Tajdid Iman: Istighfar amalan kekal nikmat, hindar musibah, hapus
dosa<http://laman-seri.blogspot.com/2010/08/tajdid-iman-istighfar-amalan-kekal.html>

<http://laman-seri.blogspot.com/2010/08/tajdid-iman-istighfar-amalan-kekal.html>

<http://2.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/TFZsvdfcy1I/AAAAAAAAFfE/4_utmGcpsj4/s1600/zikir.jpg>
Ibadah menghidupkan insan jiwa, menggetarkan hati beku oleh maksiat

Assalamualaikum warahmatullah,

Sesungguhnya kehidupan paling bernilai bagi seorang insan bermula dari saat
dilantunkan taubat, dijatuhkan butir air mata dan diperah segenap perasaan
yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya hak milik sesetengah mereka yang
berdosa, kotor dan jelik pada pandangan manusia.

Taubat juga amalan nabi dan rasul, orang salih serta pejuang ilmu yang
mengamalkan agamanya dengan segenap pengorbanan. Baginda SAW mengajar
umatnya sentiasa berasa diri hina di hadapan Allah walaupun selepas berada
pada kemuncak amal yang paling ikhlas.

Sehingga tidaklah lahir pada jiwa orang yang beramal itu rasa suci dan hebat
berbanding orang lain. Betapa ramainya orang terseleweng selepas melakukan
amal salih, iaitu apabila menganggap diri sempurna dan memandang rendah pada
orang lain.

Belitan iblis terlalu halus, ia datang tanpa disedari orang beramal. Untuk
itu, Baginda SAW mendidik sahabat supaya membiasakan diri melafazkan
istighfar selesai saja mengerjakan sembahyang dan amal salih yang mungkin
dicemari riak.

Istighfar yang memerlukan istighfar lainnya, begitulah hakikat apabila
berada pada kemuncak ilmu dan amal. Semakin tinggi ilmu dan makrifah seorang
hamba kepada Allah semakin jatuh hatinya rebah ke tanah, mengaku tidak mampu
memikul amanah dan menyesal atas setiap detik berlalu dalam keadaan
bermaksiat kepada Allah dan menganiaya manusia.

Alangkah peliknya, hamba yang tidak mengambil berat mengenai istighfar.
Mengapa? Apakah kerana amalnya sudah cukup untuk menghapus kejahatannya,
atau hatinya sudah mencapai tahap keikhlasan yang murni? Apakah ilmu yang
dimiliki mampu mendekatkan dirinya kepada Allah? Apakah sudah lahir akhlak
mulia di mata manusia sehingga kedudukannya bagaikan permata berkilauan di
tengah-tengah mereka?

Sedangkan Nabi SAW dan sahabat yang sudah berada pada tahap ketinggian dan
kemuliaan di sisi Allah menyediakan masa, membuat pengakuan taubat pada
penghujung malam pada waktu sahur. Tidakkah hamba lalai dan sedikit ilmu itu
lebih memerlukan taubat untuk menghidupkan kembali jiwa mereka?

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dalam sembahyang malam dengan lafaz yang
bermaksud: “Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, sikapku yang
malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang Engkau lebih
mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah, ampunilah
kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua itu ada
pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kekasih Allah masih menganggap dirinya berdosa, mengapa manusia biasa
tidak sudi mengaku hina? Sesungguhnya tangisan taubat umpama air hujan yang
menyuburkan tanah, menghasilkan rimbun daun dan lebatnya buah.

Ia menghidupkan jiwa insan yang hampir mati, menggetarkan hati beku oleh
maksiat dan membuka jalan bagi mengenali Tuhan. Oleh itu, hanya yang pernah
merasai kemanisan taubat memahami hakikat ini.

Mereka tidak pernah jemu membuat pengakuan dalam hati dan lisan setiap kali
melakukan suatu perbuatan, mengharap Allah mengampuni apa yang tersilap
secara disedari atau tidak. Kemanisan taubat bukan hanya dapat dirasai dalam
hati tetapi ia janji Allah bagi mereka yang menepati.

Begitulah khabar daripada al-Quran dan sunnah mengenai keutamaan taubat. Ada
tiga kesenangan yang layak dimiliki pencinta taubat. Pertama, dikurniakan
kenikmatan berpanjangan. Kemudian terhindar daripada pelbagai musibah dan
ketiga, menjadi penghapus dosa. Adapun dalilnya disebut dalam al-Quran dan
hadis Rasulullah SAW yang menjadi cahaya bagi orang mencari jalan
keselamatan.

Nabi Hud menyeru umatnya untuk kembali kepada Allah melalui firman-Nya yang
bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat
kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus
menerus) kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)

Begitu juga Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun menasihati umat supaya
bertaubat. Al-Quran merakamkan kenyataan Nabi Nuh dengan janji yang turun
daripada Allah yang bermaksud: “Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka:
Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia
akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan
anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah
Nuh ayat, ayat 10-12)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengulas mengenai nikmat dikurniakan Allah
kepada orang yang bertaubat, bahawa kenikmatan itu mencakupi jasmani dan
rohaninya. Kerana ramai orang yang nampak saja bahagia dengan harta benda
tetapi menderita jiwa dan rohaninya.

Sedangkan Allah tidak sesekali menurunkan kesusahan, kecemasan dan
penderitaan kepada orang yang mencintai taubat dengan rezeki menggembirakan
hati. Oleh itu, sesiapa merasai kesedihan dan suka merungut dengan pemberian
Allah hendaklah memperbaharui taubatnya. Boleh jadi tiada keberkatan dalam
rezekinya disebabkan dia meninggalkan taubat.

Yang kedua, taubat menjadi benteng melindungi seorang hamba daripada
musibah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah tidak sesekali mengazab
mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan
mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33)

Sesungguhnya ada dua jenis musibah dalam kehidupan manusia iaitu musibah
yang memberi pengajaran semata-mata untuk mempertingkatkan keimanannya
kepada Allah, berlaku kepada orang Islam dan musibah berupa azab yang
menutup peluang serta merta kepada orang kafir yang dilaknat.

Walau bagaimanapun, musibah tetap menjadi suatu kenyataan menakutkan bagi
orang mukmin dan mereka disuruh berlindung kepada Allah daripada sebarang
mudarat yang boleh membahayakan iman.

Hakikatnya, musibah paling dahsyat bagi orang mukmin adalah terhalangnya
diri daripada merasai kenikmatan bermunajat kepada Allah. Hal ini pernah
diungkapkan melalui luahan jiwa seorang pendeta bani Israil seperti mana
disebut dalam kitab Shaydul Khatir.

Ibnul Qayyim mengungkapnya: “Pendeta bani Israil itu berkata: Wahai Tuhanku,
betapa aku sering melakukan maksiat kepada-Mu, tetapi mengapa tak kunjung
datang azab-Mu menimpa diriku? Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya:
Alangkah besarnya azab Allah kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui
hakikatnya. Tidakkah engkau berasa dirimu dihalangi daripada merasai
kemanisan beribadat kepada-Nya?”

Untuk itu benteng bagi orang beriman adalah taubat kerana dengan istighfar
sesukar apapun musibah yang ditelan ia tidak akan menjejaskan agamanya dan
hatinya pun sentiasa diliputi kemanisan iman. Ia adalah janji dan
pertolongan Allah kepada pencinta taubat.

Keutamaan taubat yang terakhir, ia menjadi penghapus dosa dan pembuka pintu
syurga seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila
melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan
Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat
mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya
itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan
syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi
orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136)

Sesungguhnya sesiapa yang mencari kasih sayang Allah, carilah ia dengan
taubat, sesiapa yang menjual dunia untuk mendapatkan akhirat janganlah
lupakan taubat, kerana walaupun amal soleh berjaya dikumpulkan tidak
mustahil dicemari hasutan syaitan.

Tangisilah dirimu, biarkan syaitan berputus asa. Hakikatnya, tangisanmu itu
membuat syaitan menangis juga. Seperti mana dia menangis melihat seorang
hamba bersujud kepada Allah, sedangkan dia dulu tidak mahu bersujud.

Renung-renungkan!

Sumber : Dr Juanda Jaya

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke