*Menteri Besar Yang Mencintai Ilmu*


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang
sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota
Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat
merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan
Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau
terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di
Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar
Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau
mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum
ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji
Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan
Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku
dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan
Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata
pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato' Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti
Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung
kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab
Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid
yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili,
Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum
di Deoban, India , mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur'an, Hadis
dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru
Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan
mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang
pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada
1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan
memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian
menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan
kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat
diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.


*Perkhidmatan*

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi
oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum,
Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah
Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam
beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma'hoad
Muhamadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.


*Bidang Politik*

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang
Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di
kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut
Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat hingga 1995.
Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan
oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian
Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era
kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas
yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya 'Mengapa Saya Tidak Masuk
Kristian' dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri
kuliah dan ceramah.


*Pendakwah*

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma'had Muhamadi
dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu 'Halakat pengajian' yang
sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di
Ma'had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu
dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.


*Seorang Petah Bercakap*

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah
diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan
para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati
penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar
di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari
setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.


*Keistemewaan*

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak
sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang
dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah
ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi
Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang
paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Abia'.


*Penghargaan*

*Beliau mendapat penghargaan:*
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan
Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia
peringkat pertama (Al-Isma'illi) SJMK yang membawa gelaran Dato' pada 30 Mac
1995.


*Perkahwinan*

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin
Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu
tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata
lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik
Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma' Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.
Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di
rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab
agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu
juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga
dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung
pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.


*Ahli Parlimen yang komited*

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan
kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen
PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea,
saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan
Rakyat.

Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di
beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam
akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio.

Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting
di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.


*Kerajaan contoh*

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah
digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan
berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah
diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua
pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi
tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz
masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat
di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat
bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan
berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah
mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
yang mereka kasihi dan hormati itu.

Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan
Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul
Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi
Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi
sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada
kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada
kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya.

Kirim email ke