Date: Tue, 17 Oct 2000 12:50:34 +0800

www.harakahdaily.com

Column

Pembohongan dipertahan sebagai budaya politik UMNO?
Oleh Ibnu Ibrahim

Kenyataan-kenyataan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Dr Rais Yatim
dalam 'wawancara' atau 'soal-jawab' yang disiarkan menerusi media di bawah
kawalan Umno baru-baru ini sekaligus menjawab soalan saya sebelum ini (lihat
Harakah edisi cetak, 16-30 September 2000) bahawa budaya bohong diterima
sebagai budaya utama UMNO pada masa ini.

Kita jangan mudah tertipu dengan gelaran-gelaran yang ada pada seseorang
apatah lagi daripada seorang yang sedar betapa hayat politiknya ditentukan
oleh orang lain dan oleh itu merasakan sangat perlu menari mengikut rentak
yang ditentukan oleh orang yang berkuasa itu. Dalam dunia politik UMNO
seseorang akan hanya berjaya menaiki hirarki parti sekiranya dapat
menunjukkan 'kesetiaannya' kepada bos malah mempunyai potensi baik naik ke
atas lebih cepat lagi kalau dapat menunjukkan 'taringnya' terhadap 'musuh'
politik.

Isu penafian royalti minyak kepada negeri Terengganu adalah isu politik
semata-mata - sebagai satu strategi UMNO untuk melemahkan keupayaan Pas
membangunkan Terengganu sekaligus mengeluarkannya daripada belenggu
kemiskinan yang diwarisi sejak 42 tahun yang lalu di bawah pemerintahan
UMNO/BN. Ia juga bagi meneruskan khrafat dan dongengan lama bahawa hanya
UMNO mampu membangunkan negara untuk selama-lamanya. Oleh itu segala
kenyataan oleh Dr Rais yang berputar antara soal perjanjian, kedudukan
pesisir pantai dan luar pantai, 'keadaan' di negeri tersebut pada masa ini,
ketelusan kerajaan baru, hak rakyat dan sebagainya hanyalah
kenyataan-kenyataan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu pokok
iaitu isu politik atau lebih tepat lagi survival politik UMNO di Terengganu
khasnya dan Malaysia amnya. Kenyataan-kenyataan tersebut semuanya tidak
relevan.

Kalau kita meneliti setiap hujah yang dikemukakan beliau kita pastinya akan
membuat kesimpulan bahawa kesemuanya merupakan pembohongan politik supaya
dapat mengesahkan tindakan ala samseng yang dilakukan oleh UMNO terhadap
Terengganu dan rakyatnya.

Pertama, hujah beliau bahawa wang yang telah disalurkan ke Terengganu selama
ini - selama BN memerintah - ialah kerana kedudukan ekonomi Terengganu yang
amat dhaif. Ini bermakna sehingga 29 November 1999, Terengganu sangat miskin
tetapi sehari kemudian, Terengganu menjadi kaya apabila beralih pemerintahan
kepada PAS/BA dan kerana itu tidak perlu mendapatkan wang royalti minyak.
Kalau masih ada manusia di abad ini di bumi Malaysia yang berpemikiran
sedemikian, maka wajarlah lebih banyak hospital mental dibina untuk
meletakkan orang-orang seperti ini di sana untuk menjalani 'pemulihan'.
Adakah Dr Rais berfikir bahawa rakyat Malaysia semuanya berfikiran kuno
seperti sesetengah pemimpin UMNO?

Seperti dalam ulasan saya sebelum ini, Terengganu merupakan negeri kedua
termiskin di Semenanjung dan clip yang ditayangkan oleh stesyen TV swasta
berkenaan berselang-seli dengan sesi 'soal-jawab' itu menunujukkan secara
jelas betapa dhaifnya hidup rakyat Terengganu yang diwarisi sejak zaman
pemerintahan 'berwawasan' Mahathir! Bukankah ia membuktikan pembohongan UMNO
itu? Rakyat Terengganu masih jauh ketinggalan walaupun menerima puluhan ribu
juta ringgit dalam bentuk royalti, peruntukan wajib tahunan dan
sumber-sumber pendapatan lain selama 42 tahun yang lalu. Kenapakah Dr Rais
terus mahu menegakkan benang yang basah? Tidak malukah beliau dan Dr
Mahathir kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggiyang mempelajari
fakta ekonomi negara khasnya bagi negeri Terengganu yang mereka tahu
merupakan negeri miskin.

Tentang kemiskinan negeri Terengganu, ini suatu yang menakjubkan
memandangkan kenyataan pakar-pakar ekonomi bahawa Terengganu mempunyai
keluaran dalam negeri kasar (KDNK) yang lebih tinggi daripada semua negeri
lain kecuali wilayah persekutuan Kuala Lumpur. Sebaliknya kadar
kemiskinannya adalah ketiga tertinggi selepas Sabah dan Kelantan. Rakyat
perlu tanya kenapa terjadi begini?

Bagi rakyat ini menjadi bukti jelas betapa hinanya politik yang
diperjuangkan oleh UMNO. Bukankah kita sudah menegaskan bahawa memang
pembohongan sudah menjadi budaya UMNO?

Tanggapan bahawa perjanjian antara Terengganu dengan Petronas bukan satu
'perjanjian' adalah juga salah. Kalau begitu rakyat harus berasa cemas
kerana boleh dikatakan setiap rakyat yang berusaha memiliki rumah sendiri
akan bermasalah. Kita semua sedar bahawa kita dimestikan menandatangani
perjanjian dengan pihak pemaju untuk membeli rumah. Di sini timbullah
persoalan - apakah perjanjian membeli rumah itu sah di sisi undang-undang?
Atau apakah ia juga hanya satu 'memorandum persefahaman'yang tidak mengikat
pihak pemaju untuk memenuhi tuntutannya? Ini kerana ayat dan bahasa yang
digunakan adalah sama dengan kandungan perjanjian Petronas-Negeri Terengganu
1975 itu. Bolehkah ini difahami bahawa pihak pemaju berhak mengambil wang
kita tetapi tidak dimestikan menyediakan rumah menurut ketetapan perjanjian
kerana ia cuma satu 'persefahaman'? Saya fikir pakar undang-undang lain
perlu bersuara untuk menjelaskan perkara ini. Ia amat membingungkan dan
menakutkan sekiranya benar.

Kita juga akur bahawa Malaysia adalah sebuah persekutuan. Ini bererti
Malaysia hanya wujud disebabkan ada negeri-negeri yang bersetuju bersekutu
dengannya. Wilayah persekutuan hanya dua - Kuala Lumpur dan Labuan bererti
tanpa negeri-negeri lain Malaysia hanya mempunyai dua wilayah itu. Oleh itu
manakah rasionalnya bahawa minyak itu berada bukan dalam wilayah Terengganu?
Dan bukankah Terengganu -seperti negeri-negeri lain telah menyerahkan haknya
mencarigali minyak kepada kerajaan Persekutuan dan disebabkan itu menerima
balasan yang dipanggil royalti? Kenapa Dr Rais tidak menyebut tentang
perincian-perincian yang dipersetujui antara Petronas dan Terengganu
mengenai cara pembayaran royalti pada tahun 1987.

Perjanjian 1975, pada pendapat saya, merupakan alat/instrumen untuk
melaksanakan ketetapan dan kehendak Akta Kemajuan Petroleum 1974. Ini kerana
Akta itu menetapkan bahawa sesuatu bayaran akan dibuat sebagai balasan atas
persetujuan kesemua negeri menyerahkan hak mereka kepada Petronas.
Ditakdirkan Allah minyak dijumpai di perairan Terengganu, oleh itu secara
otomatis tuntutan Akta terpaksa dilunaskan. Inilah sebab wujudnya perjanjian
untuk memperincikan secara jelas apakah balasan yang akan diterima oleh
Terengganu. Iutlah 'gentlemen'nya Petronas dan Kerajaan Pusat waktu itu -
sekurang-kurangnya masih mempunyai maruah untuk memenuhi janji.

Akta Kemajuan Petroleum 1974 diluluskan di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak
diskong oleh wakil rakyat terdiri majoritinya daripada Barisan Nasional.
Apakah wakil rakyat BN hari ini mahu menidakkan usaha mereka yang terdahulu?

Dr Rais juga tidak berlaku jujur apabila menyebut bahawa kerajaan Terengganu
'seolah-olah mempunyai agenda lain dengan wang ihsan itu lalu menjadi cacing
kepanasan'. Beliau menambah, ' Pas terasa apabila langkah ini diambil oleh
kerajaan Pusat, mereka akan keciciran. Janji-janji mereka tidak akan dapat
dipenuhi kerana mereka tidak ada wang setelah tol dan cukai pintu
dimansuhkan'. Apakah benar dakwaan ini?

Memang janji-janji PAS akan sukar dilaksanakan dengan terputusnya sumber
dari royalti tersebut. Tetapi ketidakupayaan memenuhi janji ini bukankah
akibat tindakan jahat UMNO? Ini yang dikataka balas dendam. Bila sudah
kalah, biar rakyat merana sihingga kembali melutut kepada UMNO/BN.

