Beberapa penduduk sekitar Senawang terutama yang
tinggal berhampiran dengan Jalan Senawang-Paroi
menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kawasan
tersebut yang menjadi aktiviti perlumbaan motosikal
terutamanya oleh golongan remaja berbangsa Melayu.
Kawasan perlumbaan tersebut telah diberi gelaran
"Litar Seri Pagi", memang sesuai dengan namanya kerana
aktiviti ini bertambah "serinya" daripada lewat larut
malam sehinggalah menjelang pagi.

Pernah sekali saya bersama rakan terserempak dengan
gerombolan para-para pelumba harapan bangsa ini pada
lewat jam 1 pagi. Angka mereka mencecah lebih seratus
penunggang motosikal, memandangkan mereka ramai ,
walaupun lampu hijau, kita terpaksa memberi laluan
kepada mereka untuk "berhibur" walaupun mereka berada
di laluan lampu merah untuk mengelakkan kejadian yang
tidak diingini. Mulanya datang juga perasaan geram dan
marah, tapi kemudian datang pula perasaan kasihan.
Kasihan melihatkan anak-anak muda harapan bangsa
menghabiskan masa menggadai nyawa hanya semata-mata
untuk berhibur melepaskan perasaan dan tekanan hidup
serta kerja.

Lalu saya pun menaliponlah pihak polis untuk mengawal
keadaan. Kasihan mendengarkan keluhan pihak polis pula
mengatakan saya orang yang kelapan menalipon mengadu
hal yang sama. Dan mereka hanya ada anggota tak sampai
10 orang untuk mengawal lebih 100 para remaja yang tak
takut mati. Bila buat operasi di Jalan Ampangan,
mereka lari ke Jalan Senawang – Paroi Lama, bila kejar
mereka di Jalan Senawang – Paroi Lama, mereka lari ke
"Litar Seri Pagi". Kasihan pula tengok anggota polis
yang bertungkus lumus mengekang mata pada malam hari,
di siang hari pula mengawal lalu lintas yang sesak di
bandar Seremban. Buat operasi jam 1 pagi para-para
lumba muda negara tadi melarikan diri atau
menyembunyikan diri, sebaik sahaja anggota polis
pulang mereka semua kembali berlumba, seperti mana
tikus-tikus keluar semula dari lubang setelah kucing
tidur. Sampai bila ianya akan berakhir jika masalah
ini hanya diselesaikan dengan kaedah penguatkuasaan ?
Sampai bila juga ianya akan berakhir jika ianya hanya
setakat diberi kaunseling kepada pesalah-pesalah atau
hukuman berat dikenakan, sedangkan kader-kader baru
dibidang perlumbaan motosikal ini tumbuh seperti
cendawan ? Adakah pembinaan litar-litar perlumbaan
akan mengurangkan gejala perlumbaan motosikal ini ?

Oleh yang demikian kaedah dan pendekatan lain haruslah
difikirkan. Mengapa aktiviti perlumbaan motosikal ini
begitu diminati ? Salah satunya ialah ianya
membuktikan jalanraya-jalanraya di Malaysia ini begitu
baik sehingga ianya amat sesuai oleh pelumba motosikal
menggunakan tayar "sotong" yang kecil dan lampu-lampu
jalannya begitu terang sekali sehinggakan mereka tak
perlu menggunakan lampu motosikal semasa berlumba,
persis seperti aksi Luca Cadalora. Penggunaan "speed
breaker" (pemecah kelajuan) di atas jalanraya adalah
antara alternatif yang boleh difikirkan. Di Eropah
contohnya kadangkala agak pelik diperhatikan di
kotaraya besar jalan-jalannya masih diperbuat daripada
batu blok, menyebabkan jika kita menaiki kereta akan
terasa hentakannya, kalau menaiki motosikal lebihlah
lagi. Sekiranya banyak "speed breaker" di letak di
Litar Seri Pagi ini, mungkin anggota polis trafik
selepas ini boleh tidur lena kerana tiada seorang pun
pelumba professional yang sanggup berlumba di atas
jalanraya yang ada "speed breaker".

Walaupun Litar Seri Pagi ini tersohor dengan aktiviti
perlumbaan motosikalnya, akan tetapi diperhatikan di
sepanjang Jalan Senawang-Paroi ini tiada satu pun
papan tanda yang berkaitan dengan keselamatan
jalanraya terutamanya penunggang motosikal. Begitu
juga walaupun dilaporkan terdapat banyak kemalangan di
kawasan ini , sekali lagi tiada papan tanda yang
menunjukkan statistik bulanan berapa ramai remaja yang
meninggal dunia akibat berlumba, berapa ramai remaja
yang putus kaki akibat berlumba dan seterusnya. Yang
ada hanyalah papang tanda keselamatan jalanraya oleh
Kementerian Pengangkutan yang terpampang di kawasan
masjid yang bukannya tempat tumpuan para remaja yang
gemarkan aktiviti berlumba motosikal. 

Perasaan hormat dan kasih sayang haruslah diberikan
kepada para remaja yang berlumba motosikal ini. Sebab
itulah saya tidak menggunakan istilah "Lumba Haram"
dalam penulisan ini. Mereka mempunyai bakat, mereka
dalam keadaan ingin melepaskan perasaan dan tekanan
akibat masalah keluarga, masalah di tempat kerja dan
sebagainya. Perasaan faham memahami haruslah ada,
mereka harus faham masalah kita, kita harus faham
masalah mereka. Mereka juga tidak hendak menyusahkan
keluarga di kampung, mereka juga bukannya semata-mata
hendak membahayakan nyawa penunggang lain, sebab
itulah mereka berlumba ketika kebanyakkan daripada
kita sudah tidur. Cumanya kekadang bunyi ekzos mereka
membingitkan telinga mereka yang ingin tidur.

Oleh yang demikian pendekatan kejuruteraan dengan
mengadakan "speed breaker" dan kaedah-kaedah lain
haruslah diberi perhatian. Kerana kaedah
penguatkuasaan dan kaunseling hanya memberi kesan
dalam tempoh yang terhad.

Rozmal bin Malakan
Kg. Bongek, Rembau, NS



                
__________________________________ 
Do you Yahoo!? 
Yahoo! Mail - Easier than ever with enhanced search. Learn more.
http://info.mail.yahoo.com/mail_250


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Has someone you know been affected by illness or disease?
Network for Good is THE place to support health awareness efforts!
http://us.click.yahoo.com/UwRTUD/UOnJAA/i1hLAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke