(358) Dalam
kesibukan kita menangani isu KMM dan gerakan bawah tanah, pencabulan hak asasi
rakyat melalui ISA masih bermaharajalela. Ini bukan berfikiran 'konspirasi'
atau dilanda sindrom 'ada dalang utama', tetapi saya percaya anjakan tumpuan
daripada isu-isu hak asasi dan ISA kepada isu militan dan gerakan bawah tanah
di IPTA disusun begitu rupa dengan hoopla yang didokongi oleh akhbar
milik dan bawah kuasa kerajaan pemerintah.
(359) Apakah
tindakan yang diambil kerajaan daripada laporan yang dibuat oleh Suhakam
baru-baru ini tentang kekerasan pihak polis ketika program Perhimpunan 100,000
Rakyat? Kata Menteri Dalam Negeri, beliau akan meneliti setiap mukasurat
laporan tersebut. Kata Perdana Menteri, beliau anggap laporan tersebut tidak
menggambar keadaan sebenar dan dipengaruhi oleh pendekatan barat terhadap hak
asasi manusia. Kata Ketua Polis Negara pula, laporan tersebut tidak perlu
dilayan.
(360) Jika saya
pesuruhjaya Suhakam, saya akan tercabar dengan komen-komen demikian. No
respect whatsoever! Mana perginya rundingan, perjumpaan, perbincangan dan
perkongsian bagi menangani isu berkenaan? Mana perginya konsep mesra rakyat,
jalinan kerjasama?
(361) Kita semua
tahu apa jawapan mereka. "Rundingan dan perkongsian memang dilaksanakan tetapi
bagi kebaikan majoriti rakyat. Ini kes minoriti. Lagi pula, kenapa kita perlu
akur kepada laporan yang berat sebelah dan tidak mengambilkira situasi semasa
di Malaysia". Sikap dan ego Dr Mahathir amat terserlah dengan amalan tiada
sesiapa yang lebih atas darinya walaupun nada dan teguran Suhakam merupakan
pandangan mereka setelah siasatan dijalankan dan selari dengan hak yang
diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
(362) Saya pasti
sekiranya isu-isu lain dimainkan, laporan Suhakam ini akan tenggelam bersama
dengan ingatan rakyat terhadap pencabulan hak asasi manusia. Benar atau tidak,
strategi 'rakyat mudah lupa' sekali lagi digunakan di sini. Benar atau tidak,
isu Anwar, penyelewengan kewangan, pemunggahan kekayaan oleh kroni dan isu ISA
yang semuanya menala ke arah Dr Mahathir sudah mula dikaburi dengan kelemahan
pelajar Melayu, aktiviti bawah tanah di IPTA, aktiviti militan dan kegagalan
pensyarah menjalankan tugas mereka.
(363)
Keterlaluankah teori ini? Saya anggap tidak kerana mereka percaya mereka telah
berjaya melumpuhkan beberapa kekuatan atau faktor kritikal kejayaan
kebangkitan rakyat dengan strategi demikian.
(364) Pertama,
mereka gunakan ISA ke atas penggerak kebangkitan rakyat terutamanya Hj Saari
Sungib, Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Dr Badrulamin, Lokman Noor Adam dan
Hishammuddin Rais.
(365) Kedua,
mereka gunakan ISA ke atas penggerak kebangkitan mahasiswa dan menyekat
kemaraan pelajar dengan ancaman AUKU dan tindakan penggantungan.
(366) Ketiga,
mereka sekat pengeluaran permit untuk ceramah umum dan mengambil tindakan
menahan sesiapa yang dianggap melanggar sekatan tersebut
(367) Dan
keempat, mereka cuba melumpuhkan PAS dengan menconteng arang ke atas imej
mereka melalui KMM dan gerakan bawah tanah di IPTA.
(368) Ada satu
lagi faktor kritikal kejayaan yang tidak boleh ditinggalkan iaitu sokongan
NGO. Setakat ini, bahangnya sudah mula terasa tetapi saya amat berharap
NGO juga tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah hamburan mereka.
Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dulu, NGO perlu berani mara secara
bijaksana, telus, amanah, jujur dan penuh bertanggungjawab. Selalunya jalan
mudah ialah dengan mengelak dan membuat lencongan yang akhirnya boleh
mengakibatkan kurang keberkesanan dalam konteks mesej yang ingin disampaikan.
(369) Saya setuju
dengan langkah kita mengetengahkan isu-isu pokok kepada masyarakat. Contohnya,
kegagalan di kalangan pelajar IPT. Atau, kejayaan pelajar berpendidikan
sekolah agama, atau kejayaan NGO dalam mendidik remaja dan masyarakat atau
peningkatan kesedaran terhadap amalan yang dianjurkan oleh Islam dan
sebagainya. Dalam isu-isu inilah kita boleh ketengahkan sebab-sebab utama
kegagalan atau kelemahan.
Mansuhkan ISA! Bebaskan Tahanan ISA
sekarang!
Syed Ibrahim Alhabshi
(013-3421287)
Naib Presiden
Pengerusi GMI-JIM
4
September 2001