Umno
boleh mengizinkan kegiatan perjudian, sedangkan dalam
istilah orang Melayu; orang yang berjudi sering diberi
gelaran sebagai ‘tahi judi’. 

Perihal hinanya judi di mata orang Melayu juga serius
sehingga sanggup dihubungkan dengan ‘tahi’. Dalam pada
itu pun, tergamak kerajaan yang diberi mandat masih
menginstitusikan judi dalam bentuk ‘halal’. 

Kerajaan seakan-akan cuba mencabut akar umbi kebencian
rakyat terhadap judi sekian lama. Demikian juga dengan
‘tahi arak’. Sekali lagi ia diterima dalam
perbendaharaan kata umat Islam untuk menghina mereka
yang meminum arak. 

Di sini, parti manakah yang lunak dengan kegiatan
meluluskan pembinaan kilang, melesenkan jualan
termasuk menghalalkan premis serta segala kegiatan
yang boleh melicinkan perniagaan arak? PAS atau Umno? 

Malah terdapat syarikat pengeluar arak yang telah
disenarai dan diurusniagakan di Bursa Malaysia sejak
berpuluh-puluh tahun. Jika 2,000 orang sami Buddha
boleh berdemonstrasi di hadapan Bursa Saham Thailand
pada minggu lepas kerana membantah penyenaraian awam
kerana yakin akan kesan keburukan arak, sikap ulama’
hadhari dalam Umno pula bagaimana?

Jika judi dan arak dihubungkan dengan ‘tahi’ maka
kenapa pula tidak turut disenaraikan pemberi dan
penerima rasuah ke dalam kategori ‘tahi’? Kita
sepatutnya mengutuk pengamal rasuah sama seperti kita
mengutuk ‘tahi arak’ dan ‘tahi judi’. 

Tidak kira sama ada orang itu, orang korporat,
penjawat awam, atau orang politik; mereka perlu
dihina. 

Kempen menyedarkan rakyat akan mereka yang makan
rasuah sama seperti memakan tahi, minum air tahi,
memakai pakaian yang berlumuran tahi, hidup dalam
rumah yang berdinding dan berlantaikan tahi serta
memandu kereta berjenama yang berlimpahan dengan
‘tahi’ amat perlu diperbesarkan.

Semua orang boleh bersetuju dengan tekad Perdana
Menteri yang mahu “memerangi rasuah berterusan”
(Berita Harian 23 Mac 2005). Tidak cukup dengan BPR,
Kerajaan mewujudkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan
Institut Integriti Malaysialah. 

Semua ini akan melibatkan wang rakyat. Ini, orang
panggil teori. Cakap-cakap tidak akan sama dengan
amal. Amalan yang rakyat mahukan kepastian ialah apa
kesudahannya 16 kes rasuah melibatkan VVIP yang
berprofil tinggi? 

Ini pernah diisytiharkan sendiri oleh Dato’ Seri Rais
Yatim sejurus sebelum pilihan raya umum ke-11. Kita
mesti sedar bahawa usaha pencegahan pun perlu, tetapi
usaha penangkapan dan pendakwaan pun penting termasuk
usaha menimbulkan rasa jijik terhadap rasuah di hati
rakyat. 

Memang ketiga-tiga unsur ini berasingan, tetapi ia
saling bergantungan dan diperlukan serentak. Kita
perlu tingkatkan kempen ini untuk menyuburkan perasaan
benci rakyat kepada segala kerja fasik, kufur,
derhaka, maksiat dan kejahilan. Ini selaras dengan
maksud Ayat yang berbunyi: 

“Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalangan kamu ada
Rasulullah. Kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam
beberapa urusan benar-benarlah kamu akan mendapat
kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada
keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu
serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran,
kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang
yang mengikuti jalan yang lurus.” (Surah Al-Hujuraat:
Ayat 7).

Perkataan ‘tahi’ mestilah digunakan bagi menyemarakkan
sikap benci terhadap rasuah. Kita mahu setiap rakyat
khususnya umat Islam naik loya dan kembang pipi
apabila bertemu dengan pemberi dan penerima rasuah.

Jika tidak, orang boleh persoalkan kejujuran erti
proses “empowerment” yang digembar gemburkan itu.
Rakyat boleh kata, “macam mana nak buat, apabila
rakyat yang di “empower” membuat laporan dakwaan
rasuah, tiba-tiba pihak atasan senyap sahaja. 

Rakyat tahu bahawa kuasa akhir untuk memutuskan
pendakwaan berada di atas meja Perdana Menteri. Di
sinilah timbulnya masalah antara PAS dan Umno dari
segi pangkal tempat bertolak. Selaku orang Islam, kita
sudah ada agama kita yang mengharamkan rasuah, arak
dan judi. 

Bertolak dari sini sebagai pangkalan, maka kita sudah
ada haluan yang jelas. Walau bagaimana pun, untuk
mendapat pahala, Allah S.W.T telah menentukan dari
awal-awal lagi tentang kaedah niat dan pelaksanaan
untuk mendapat keredhaanNya.

Masalahnya ialah apabila ketiga-tiga penyakit ini
sedang dikendalikan oleh pemimpin nasionalis yang
sekular dari Umno dan BN yang menjadi kerajaan. 

Sebenarnya, faham sekular yang berselindung di sebalik
kebangsaan tidak mempunyai unsur ketaatan kepada Allah
S.W.T dalam apa jua keadaan dan ketika. Ia semakin
teruk apabila kerajaan yang dipimpin Umno ini
mengamalkan dasar yang pragmatik. 

Sesuai dengan dasar parti dan aliran pemikiran
tersebut yang dicipta oleh manusia, maka pemimpin Umno
tidak melihat nafsu sebagai musuh yang perlu dikawal. 

Oleh kerana ia cuma aliran fikiran, ia lebih berteras
kepada lojik akal. Semua peraturan digubal mengikut
fikiran semata-mata. Ini menjadikan suara mereka tidak
pernah tetap dan kejap kerana sering dipengaruhi
nafsu. 

Lihatlah pendirian Umno/BN mengenai rasuah, arak dan
judi. Sekali kendur, sekali tegang. Sekejap kembang,
sekejap kempis. Jika tiba kepada kroni, mungkin ada
pertimbangan. 

Jika berlaku kepada musuh politik, maka akan
dibongkarlah habis-habisan. Dalam konteks rasuah
misalnya, kes Tan Sri Eric Cheah dan beberapa orang
lagi menteri adalah contoh-contoh jelas. Satu, dua
sahaja yang disegerakan. Selebihnya, senyap sunyi
sampai sekarang.

Saya tidak nafikan yang Umno juga turut bersuara dalam
ketiga-tiga perkara ini. Bagaimanapun, ia cuma mencuri
dari ajaran Islam. Itu pun, dia “berkokok” mengikut
musim. Lazimnya menjelang perhimpunan dan pemilihan. 

Amalan mencampur adukkan Islam dengan faham kebangsaan
yang sekular sangat berbahaya kepada umat. Apa
faedahnya, mewujudkan gedung judi terbesar, (mungkin
untuk maksud tarikan pelancong misalnya), tetapi
terpaksa pula mewujudkan pusat-pusat rawatan yang
memberi kaunseling, rawatan jantung, unit R&D dan
lain-lain langkah untuk mengurangkan ketagihan. 

Inilah yang disebut enam tolak enam, kali enam. Yang
tinggal ialah ‘licin’. Elok-elok judi tiada, diadakan.
Setelah lahir ‘tahi judi’, usahakan pembasmian.
Demikian jugalah dengan lain-lain penyakit sosial
seperti arak, dedah aurat, bersekedudukan, cara hidup
gay, lesbian dan lain-lain lagi. 

Umno seakan-akan sengaja membiarkan maksiat membiak
kemudian buat-buat sibuk mencari penyelesaian.
Keluhan-keluhan yang berbunyi, “apa nak jadi dengan
negara kita” adalah contoh yang jelas.

