*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam

Tak salah beristerikan janda

SOALAN: Saya seorang siswa tahun akhir di sebuah universiti tempatan yang berusia 21 
tahun. Saya berkenalan dengan seorang janda melalui telefon. Beliau merupakan seorang 
pegawai berusia awal 20-an. Kami saling mencintai dan merancang untuk mendirikan rumah 
tangga. 

Saya amat tertarik pada janda ini kerana budi bahasa dan sopan santunnya yang tinggi. 
Tahap pendidikannya juga setaraf pendidikan saya.

Soalan saya, apa pandangan agama dan masyarakat terhadap keputusan saya menerima janda 
ini sebagai isteri. Patutkah saya teruskan hasrat mengahwininya sekalipun masyarakat 
memandang serong kepada saya. Andainya hubungan saya perlu dihentikan setakat ini, 
apakah jalan terbaik bagi saya untuk mendapatkan pasangan hidup. - ZULKIFLI, Telaga 
Bina.


JAWAPAN: Setujukah anda jika saya katakan, cinta dalam ikatan sesuatu perkahwinan 
meskipun penting, namun ia bukan segala-galanya. Kebahagiaan rumah tangga adalah hasil 
gabungan antara cinta dan beberapa unsur sampingan yang lain seperti persefahaman, 
tahap sosial yang tinggi, kewangan yang kukuh, rupa paras yang menawan hati dan 
keluarga yang dihormati.

Kelazatan sesuatu hidangan pada dasarnya banyak bergantung pada resipinya yang diadun 
seimbang antara bahan masakan dan rempah kari yang disebatikan.

Meneruskan perkahwinan dengan seseorang wanita, bagaikan jual beli yang dibuat cara 
borong. Pembeli bersetuju dengan harga yang ditawar dan dengan satu dua perkara yang 
diminatinya. Kadang-kadang barang yang dibeli dengan cara ini terpaksa menerima 
realiti yang ada baik dan buruknya. Memang benar, membeli sebakul buah pasti ada yang 
manis dan ada yang masam.

Perkahwinan tidak boleh dibina semata-mata atas dasar cinta sama cinta. Pengalaman 
menunjukkan cinta mudah kering sebaik sahaja ditiup angin dan udara. Bertanyalah 
pengalaman orang tua yang lebih dahulu merasa asam garam perkahwinan.

Anda dikira tidak bijak jika tidak mengambil kira pandangan orang lain yang pernah 
merasai pahit maungnya hidup berumah tangga. Jika ada orang menasihati anda, supaya 
tidak membeli sesuatu barang kerana dibimbangi bahayanya, anda sepatutnya tidak 
menjawab ``biar saya cuba''.

Merujuk masalah anda yang kini mencintai seorang janda, kerana budi bahasa dan sopan 
santunnya yang tinggi, saya ingin mengajukan beberapa soalan sekadar membuka minda 
anda untuk berfikir dan seterusnya membuat keputusan.

Pertama: Adakah perkahwinan seorang lelaki dengan janda yang sudah kahwin itu suatu 
keaiban? Jawabnya tidak aib dari pandangan agama, kerana Nabi s.a.w dan ramai para 
sahabatnya mengahwini janda. Jika perkahwinan seumpama itu merupakan suatu keaiban 
dari segi agama, tentu sekali baginda tidak mengahwini Khatijah yang pada ketika itu 
seorang janda berusia lewat 40-an.

Sirah Rasulullah s.a.w itu menjadi teladan yang sangat baik dicontohi terutama apabila 
perkahwinan itu mendatangkan faedah bagi merapatkan hubungan keluarga, membela nasib 
anak-anak yatim atau berfaedah bagi perkembangan Islam dan dakwah.

Bagaimanapun masyarakat tidak mudah menerima alasan seorang belia beristerikan janda, 
sedangkan gadis-gadis yang belum terusik masih ramai. Justeru masyarakat memandang 
ganjil perkahwinan itu. Maka sebelum membuat sebarang keputusan, anda perlu menjawab 
beberapa soalan berikut:

Mampukah anda menulikan telinga, jika masyarakat memandang serong terhadap anda yang 
beristerikan janda. Sanggupkah anda menghadapi tekanan masyarakat yang sentiasa 
bertanya mengapa anda memilih janda. Mungkinkah pada suatu hari nanti fikiran anda 
berubah, lalu mengambil keputusan untuk meninggalkan janda itu, kerana alasan lain 
yang sengaja anda rekakan seperti tidak mempunyai masa secukupnya untuk melayani 
kehendak anda, kerana kesibukannya dengan kerjaya sebagai seorang pegawai atau kerana 
faktor usianya yang semakin layu.

