PETIKAN : Genta-Rasa <http://genta-rasa.com/>

*Jannah di sebalik
musibah<http://genta-rasa.com/2010/04/13/jannah-di-sebalik-musibah/>
*

 <http://ms.wordpress.com/tag/musibah/>

* <http://gentarasa.files.wordpress.com/2010/04/jannah.jpg>
*

**

*Untuk diriku, dirimu dan kita semua… ini satu pesanan ringkas dariku:*

Allah lebih kasihkan hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya.
Apabila si ibu sayangkan anak-anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya
daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan walaupun sesuatu yang
membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Misalnya, anak yang baru
belajar merangkak, merangkak di tepi tangga. Dia akan menangis jika
dihalang… Mengapa?

Fikiran si anak yang masih kecil tidak boleh menjangkau kebimbangan si ibu.
Si anak hanya tahu hendak main sahaja, tanpa mengetahui bahayanya bermain di
tepi tangga. Jangkauan fikiran sianak masih cetek dan pendek. Sebaliknya,
siibu yang melarang dan menegah sudah nampak bahaya yang bakal berlaku.

Satu ketika yang lain, sianak sakit. Siibu menyuapkan ubat. Anak
meluahkannya semula. Pahit. Tetapi puas ibu memujuk, itu ubat. Sianak masih
berdegil, lalu siibu memaksa anak meminum ubat itu dengan cara yang lebih
keras dan tegas.

Begitu kita dengan Allah (walaupun sebenarnya nisbahnya terlalu jauh). Akal
manusia adalah terbatas. Sedangkan ilmu Allah Maha luas. Begitu apabila
Allah menetapkan sesuatu peraturan dan kejadian, pasti ada hikmah di
sebaliknya. Kekadang, hikmah itu mampu dijangkau oleh fikiran dan adakalanya
tidak.

Namun contohilah orang beriman. Apabila Nabi saw menyampaikan perintah
Allah, para sahabat akan terus berkata, “kami taat dan kami patuh” walaupun
adakalanya perintah itu sangat sukar dan pahit. Dan apabila berlaku satu
musibah, para sahabat akan berkata, “telah berlakulah janji Allah.” Mereka
bukan insan tanpa perasaan dan fikiran, tetapi apabila iman mendominasi
hati, fikiran dan perasaan dipaksa tunduk kepada ketentuan Ilahi.

Bila datang perintah, orang beriman akan memberi respons yang telah
digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:
*“Hanyasanya ucapan orang beriman apabila diperintahkan melakukan sesuatu
ialah kami dengar, kami taat.”*
Manakala apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata:
*“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah
kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”*

Mereka yakin setiap perintah Allah seperti solat, puasa, sabar dan
sebagainya itu semuanya bermaksud baik belaka. Dan mereka juga yakin setiap
musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya,
pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka,
paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar
setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah swt inginkan keselamatan dan
kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah
dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya
iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita
boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah. Bagi orang-orang yang
benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik
walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa
yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
*“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah
yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597) *

Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu
mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan
bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha
Mengasihi dan Maha Mengetahui?

Alangkah malangnya sianak yang meluahkan ubat yang disuapkan ibunya… Namun
lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang
“dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita
oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik
musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum
(walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita
mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Wallahua’lam.

Kirim email ke