Semua orang tahu bahawa sesebuah kerajaan yang memerintah pastinya mempunyai
agendanya yang tersendiri. Rasanya bagi PAS, agenda itu bermula dengan
memberikan keselesaan kepada rakyat dan meringankan bebanan-bebanan yang
ditinggalkan oleh UMNO sebelum ini, seperti bayaran tol yang tidak menasabah
dan cukai pintu bagi rumah kediaman. Rakyat Terengganu merasa lega dengan
langkah-langkah ini dan mengharapkan supaya 'agenda-agenda lain' yang telah
dirancangkan berjalan lancar supaya mereka dapat mengalihkan sumber-sumber
mereka bagi meningkatkan ekonomi diri.

Sebenarnya UMNO yang 'cacing kepanasan' kerana bimbang negeri Terengganu
akan muncul sebagai negeri paling maju di seluruh Malaysia jika dibiarkan
menjalankan urusan pentadbirannya tanpa diganggu dan disekat-sekat. UMNO
tidak mahu rakyat khususnya orang Melayu sedar bahawa pilihan yang lebih
baik dari segi merancang dan melaksanakan pembangunan ialah Pas bukannya
UMNO. Kalaulah wang royalti tidak disekat, InsyaAllah Pas akan dapat membawa
kemajuan dalam ertikata sebenar. Ini merupakan pil pahit yang tidak dapat
ditelan oleh UMNO. Kata-kata bahawa Pas mempunyai agenda lain cuma silap
mata UMNO bagi mengabui mata rakyat. Lagipun dakwaan bahawa Pas tiada wang
selepas memansuhkan tol dan cukai pintu juga sungguh dangkal yang hanya
boleh terbit daripada politikus UMNO. Apakah pendapatan negeri hanya
bergantung kepada dua sumber itu sahaja?

Rakyat juga bingung dengan tatacara baru yang cuba dijelaskan oleh ahli
politik seperti Dr Rais berhubung dengan penyediaan penyata kewangan negeri.
Bolehkah Dr Rais ternagkan kepada rakyat negeri manakah daripada
negeri-negeri yang diperintah oleh BN sudah menyerahkan penyata tahunannya
bagi tahun ini iaitu sehingga September? Apakah memang menjadi amalan setiap
negeri menyediakan penyata setiap enam bulan sekali atau setiap kali
diminta? Sejak bilakah peraturan ini diperkenalkan? Atau adakah ia peraturan
politik UMNO dengan mengenepikan peraturan berkanun kerajaan? Dan apakah hak
untuk mendapatkan laporan kewangan yang terlatak pada Ketua Odit Negara
sudah berpindah kepada pemimpin-pemimpin UMNO?

Bercakap mengenai pemantauan yang lebih telus rasanya rakyat Terengganu
lebih memehami makna 'telus' itu. Mereka pernah berada di bawah UMNO/BN
selama 42 tahun dan sudah masak dengan 'ketelusannya'. Mereka juga tahu
'ketelusan' UMNO/BN membolehkan seorang menteri kanan UMNO dikaitkan dengan
skandal pemberian saham kepada menantunya tetapi masih bebas ke sana-sini
dan untuk bermain golf!. Mereka juga melihat 'ketelusan' UMNO/BN apabila
bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah memberitahu dalam mahkamah bahawa
beliau dihalang daripada meneruskan siasatan rasuah ke atas seorang pegawai
tinggi kerajaan oleh perdana menteri sendiri. Disebabkan pengetahuan inilah
mereka membakul-sampahkan UMNO dari negeri Terengganu! Rakyat Terengganu
juga tahu PAS telah membuktikan ketelusannya apabila menubuhkan Jawatankuasa
Hisbah di bawah pimpinan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas sebaik
memenangi negeri. Dan rakyat juga tahu ketegasan kerajaan baru dalam soal
ini apabila ia menerima pakai ' perjanjian ketelusan' (integrity pact) yang
mendapat pujian badan pemantau ketelusan antarabangsa, Transparency
International. Jadi, siapakah bersandiwara?

Sebaliknya rakyat sedar bahawa selama 42 tahun dibawah UMNO/BN mereka tidak
tahu bagaimana wang RM 7000 juta hasil royalti minyak dan beberapa ribu juta
ringgit yang lain dalam bentuk peruntukan Pusat ke negeri dibelanjakan.
Rakyat Terengganu harus menuntut supaya ditubuhkan satu suruhanjaya bagi
menyiasat ke manakah perginya wang royalti selama ini di bawah pemerintahan
BN dan kenapa pula Terengganu terhutang RM 700 juta?

Kalau Dr Rais benar-benar mahu ketelusan menjadi amalan utama bagi sesebuah
pemerintahan beliau perlu mulakan dengan 'rumahnya' sendiri. Bersediakah
beliau mempelopori usaha penubuhan suruhanjaya Di Raja tersebut? Kita tunggu
dan lihat!

Comments ? E-mail Us



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Messenger - Talk while you surf! It's FREE.
eGroups Sponsor

------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/

Kirim email ke