Tanpa menerima hukum Allah atau menerima sebahagian
dan menolak sebahagian, Umno seolah-olah “pendatang
tanpa izin” yang bertamu secara curi di muka bumi
Allah. 

Mereka memasuki kerajaan Allah tanpa membawa passport
dan dokumen perjalanan keluar masuk yang sah bernama
“wal iman billah, wal yaumil akhir” yakni beriman
kepada Allah dan Hari Kemudian. 

Kalau betul-betul beriman kepada Allah, tidak berlaku
pelbagai kegawatan sosial seperti ini. Ini betul-betul
macam kes pendatang tanpa izin. Mahu mendapat taraf
kerakyatan, Umno mesti terlebih dahulu mengiktiraf
yang muka bumi ini ada tuannya. 

Setiap peraturan yang ditetapkan tuan langit dan bumi
ini wajib dilaksanakan. Menghalalkan pembinaan gedung
judi samalah seperti menghalalkan judi itu sendiri.
Dalam konteks ini, saya tidak tahulah Islam Hadhari
ini, Islam jenis apa!

Di sini, pemimpin Umno jangan pula cuba mengelirukan
orang ramai dengan isu masyarakat majmuk kerana
pluralnya penduduk Malaysia, hatta seluruh penduduk
dunia ini sekalipun juga telah disengajakan oleh Allah
S.W.T. 

Lalu, Al-Quran yang diturunkan itu juga melibatkan
pengguna peringkat antarabangsa yang akan memandu
seluruh umat manusia kepada keselamatan termasuk
sekelompok orang Melayu, Cina dan India di sebuah
Semenanjung yang sangat kecil bernama Malaysia.

Apabila Umno tidak menerima Islam dengan sepenuhnya,
maka selama itulah Umno seakan-akan menjadi parti yang
sama dengan PATI. 

Jika tenaga kerja dari Indonesia, Selatan Thailand,
Myanmar dan Bangladesh boleh diburu dan dihantar
pulang kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen, maka
jangan-jangan Umno juga bertapak secara haram di atas
bumi Allah S.W.T. 

Umno perlu semak kehadiran mereka sama ada bertaraf
pendatang tanpa izin atau tidak untuk tidak
digolongkan sebagai pendatang haram. Umno semestinya
semak terlebih dahulu setiap undang-undang dan
peraturan yang hendak dilaksanakan. 

Ia mesti selaras dengan kehendak kerajaan di langit
dan di bumi. Umno perlu ingat bahawa Kerajaan Allah
S.W.T meliputi seluruh permukaan laut, darat, langit,
bumi dan antara langit dan bumi. 

Pandai-pandai membuat hukum sendiri dan menafikan
hukum Allah akan meletakkan Umno sebagai pendatang
haram di sisi Allah S.W.T. Dalam konteks inilah PAS
sedang menyedarkan seluruh rakyat Malaysia akan
pentingnya kuasa yang diamanahkan melaksanakan Islam
di muka bumi.

Jika orang mempersoalkan yang Umno kononnya turut
mahukan Islam seperti PAS, maka izinkan saya
menurunkan Perkara 4(1) dalam Perlembagaan Malaysia
yang berbunyi:

‘This Constitution is the supreme law of the
Federation and any law passed after Merdeka Day which
is inconsistent with this Constitution shall, to the
extent of the inconsistency, be void.’

Dengan petikan di atas, agak-agak masih adakah ruang
untuk mengamalkan Islam yang kaaffah di bawah Kerajaan
Umno/BN tanpa bersyirik kepada Allah? 

Izinkan pertanyaan-pertanyaan itu berlegar di kepala
kita buat seketika. 




                
__________________________________ 
Do you Yahoo!? 
Yahoo! Sports - Sign up for Fantasy Baseball. 
http://baseball.fantasysports.yahoo.com/


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
What would our lives be like without music, dance, and theater?
Donate or volunteer in the arts today at Network for Good!
http://us.click.yahoo.com/WwRTUD/SOnJAA/i1hLAA/JcWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Reply via email to