Sastera-BERITA HARIAN

 Cetak .  Emel Rakan .   
Puisi hangat PPDHL

Oleh Nazmi Yaakub
na...@bharian.com.my
2010/05/19Guru dan murid bergabung tenaga mementaskan sajak, seloka, 
syair dan gurindam 

PERSEMBAHAN puisi oleh guru dan pelajar menguasai pentas Malam Puisi Sasterawan 
Selangor di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL), 
Kajang, baru-baru ini, apabila mereka tampil dengan deklamasi sajak dan 
lagu serta penyampaian seloka, syair serta gurindam.   
Malam puisi anjuran Persatuan Penulis Selangor (PPS) dan PPDHL itu 
bertepatan dengan sambutan Hari Guru, sekali gus menjadikan tema 
persembahannya akrab dengan dunia pendidikan dan persekolahan.  
Antara yang mencuri tumpuan ialah persembahan guru Sekolah Menengah 
Kebangsaan (SMK) Jalan 4 mencuri tumpuan penonton dengan menggabungkan 
sajak, seloka, syair dan pantun yang berkongsi asam garam dan pahit 
manis perjuangan guru mendidik anak bangsa. 

Penyampaian secara seloka itu menyebabkan lebih 100 penonton 
tersenyum meskipun ia sarat dengan sindiran terhadap isu semasa yang 
sering mencuit profesion perguruan dan persekolahan, sekali gus 
meluahkan keluhan terhadap cabaran mendidik pelajar. 

Aduhai nasib si guru 
kerjanya banyak tak menentu 
ibu bapa bising selalu sampai telinga rasa tepu. 

Aduhai nasib si guru 
hidup segan mati tak mahu 
kera di hutan disusui 
anak sendiri bimbang tak jadi. 

Masa mengajar tak main-main 
pinggan tak retak nasi tak dingin 
walaupun murid tak ingin 
guru tetap, tak naik angin. 

Seloka guru SMK Jalan 4 itu bagaikan disambut Penolong Pegawai 
Pelajaran PPDHL, Nurul Badar Mohd Salleh yang membacakan puisi Cikgu, 
Suara Kita Adalah Gema karya Ismail Musa, yang memberikan semangat 
kepada guru untuk meneruskan tanggungjawab mulia itu. 

Cikgu, suara kita adalah gema 
dialun dan menara 
kita jadi pelita menerangi malam gelap 
kita jadi tangan mengusap dahi anak didik tercinta 
dari lena tarian, bangunlah agar generasi bonda 
tidak jadi hamba di bumi tercinta yang bertuah ini. 

Pegawai Pelajaran PPD Kuala Langat, Abdul Talib Hamid pula 
membacakan puisinya, Encik Guru, dengan menggunakan diksi yang 
mengingatkan penonton gelaran kehormat ‘cikgu’ dipadan daripada dua 
perkataan mulia, iaitu encik dan guru, sekali gus memikul tugas yang 
murni. 

Kita mulia ada martabat 
bina bangsa berdaulat 
dengan semangat dan kudrat 
mengheret amanah 
kerana pejuang besar berkeringat 
untuk insan yang mulia yang hebat 
mencurah jasa bakti tanpa penat 
melampaui garis waktu tersurat 
melebihi bejana telaga yang diharap. 

Ketua Satu PPS, Hamzah Hamdani sempat menitipkan puisi ala haikunya, Gurulah 
Obor, pada hujung ucapan pendahuluannya, sambil memberi 
penghormatan yang besar kepada guru yang mendidik generasi berilmu 
dengan sabar. 

Gurulah obor 
bawa cahaya hidup 
sepanjang hayat 

Gurulah lilin 
cahayanya mengalir 
ke jantung bangsa. 

Guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Rahimaton 
Haron, Zuriyal Hanim Baharuddin dan Siti Aisyah Mohd Akahsah pula 
membacakan puisi, Travelog Sang Sahabat karya pelajar mereka, Raja Muhd 
Khairul Akhtar Raja Muhd Najib. 

Ingatlah tiada ungkapan perpisahan 
dalam persahabatan 
walaupun maut menjadi noktahnya 
kerana sahabat itu terlalu istimewa 
dalam doa sahabatnya 
walau tanpa bayangnya. 

Malam puisi itu turut dihadiri Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr 
Anwar Ridhwan; Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran 
Selangor, Hasnul Hadi Abdullah Sani yang mewakili Pengarah Jabatan 
Pelajaran Selangor dan Pegawai Pelajaran PPDHL Kajang, Hashim Musa. 

Tidak ketinggalan SMK Saujana Impian,  SMK Convent Kajang dan SMK 
Abdul Jalil turut memeriahkan acara dengan persembahan puisi 
tradisional. 

Selain itu, Penyair dari Indonesia, Viddy Ad Daery, guru Sekolah Kebangsaan 
(SK) Pandan Indah, Azerai Azmi; penyair PPS, Salleh Mohd Tahir dan Harlyon 
Yeo turut beraksi di pentas, manakala seniman dari e-Sastera.com, Anuar 
Bakhri Haron atau lebih dikenali sebagai Anbakri pula menyanyikan lagu 
puisi. 

Kirim email ke