Kedua: Keputusan anda mengahwini janda itu, adakah kerana anda juga mempunyai 
kelemahan sendiri dan berminat berkongsi kelemahan itu dengannya. Jika benar andaian 
ini, maka kini penyakit anda telah bertemu ubatnya. 

Saya cadangkan, teruskan perkahwinan itu sesegera yang mungkin. Abaikan sahaja 
cakap-cakap orang, kerana mereka senang berbicara, padahal tidak mengetahui apa yang 
anda rasa. Sebaliknya, jika hasrat itu tidak bertujuan menutup sebarang kelemahan, 
maka mungkinkah saudara sanggup mengabaikan tohmah-tohmah liar jika ditakdirkan ada.

Ketiga: Adakah anda benar-benar berpuas hati dengan janda itu, atau hanya kerana 
terpukau dengan sopan santun dan budi bahasanya yang mencuit hati dan perasaan anda, 
atau kerana ada sesuatu menjadikan anda simpati terhadapnya, misalnya kerana dia 
ditinggal suami atau kerana dia tinggal bersendirian jauh dari keluarga dan 
sebagainya. 

Pernahkah anda timbangkan kekuatan dan kelemahannya, kebaikan dan kekurangannya secara 
adil? Sudahkah anda mengambil kira suasananya dengan fikiran yang tenang dan waras 
atau hanya dengan hati yang termakan budi.

Anda memuji-muji janda itu kerana budi bahasa dan kesopanannya yang tinggi. Adakah 
anda akan terus berpegang dengan prinsip ini atau pada suatu hari nanti idealisme anda 
terhadap seseorang wanita akan berubah. Saya tanyakan lagi, mengapa anda tidak 
beranggapan kesudian janda itu bercakap di telefon dengan seorang siswa seperti anda, 
menjatuhkan budi bahasa dan kehormatannya. Sudahkah anda menyelidiki sebab-sebab 
mengapa dia dicerai suaminya terdahulu. Mengapa anda tidak katakan, perceraian itu 
disebabkan kelemahan-kelemahannya yang tersendiri.

Saya majukan lagi soalan terakhir yang perlu dijawab. Adakah pandangan serong 
masyarakat dan keluarga, menjejaskan terus kebahagiaan anda apabila berkongsi hidup 
dengan janda itu. Jika jawapannya tidak, saya kira anda boleh membuat keputusan 
meneruskan perkahwinan itu, sambil memohon hidayat kepada Allah dan banyakkan doa, 
semoga anda diberi petunjuk kepada jalan yang betul. Pesanan saya, jangan tergesa-gesa 
membuat keputusan dalam urusan yang memerlukan pertimbangan yang lebih cermat dan 
teliti.

Jika maklum balas yang diperoleh daripada soalan-soalan tadi negatif, maka anda perlu 
mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mendapatkan calon isteri daripada 
gadis-gadis yang rasa saya tidak susah bagi seorang siswa seperti anda.

Anda perlu terlebih dahulu mempastikan kemampuan untuk mendirikan sebuah rumahtangga, 
tanpa banyak bergantung kepada orang lain, terutama dalam hal-hal kewangan. Setelah 
anda yakin dengan kemampuan itu, pilihlah wanita yang sesuai dan banyak persamaannya 
dengan anda, sama ada dari segi kebendaan, pendidikan dan sosial. Persamaan dari 
aspek-aspek ini lebih banyak membantu kebahagiaan sesebuah rumah tangga, bahkan antara 
dua keluarga kedua-dua pihak yang bakal dipertemukan.

Sejarah Islam menyatakan, faktor utama membawa perpisahan antara Zaid bin Harithah dan 
isterinya Zainab binti Jahsy ialah kerana jauhnya jarak perbezaan antara Zaid dan 
isterinya. Zainab merupakan seorang berketurunan bangsawan yang dihormati dalam 
keluarganya, sedangkan Zaid pula seorang hamba.

Sehubungan ini juga Saidina Umar Ibn al-Khattab pernah mengeluarkan arahan supaya kaum 
bangsawan tidak dibenar kahwin kecuali dengan golongan yang sama taraf dengannya.

Setelah didapati calon yang sesuai, pastikan anda meminati dan mencintainya. Jangan 
pilih wanita yang ada sifat-sifat yang istimewa, tetapi tidak dicintai, atau dengan 
kata lain, fikiran menerima tetapi hati membisu. Jangan sekali-kali anda mencari bakal 
isteri yang terlalu ideal dan semua terbaik, kerana anda sendiri pun banyak 
kelemahannya.

Saya tertarik kepada soal selidik yang dilancar melalui laman web Islam On Line kepada 
4,308 responden, untuk mendapatkan maklum balas pada pemilihan teman hidup yang 
istimewa. Ciri-ciri yang diketengahkan dalam pemilihan yang berupa undi ialah cinta, 
persefahaman, pendidikan tinggi, kecantikan rupa paras dan tahap sosial yang istimewa.

Undian itu menunjukkan cinta mendapat 850 undi, persefahaman 2,505 undi, pendidikan 
mendapat 98 undi, kecantikan mendapat 184 undi, manakala tahap sosial mendapat 671 
undi.

Soal selidik ini membuktikan bahawa persefahaman mendapat undi yang terbesar daripada 
para responden. Ini pula sesuai dengan punca perceraian yang banyak berlaku adalah 
disebabkan tiada persefahaman antara suami isteri.

Faktor pendidikan mendapat undi paling rendah, kerana ramai lelaki tidak berminat 
dengan isteri yang tahap pendidikannya lebih tinggi daripada suami. Kerana dibimbangi 
kuasa pentadbiran rumah tangga bertukar tangan. Lelaki lebih suka memegang kuasa, 
biarpun pada masa yang sama dia bertanggungjawab pula dengan nafkah isteri dan 
keluarganya.

Faktor kecantikan mendapat 184 undi, iaitu yang kedua paling kecil selepas pendidikan 
tinggi. Faktor ini bukan tidak penting, tetapi jangan sekali-kali mengorbankan 
faktor-faktor lain, semata-mata kerana kecantikan rupa paras.

Fuqaha Islam memutuskan, adalah menjadi hak seseorang lelaki melihat wanita yang bakal 
dipinangnya terlebih dahulu, kerana kecintaan bermula dari mata sebelum turun ke hati.

Sehubungan ini, seorang sahabat Nabi memberitahu baginda, bahawa dia ingin meminang 
seorang wanita. Nabi s.a.w bersabda: Sudahkah kamu lihat wanita itu? Jawabnya: Belum. 
Sabda Nabi: Lihat dahulu, kerana pandangan mata membantu keserasian kamu berdua.

Aisyah r.a pernah meramalkan bahawa perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Juwairiyah 
pada suatu hari nanti akan menjadi kenyataan, apabila mendapat maklum bahawa 
Juwairiyah seorang yang cantik rupawan. Ini kerana Aisyah r.a. tahu bahawa Rasulullah 
s.a.w cintakan sesuatu yang cantik.

Memang benar Rasulullah s.a.w sukakan wanita yang cantik, kerana seorang wanita pernah 
menawarkan diri kepada beliau untuk menjadi isterinya. Setelah baginda melihat 
keseluruhan gerak-geri wanita itu, baginda menyatakan tidak berminat dengan wanita 
itu, sambil menarik diri daripada tawarannya.

Sebagai kesimpulan, pemilihan bakal isteri tidak salah untuk dilihat pada banyak ciri, 
tetapi ciri yang paling mustahak ialah wujudnya persefahaman atau kesediaan bertolak 
ansur antara suami isteri.

Akhir sekali, jangan lupa sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ``Biasa dikahwini seseorang 
itu kerana harta benda, keturunan, kecantikan rupa paras dan agama. Ingat! Pilihlah 
wanita yang kuat agama, nanti kamu sesal jika pilih yang lain. Agama yang dimaksudkan 
di sini ialah kekuatan iman dan takwa yang dengannya mampu menyahut segala cabaran 
dalam rumah tangga.






______________________________________________________
Get Paid... With Your Free Email at
http://www.zwallet.com/index.html?user=cilibangi


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Harun b Hasan <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke