Mutiara RIADHUS SHALIHIN
 
Mutiara 3
Sabar
 
 
 
(Bab 3 : Sabar, Hadits RS25-RS53)
 
Sifat sabar merupakan sifat mahmudah (terpuji) yang paling banyak disebutkan 
dalam Al-Quran. Imam Nawawi memasukkan enam daripada ayat-ayat tersebut di 
dalam bab ini. Antaranya:
 
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, 
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita 
gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:155)
 
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui 
orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan 
(baik buruknya) hal ehwalmu.” (Muhammad, 47:31)
 
Ayat-ayat lain ialah Ali Imran, 3:200; Az-Zumar, 39:10; Asy-Syuura, 42:43 dan 
Al-Baqarah, 2:153.
 
Terdapat banyak hadits berkenaan dengan sabar yang dikemukakan oleh Imam Nawawi 
dalam bab ini. Antaranya:
 
M6. Dari Abu Said Saad bin Malik bin Sinan al-Khudri r.a., ada beberapa orang 
dari kaum Anshar meminta-minta kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda 
memberinya, kemudian mereka meminta lagi dan beliau pun memberikannya sehingga 
habis apa yang ada pada baginda. Setelah baginda memberikan semua yang ada di 
tangannya, baginda bersabda kepada mereka:
 
"Apa sahaja kebaikan yang ada padaku, aku tidak akan sembunyikan dari kamu. 
Sesiapa yang menjaga kesopanan (dari meminta-minta), Allah akan memelihara 
kesopanannya, dan sesiapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan 
sesiapa yang berlatih sabar, Allah akan menyabarkannya. Tiada seorang pun yang 
mendapat kurniaan yang lebih baik dan lebih luas dari kesabaran." (RS26; 
Bukhari, Muslim)
 
M7. Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
"Amat mengkagumkan keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik 
baginya. Sifat ini tidak mungkin terdapat melainkan pada seorang mukmin. Jika 
ia beroleh kesenangan, ia bersyukur maka kesyukuran itu adalah kebaikan 
baginya. Jika ia ditimpa kesusahan, ia bersabar maka kesabaran itu adalah 
kebaikan baginya." (RS27; Muslim)
 
M8. Dari Abu Said dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
 
"Tidaklah menimpa seorang muslim dari kesusahan, penyakit, kebimbangan, 
kesedihan, kesakitan dan kerisauan malahan duri yang menusuknya, melainkan 
Allah menebus dosa dengan apa yang menimpanya itu.” (RS37, Bukhari, Muslim)
 
Rasulullah s.a.w. dan para nabi yang lain menunjukkan tauladan yang tinggi 
dalam bersabar, untuk kita sama-sama contohi.
 
M9. Dari Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: "Seakan-akan aku 
masih melihat Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi dari para 
nabi shalawatullah wa salaamuhu alaihim. Beliau tercedera dipukul kaumnya. 
Sambil mengusap darah dari wajahnya beliau mengucapkan: "Ya Allah! Ampunkanlah 
kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu." (RS36; Bukhari, Muslim)
 
Hadits ini menunjukkan kesabaran seorang nabi a.s. dalam berhadapan dengan 
tentangan kaumnya dalam berdakwah. Kaumnya itu bukan setakat menolak dakwahnya, 
bukan hanya mencaci, tetapi lebih jauh dari itu, mereka mencederakan nabi 
tersebut. Balasan nabi terhadap penganiayaan itu bukanlah dengan membalas 
dengan balasan yang sebanding, bukan mencerca mereka, bukan juga mendoakan 
keburukan menimpa kaumnya, tetapi berdoa supaya Allah mengampuni mereka. Hadits 
ini mengajar pendakwah supaya bersabar dalam berhadapan dengan reaksi negatif 
dari orang yang mereka dakwahkan. Mungkin hari ini mereka menolak, besok hari 
tidak semestinya terus begitu.
 
Para sahabat dan umat Islam yang lain juga diajar untuk bersabar dalam menunggu 
kejayaan dakwah mereka. Hadits seterusnya mengajarkan:
 
M10. Dari Abu Abdullah Khabbab bin Al-Aratti r.a., katanya: "Kami mengadu 
kepada Rasulullah s.a.w. pada masa baginda berbaring di bawah bayangan kaabah 
berbantalkan serbannya. Kami berkata: “Apakah anda tidak memohonkan pertolongan 
untuk kami? Apakah and tidak mendoakan kami?" Baginda bersabda:
 
"Orang-orang sebelum kamu, ada yang ditanam hidup-hidup, ada yang digergaji 
dari atas kepalanya sehingga terbelah dua, ada yang dikupas kulitnya dengan 
sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya. Yang sedemikian itu tidak 
memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah! Allah akan menyempurnakan urusan ini, 
sehingga seorang pengembara dari Shan'a ke Hadhramaut tidak takut melainkan 
Allah dan serigala atas biri-birinya. Tetapi kamu semua tergesa-gesa." (RS41; 
Bukhari)
Dalam riwayat lain: "Baginda berbaring berbantalkan serbannya, sedang kami 
telah disiksa dengan teruk oleh kaum musyrikin."
 
Rasulullah s.a.w. juga menceritakan dalam satu hadits (RS30) tentang kesabaran 
seorang pemuda dalam mempertahankan keimanannya sehingga sanggup mati dibunuh 
oleh seorang raja. Kesabaran beliau telah dicontohi oleh kaumnya yang beriman 
kemudian sanggup mengorbankan jiwa mereka sendiri dengan terjun ke dalam parit 
berapi. Kisah ini diabadikan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Buruuj.
 
Satu lagi aspek kesabaran yang diketengahkan oleh Imam Nawawi dalam bab sabar 
ini ialah menahan marah.
 
M11. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
“Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergelut tetapi ukuran 
kekuatannya ialah bagaimana ia mengawal dirinya ketika marah.” (RS45; Bukhari, 
Muslim)
 
Salah satu cara untuk mengawal kemarahan ialah sebagaimana yang diajar oleh 
Rasulullah saw dalam satu hadits (RS46) iaitu berta’awwuz, mengucapkan 
‘A’uzubillahi minasy-syaithaanir-rajiim’.
 
 
http://riadhusshalihin.blogspot.com/

Kirim email ke