Title:
 
 

PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT

Perutusan [12]

 

Assalamu'alaikum dan Salam Reformasi,

 

114.    Semalam Sekretariat Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat mendapat emel daripada SUHAKAM bertarikh 10 Januari, 2001 3:44 petang dengan No Rujukan: SHM.001/1/9. Kandungannya seperti berikut: "UNDANGAN RASMI KE PROGRAM PERHIMPUNAN RAYA 100,000 RAKYAT. SUHAKAM ingin mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk upacara yang tersebut di atas, dan setelah meneliti perkara ini, dukacita dimaklumkan bahawa SUHAKAM tidak dapat menerima jemputan ini. Sekian, terima kasih. "HAK ASASI UNTUK SEMUA"

 

115.    Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menghormati keputusan SUHAKAM tersebut. Bagi memastikan liputan yang tepat, adil dan benar dapat diketengahkan seandainya masih berlaku sebarang pencabulan hak asasi rakyat ketika menghadiri sambutan Hari Raya tersebut, Jawatankuasa akan menjemput seramai mUngkin wartawan dari media tempatan dan luar negeri untuk membuat liputan perhimpunan Hari Raya tersebut.

 

116.    Di atas semangat itu, di samping usaha rasmi daripada Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat, kami juga meminta jasa baik penyokong-penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO dan reformasi untuk secara tidak rasmi mengundang kenalan masing-masing di kalangan anggota media, wartawan bebas, penulis, novelis, jurugambar, pelukis, kartunis, peguam, penyair, penyajak, pengendali laman-laman web serta penggiat sosial untuk hadir memantau sambutan Hari Raya tersebut. 

 

117.    Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat meminta kerjasama NGO-NGO yang memberi tumpuan dalam isu hak asasi manusia, khususnya SUARAM, HAKAM dan ALIRAN untuk menyediakan para petugas bagi memantau perjalanan sambutan Hari Raya tersebut. Kemahiran ketiga-tiga NGO ini dalam melapor dan mengemukakan kes-kes pencabulan hak asasi manusia di negara ini amat diperlukan dalam memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat direkodkan secara tepat dan berkesan.

 

118.    Memandangkan sambutan Hari Raya ini melibatkan satu sambutan mulia di sisi Islam, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menyeru agar pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM, ASASI, PUM, TERAS dan URUS bekerjasama mewujudkan suatu badan bagi memantau perjalanan sambutan Hari Raya ini agar sebarang kes pencabulan hak asasi manusia dapat dirakam dan direkodkan secara menyeluruh.

 

119.   Sesuai dengan usaha untuk mewujudkan perpaduan menyeluruh antara kaum dan agama melalui Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat ini, Jawatankuasa menyeru agar pertubuhan-pertubuhan Kristian dan gereja, persatuan-persatuan Buddha, Hindu dan Sikh di negara ini mewujudkan pasukan-pasukan pemantau untuk merakamkan sebarang tindakan pihak-pihak tertentu yang boleh mengeruhkan suasana harmoni yang diharapkan oleh seluruh rakyat ketika menghadiri sambutan perayaan ini.

 

120.   Pada masa yang sama, Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat menyarankan agar badan-badan pelajar seperti GAMIS, PKPIM, KARISMA dan DEMA mengerahkan para mahasiswa dan mahasiswi untuk turun serta menghadiri majlis Hari Raya di samping turut sama-sama memantau keadaan dan perjalanan majlis sambutan tersebut.

 

121.    Akhir sekali dengan ketiadaan sebarang wakil daripada SUHAKAM, rakyatlah sendiri yang menjadi para pemantau. Oleh itu Jawatankuasa menyeru agar seluruh rakyat bertindak rasional sepanjang menghadiri sambutan Hari Raya dan tidak menimbulkan sebarang provokasi serta tidak melayan sebarang provokasi daripada mana-mana pihak. Kita hadir untuk menyambut Hari Raya yang mulia di samping meraikan rakan-rakan kita daripada pelbagai kaum dan agama dengan perayaan mereka masing-masing.

 

122.    Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat juga menyeru kepada para penyokong Barisan Alternatif, aktivis NGO, reformis dan karyawan untuk hadir dengan membawa kamera, video-cam, digi-cam, pen dan buku nota catatan serta apa-apa alat perakam bagi tujuan merakamkan tindakan mana-mana pihak yang mungkin menimbulkan sebarang kekecohan semasa sambutan Hari Raya tersebut.

 

123.    Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat akan membantu saudara-saudara untuk menyiarkan, khususnya melalui laman-laman web dalam dan luar negara, perihal bukti melalui foto dan audio-video anasir daripada mana-mana pihak yang menimbulkan kekecohan semasa rakyat sama-sama berhimpun secara aman untuk menyambut sambutan perayaan.

 

“Kembalikan Hak Rakyat”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat

[EMAIL PROTECTED]

12 Januari 2001

bersamaan dengan 17 Syawal 1421

 

 

 

 

 

Kirim email ke