Orang UMNO harus insaf

Oleh: AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
PUAS nasihat, beliau marah. Puas marah, beliau merayu. Puas merayu, beliau menangis. Habis menangis, beliau berdoa. Demikianlah yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada beberapa siri Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

Matlamatnya hanya satu iaitu menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang kuat, berdisiplin, cemerlang dan dihormati dunia. Beliau tidak mahu orang Melayu berjaya melalui jalan pintas. Beliau tidak mahu Melayu memberi dan menerima rasuah. Beliau tidak mahu UMNO menjadi parti korup.

Pengalaman UMNO pada pertandingan jawatan di peringkat bahagian pada April lalu memperlihatkan gejala politik wang masih diamalkan dalam parti itu. Setakat ini lima ketua bahagian sudah dibatalkan jawatan masing-masing dan diambil tindakan disiplin, manakala sembilan lagi dikenakan amaran.

Selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, perubahan sikap orang Melayu disifatkan oleh Dr. Mahathir sebagai radikal dan membimbangkan. Katanya, jika tidak dapat diperbetulkan, UMNO akan hancur dalam masa 10 atau 20 tahun.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-55 esok, presiden parti itu dijangka akan memberi suntikan baru menerusi amanat ucapannya. Tetapi berdasarkan pengamatan yang berlaku terhadap nasihat beliau terutama perjuangan UMNO untuk mendekati rakyat dan menghapus gejala politik wang, maklum balas yang ditunjukkan agak mengecewakan.

Apakah sudah jadi dengan ahli UMNO sebenarnya? Apakah perhimpunan kali ini UMNO belum lagi sedar tentang cabaran-cabaran di sekelilingnya? Apakah UMNO mahu menjadi sebuah parti yang tidak langsung ada tindak-balasnya?

Menurut pemerhati politik, Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, sesetengah ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan tahunan itu menganggap ia sebagai satu percutian bagi mereka berkunjung dan tinggal di hotel mewah di Kuala Lumpur.

Ahli UMNO, terutama yang menjadi perwakilan bahagian kadangkala hanya memenuhi bangku di Dewan Merdeka ketika mendengar ucapan Presiden UMNO, selepas itu mereka pun sibuk membeli-belah.

``Mereka yang dipilih menjadi perwakilan sebenarnya diletakkan harapan oleh orang Melayu di bahagian masing-masing dan kehadiran mereka mendengar perbahasan di perhimpunan itu adalah penting untuk dibawa pulang. Tetapi tanggungjawab sebagai perwakilan ini kadangkala dilupai oleh sesetengah orang UMNO,'' kata Mohd. Fithri.

Kenapa ahli-ahli UMNO tidak banyak berubah setelah berpuluh-puluh kali nasihat diberikan oleh presiden parti.

Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Zambry Abd. Kadir berpendapat, soal perubahan sebenarnya sukar diukur kerana ahli UMNO itu sendiri begitu ramai iaitu 2.7 juta orang. Di samping itu katanya, dalam UMNO ada kepelbagaian pemikiran yang datang daripada golongan petani, bekas guru, kumpulan iktisas (profesional) dan ahli perniagaan.

``Namun saya percaya masih wujud sebilangan mereka yang mendukung UMNO atas perjuangan yang sebenar.

``Tetapi mereka yang mendukung UMNO atas kepentingan cita-cita, pangkat dan harta kekayaan, mereka ini barangkali tidak memberi perhatian langsung terhadap nasihat Presiden UMNO kerana padang permainan mereka mungkin agak berlainan dengan apa yang disuarakan oleh presiden parti,'' kata Zambry.

Ahli UMNO perlu disedarkan daripada tidur. Mereka telah lama dibuai mimpi dengan kemewahan kesan daripada kestabilan politik. Dalam hal ini, kata Mohd. Fithri, hati ahli UMNO telah dibuai dengan kenyataan bahawa kononnya rakyat tidak akan membuat perubahan paradigma. ``Tetapi bibit-bibit perubahahan paradigma di kalangan sebahagian rakyat negara ini terhadap sokongan mereka kepada UMNO telah bertukar. Kini telah ternampak kesan perubahan itu apabila sokongan rakyat kepada UMNO menurun sedikit,'' katanya.

Ada banyak isu yang mungkin dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini. Kesungguhan UMNO dalam membasmi politik wang sedang diperhatikan oleh rakyat dan ia tidak sewajarnya dipandang remeh.

Isu politik wang yang sedang dihadapi oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO dijangka mendapat perhatian dalam ucapan perwakilan di perhimpunan kali ini. Hal yang mencetuskan sedikit sebanyak permasalahan dalam parti iaitu tentang garis panduan yang tidak begitu jelas dan menyebabkan segelintirnya merasakan diri mereka dianiaya, manakala pihak lain menggunakan kesempatan ini untuk membalas dendam kepada musuh politiknya.

Sebab itu kata Zambry, dalam konteks perpaduan Melayu, UMNO perlu melihat perpaduan sesama Melayu dan juga perpaduan di kalangan ahli UMNO sendiri. ``Ini kerana jika tidak ada kekuatan dalaman di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri, maka mungkin berlaku satu robohan dari dalam,'' katanya.

Ada pihak yang memerhatikan bahawa di kalangan ahli UMNO, mereka sering bertelagah sesama sendiri, suka mencari salah sesama sendiri, sering berdendam kesumat sesama sendiri dan berani melakukan perkara-perkara yang bertujuan untuk membenamkan pesaing mereka. Ini bukan masalah musuh parti tetapi mereka berusaha sedapat mungkin merebut jawatan.

``Tetapi cuba bandingkan usaha mereka untuk berhadapan dengan musuh UMNO yang sebenar seperti Pas, Keadilan dan parti pembangkang lain. Hal ini tidak berlaku,'' jelas Mohd. Fithri.

Tetapi bila sampai peringkat berhadapan sesama sendiri, mereka terlalu kreatif bagaimana untuk memusnahkan sesama sendiri. Ini sangat berbahaya kepada UMNO.

UMNO juga tidak harus ketinggalan mengikuti perkembangan arus yang berlaku di peringkat bawah tentang kehendak, pandangan, kritikan dan cetusan jiwa rakyat. Presiden UMNO beberapa tahun lalu ada melahirkan kebimbangannya terhadap orang UMNO yang berada dalam suasana selesa. Persoalannya apakah peringatan Dr. Mahathir tentang bahaya persekitaran suasana itu kini sudah semakin kurang atau tiada perubahan, malah ia bertambah menjadi-jadi sehinggakan di luar kawalan.

Jawapan pada persoalan ini, hanya ahli-ahli UMNO yang perlu bertanya pada diri sendiri. Apakah sumbangan mereka kepada parti? Sejauh manakah mereka sudah melakukan sesuatu yang terbaik untuk memastikan keadaan yang `selesa' kepada UMNO itu sudah semakin berkurangan? Ini satu persoalan yang besar kepada UMNO.

Antara isu besar yang perlu diperhatikan oleh UMNO ialah tentang jurang di antara generasi yang semakin ketara. Ini dapat dilihat umpamanya dalam kepimpinan parti yang tidak menonjolkan generasi baru ketika UMNO sedang berhadapan dengan masalah penerimaan rakyat khususnya di kalangan generasi baru ini.

UMNO sebenarnya menyedari hakikat ini, tetapi agak perlahan melakukan pembaharuan untuk kemasukan generasi baru.

Dalam hal ini juga, UMNO dikatakan mahu golongan pelapis dan parti itu sedang mencari-cari tokoh-tokoh yang berkaliber dan berkelayakan, tetapi nampaknya tokoh-tokoh ini sedang melalui laluan yang sangat sukar kecuali diangkat oleh pemimpin atasan UMNO sendiri.

Bersempena perhimpunan yang kedua dalam alaf baru ini, UMNO juga perlu melihat bagaimana pimpinan di peringkat atasan khususnya di kalangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya.

Persoalannya sehingga kini MT seolah-olah hanya menjadi satu medan untuk majlis mesyuarat rasmi parti. Tetapi dari segi gerak kerja misalnya, adakah mereka turut turun ke bawah membantu akar umbi mendekati rakyat? Apakah mereka hanya menjadi jurucakap-jurucakap dengan memberi pandangan tertentu sahaja tanpa melibatkan gerak kerja yang menyeluruh? Rakyat sedang menilai kualiti yang ada pada mereka.

Di samping itu, sejauh manakah ahli-ahli UMNO mampu bermuhasabah mengakui beberapa kekurangan, kelemahan, kesilapan dan barangkali dosa-dosa mereka dengan Tuhan dan sesama manusia? Setelah Presiden UMNO menitiskan air mata dan meminta doa dan selepas ucapan penting pada Khamis ini, mampukah ahli-ahli UMNO insaf dan meninjau semula akan tanggungjawab dan perjuangan mereka dalam parti? Hasilnya mungkin dapat dilihat pada Perhimpunan Agung UMNO tahun hadapan.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2001&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Kirim email ke