Ahad 14 Julai 2013 selepas Maghrib di Astro Oasis saya
sempat menonton sekejap rancangan siaran “Salam Muslim”. Amat tersentuh dan
tertarik pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Ustaz Mohd Fadli Yusof di
pedalaman Sabah. Seolah-olah apa yang berlaku dalam awal dakwah Islam di zaman
Rasulullah, para sahabat dan tabiin kembali menjelma. Seorang pendakwah yang
sanggup merentas hutan belantara, mengajar di bawah lampu pelita di malam yang
gelap. 
 
Kemudian dapat menggerakkan orang kampung yang ramai antara
mereka baru memeluk Islam mendirikan masjid dari tulang empat kerat mereka
sendiri. Menebang pokok di hutan, dijadikan tiang dan papan. Mengusung kayu dan
papan untuk dibuat masjid menyeberang jambatan titi gantung, termasuk yang
perempuan memikul kayu atas bahu.
 
Tidak dapat dibayangkan ianya benar-benar berlaku sekarang
di Malaysia.
 
Kalaulah semua pendakwah, semua pejuang agama dan bangsa di
Malaysia ini tidak duduk di kerusi empuk, pejabat yang berhawa dingin, kereta
yang berjenama, sebaliknya turun ke padang jumpa dengan rakyat, menunjukkan
akhlak yang baik, berdakwah dari hati ke hati, pasti ramai rakyat Malaysia yang
berbilang kaum akan terpikat dengan keindahan Islam. 
 
Apalah selama ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak
terpikat dengan Islam kerana menyaksikan gelagat umat Islam di Malaysia ini
terutamanya orang Melayu yang berlumba-lumba mengumpul harta, membina rumah,
berfoya-foya dan sebagainya?
 
Jika ramai antara kita, termasuk saya sendiri dapat
mencontohi Ustaz Mohd Fadli Yusof sudah pasti ramai bukan Islam di Malaysia ini
terpikat dengan keindahan Islam dengan kerendahan hati dan kemurahan hati umat
Islam itu sendiri. 
 
Laman web berkaitan usaha-usaha Ustaz Mohd Fadli Yusof di 
http://syahadah.dakwah.org antaranya
mendirikan Masjid As-Syahadah, Kampung Padang, Sepulut, Sabah.
 
Facebook beliau di www.facebook.com/mfadli11 

Kirim email ke