Kenaikan harga minyak bukti BN/Umno jadikan rakyat sebagai hamba
Friday, May 06 @ 11:23:43 MYT


Oleh Saidatul Amani
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan lagi harga petrol dan diesel membuktikan kepincangan dan kegagalan pemimpinnya dalam menangani soal kebajikan rakyat, sekali gus menjelaskan pengakuan sendiri mereka sebagai hamba rakyat adalah satu pembohongan besar.

Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ) mengingatkan kezaliman yang dilakukan BN akan menyedarkan rakyat supaya mereka jangan terus tertipu dengan janji-janji manis yang diucapkan ketika menjelang pilihan raya lalu seperti mahu menjadi hamba rakyat, sebaliknya, janji-janji itu merupakan perangkap untuk merebut undian rakyat.

Ketuanya yang baru, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, dengan pengumuman kerajaan yang telah menaikkan petrol sebanyak 10 sen manakala diesel 20 sen seliter, rakyat akan terus hidup terhimpit dengan kos yang semakin tinggi.

Beliau terkilan dengan kenaikan itu kerana dalam masa yang sama kerajaan BN telah meluluskan kenaikan gaji dan elaun ahli Parlimen sebanyak 10 peratus melalui Rang Undang-undang ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 1005 bermula 1 Januari 2004.

Menurut beliau, kenaikan gaji dan elaun seramai 219 ahli Parlimen itu yang dikira bermula 1 Januari 2004 itu dilihat sebagai tidak adil walaupun kenaikan itu meliputi ahli Parlimen daripada kalangan pembangkang.

Berhubung kenaikan petrol dan diesel, Faizi yang baru sahaja memegang jawatan Ketua Pemuda sesi ini yakin, selepas kenaikan minyak pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akan berlaku.

"Selepas ini tidak mustahil akan berlaku kenaikan harga barangan runcit, kos pengangkutan walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengeluarkan amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga berikutan kenaikan petrol 10 peratus dan diesel 20 peratus," katanya.

Mengulas kenaikan itu beliau setuju dengan jangkaan ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub semasa membahaskan isu kekurangan diesel dalam sidang Dewan Rakyat lalu, bahawa tindakan kerajaan mengehadkan kuota diesel seolah-olah merupakan strategi kerajaan untuk melonjakkan harga diesel.

Sehubungan itu, DPPN Johor kesal dengan sikap kerajaan BN yang sering mengggunakan taktik kotor dengan membandingkan harga kenaikan murah di Malaysia dengan negara-negara Asean kecuali Brunei.

Katanya, alasan yang digunakan oleh kerajaan adalah untuk menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga minyak walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak tetapi ia tidak bersedia untuk membandingkan harga minyak dengan negara-negara maju yang bukan negara pengeluar minyak seperti United Kindgom, Australia dan negara Eropah lain.

Henti projek mewah

Sementara itu Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menegaskan, walaupun alasan kerajaan menaikkan harga minyak bertujuan mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung, Teras berpendapat adalah lebih wajar ia tidak dilakukan dalam keadaan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan masih tidak dapat menanggung kos barangan dan khidmat harian yang naik secara mendadak.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sungguhpun kerajaan telah mengeluarkan amaran agar pihak pengeluar, pengedar dan peruncit tidak menaikkan harga barangan, kos yang meningkat akhirnya akan ditanggung oleh pengguna.

Beliau mempersoalkan adalah nasib rakyat yang berpendapatan rendah dan miskin akan diambil kira sehingga kesempitan hidup yang mereka rasai tidak akan menjejaskan keperluan mereka yang minimum.

Katanya, kerajaan mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk mengurangkan bebanan subsidi tetapi rakyat juga perlu melihat kejujuran kerajaan supaya perbelanjaan kerajaan dalam segala acara rasmi perlu dihentikan.

Teras tidak dapat menerima adanya amalan agensi kerajaan yang sering mengamalkan perbelanjaan besar seperti mengadakan acara di hotel-hotel mewah dan projek mewah yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

"Bolehkan petani, nelayan, pekerja kilang, buruh kasar, pekebun kecil, setinggan, kakitangan rendah dapat mengendalikan hidup mereka dengan kadar kos yang terus meningkat. Berbanding golongan atasan kenaikan ini sedikit pun tidak akan memberi kesan kepada mereka," tegasnya.

Teras menggesa pihak kerajaan segera menyediakan `jala keselamatan sosial' untuk rakyat bawahan, kos pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial perlu segera diturunkan.

Katanya, langkah menampung keperluan hidup golongan kurang mampu perlu disiapkan jika tidak gejala sosial akan tidak dapat dibendung. - lanh


Yahoo! Messenger - want a free & easy way to contact your friends online?

Subscribe: [EMAIL PROTECTED]
Unsubscribe: [EMAIL PROTECTED]
Digest message: [EMAIL PROTECTED]
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org

HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke