www.harakahdaily.com

Minyak di Terengganu kini milik negeri 100 peratus

KUALA TERENGGANU, 13 Nov. (Hrkh) - Kerajaan negeri Terengganu beranggapan, kesemua hasil petroleum yang dijumpai di negeri ini adalah dimiliki 100 peratus oleh negeri ini dan bukannya hak Petronas lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri Terengganu, Haji Mustafa Ali berkata, anggapan ini dibuat berasaskan kenyataan kerajaan Pusat bahawa perjanjian yang dibuat oleh kerejaan negeri dengan Petronas pada tahun 1975 telah tidak sah dan terbatal sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim.

"Kalau selama ini milik kita 5 peratus sahaja berdasarkan perjanjian dengan Petronas, kini setelah perjanjian itu dikatakan terbatal dengan sendiri oleh Pusat, kini ia milik kita 100 peratus,"kata Haji Mustafa yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata demikian ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas sikap kerajaan negeri Terengganu terhadap isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu ketika ditemui di majlis pelancaran Pusat Dagangan Terengganu semalam.

Dr Rais sebelum ini memaklumkan, perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas dengan sendirinya terbatal apabila kerajaan Pusat sebagai pemilik Petronas mengarahkan wang itu tidak lagi dibayar kepada kerajaan negeri dan dijadikan wang ehsan.

Bagaimanapun, dalam satu wawancara dengan sebuah stesen telivisyen tempatan, Rais berkata, perjanjian itu bukan perjanjian tetapi memorandum persefahaman (MoU) sahaja antara kerajaan negeri Terengganu dengan Petronas.

Menteri Besar Terengganu telah mengeluarkan tiga perjanjian antara kerajaan negeri dengan Petronas dari senarai dokumen rahsia (dari senarai OSA) iaitu surat penyerahan kuasa carigali dan menjual petrol di negeri ini kepada Petronas, perjanjian bahawa Petronas akan membayar wang tunai kepada kerajaan negeri hasil dari petrol yang dikeluarkan itu dan perjanjian kaedah pengiraan royalti minyak kepada Terengganu.

Baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu, minyak telah dijumpai di atas daratan dan juga di kawasan pantai negeri Terengganu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membuat perjanjian dengan sebuah syarikat antarabangsa untuk mengeluarkan minyak dari negeri Terengganu itu.

Dengan kenyataan Mustafa Ali ini bermakna, Petronas tidak lagi berhak untuk mengeluarkan sebarang minyak dari bumi Terengganu.

Sementara itu, ketika ditanya apa komen beliau terhadap kenyataan bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan kerajaan negeri Terengganu tidak berhak kepada royalti itu, Mustafa Ali berkata, "Dia ini burung Kakak Tua sahaja."

Burung Kakak Tua dalam pribahasa Melayu bermakna, mereka yang bercakap berdasarkan apa yang orang ajarkan bukan dari fikiran atau pandangan beliau sendiri.

Comments ? E-mail Us



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Calendar - Get organized for the holidays!

Kirim email ke