Budaya Playboy kini mencalar imej Indonesia


Rakyat pasti kecewa dan menerima tamparan hebat jika majalah itu berjaya tembusi pasaran

TIGA artis terkenal Indonesia - Sarah Azhari, Rachel Maryam Sayidina dan Femmy Permatasari mungkin ditawar pemilik majalah Playboy edisi Indonesia untuk berbogel. Ayu Azhari, Alya Rohali, Sophia Lajtuba dan Nafa Urbach tidak ketinggalan menjadi sasaran Playboy edisi republik itu.

Bekas artis berani yang sudah bertaubat, Inneke Koesherawati mungkin dipujuk kembali ke kancah adegan bogel.

Malah, pelakon remaja terkenal filem `Apa Ada Dengan Cinta', Dian Sastrowordoyo diumpan untuk ikut jejak langkah aktres tersohor China yang sedang mencipta nama di Hollywood, Bai Ling berbogel untuk majalah Playboy. Bai Ling melakar kejutan apabila muncul artis Asia pertama China dalam era milenium berbogel untuk Playboy bagi edisi Jun 2005.

Mungkin itu senario yang bakal berlaku jika Kerajaan Indonesia tetap dengan pendiriannya membenarkan pemegang lesen Playboy edisi Indonesia, PT Velvet Silver Media menerbitkan keluaran pertama Mac ini.

Jika itu berlaku, Indonesia adalah negara kedua selepas Jepun yang menerbitkan Playboy edisi tempatan. Hong Kong pernah membenarkan penerbitan dan penjualan Playboy tetapi lesen itu sudah pun ditarik balik.

Namun, andainya Playboy edisi Indonesia tetap diterbitkan, mungkin tersiar cerita seperti Barisan [ Front ] Pembela Islam mengamuk di Jakarta. Atau lebih buruk, kumpulan remaja Islam menyerang dua orang kuat Playboy edisi Indonesia, Avianto Nugroho serta Ponti Carrolus.

Soalnya, kenapa pemerintah Indonesia tergamak meluluskan penerbitan majalah lucah Playboy sedangkan mereka adalah negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia? Ketika ini, 88 peratus daripada 235 juta penduduk Indonesia adalah beragama Islam. Penerbitan Playboy edisi Indonesia pasti satu tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono.

Walhal pada Julai 1999, polis Indonesia pernah bertindak tegas dengan menyoal siasat lima pengarang akhbar tabloid dan majalah kerana menyiarkan gambar artis dengan aksi mengghairahkan. Lima pengarang itu ialah Pengarah Majalah Popular, Mujimanto Asmotaruno, Koesnan Sukandar (Liberty), Nano Riantiaro (Matra), Drs Anggoro (Obyektif) dan Heru B Iskandar (Pop).

Namun awal bulan ini, secara tiba-tiba Avianto dengan gah mengeluarkan kenyataan akhbar betapa pihaknya akan menerbitkan Playboy edisi Indonesia. Bagaimanapun, Avianto memberi jaminan majalah itu tidak akan menyiarkan gambar berbogel seperti edisi Amerika Syarikat. Pengerusi Nahdatul Ulama (NU), Hasyim Muzadi adalah antara kumpulan ulama yang memberikan reaksi keras.

Menurut Hasyim, Indonesia bukannya negara Barat seperti Amerika dan Eropah. "Playboy sememangnya tiada tempat dalam norma sosial dan budaya kita. Indonesia bukan Eropah atau Amerika yang budaya dan reaksi mengenai isu bogel amat berbeza dengan kita. Pornografi tidak kira bagaimana ia cuba dibayangkan, hanya akan menjatuhkan moral remaja kita dan membawa bencana besar seperti peningkatan dalam kes rogol dan gangguan seksual. Ia juga umpama mengundang bencana. Jadi adalah lebih baik jika ia tidak diterbitkan."

Pendirian kumpulan ulama lain juga bernada tegas. Pengerusi Majelis Mujahidin Indonesia (MMI), Irfan Awas berkata: "Berbeza atau tidak, Playboy tetap Playboy. Ia adalah majalah lucah. Kata-kata mereka (penerbit Playboy edisi Indonesia) adalah pengucapan orang perniagaan. Majalah ini akan menghancurkan moral penduduk Islam Indonesia."

Majlis Ulama Indonesia (MUI) juga sudah meminta kerajaan mengharamkan penerbitan Playboy edisi Indonesia. "Kerajaan mesti mengharamkan sebarang penerbitan berbentuk lucah," kata Pengerusi MUI, Ma`ruf Amin. MUI menegaskan ia sudah pun mengeluarkan fatwa sebelum ini betapa penerbitan bahan lucah adalah haram di sisi Islam.

"Majalah lucah seperti Playboy tidak patut diterbit dan diedarkan di Indonesia kerana ramai penduduk negara ini beragama Islam. Jika di Amerika atau Eropah...biarkanlah kerana mereka mengamalkan ajaran sekular," kata Ma`ruf dengan nada tegas.

Sehingga kini, pemerintah Indonesia belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai masa depan majalah berkenaan. Apapun alasan Avianto dan Ponti, Indonesia sebenarnya sudah dua majalah iaitu FHM dan Maxim yang berperanan seperti Playboy. Isi kandungan FHM dan Maxim juga agak hangat sehingga ada kala mengundang kontroversi.

Begitupun, kerajaan pimpinan Susilo dilaporkan kian tertekan dengan kritikan terbuka pelbagai pihak yang jelas tidak dapat menerima hakikat Indonesia akan mempunyai Playboy edisi tempatan seperti beberapa negara sekular termasuk Brazil, Turki, Jepun, Sepanyol, Croatia dan Russia.

Agak aneh, pengedaran dan penjualan Playboy adalah diharamkan di sebahagian besar negara Asia seperti China, Korea Selatan, India, Myanmar, Malaysia, Thailand, Singapura, Taiwan dan Brunei.

Rakyat Indonesia pasti kecewa dan menerima tamparan hebat jika majalah itu berjaya menembusi pasaran kerana Playboy tidak dijual di negara jirannya, Australia. Pengharaman Playboy awalnya hanya meliputi negeri Queensland tetapi akhirnya pada 2000, Playboy tidak dibenarkan dijual di Australia. Penjualan Playboy di daerah di Amerika juga dikawal ketat. Biasanya Playboy hanya dijual di kedai arak. Malah, ada kedai buku di Amerika mengharamkan penjualan Playboy.

Soalnya, kenapa Kerajaan Indonesia pula bertindak lebih berani daripada Australia. Adakah mereka terpikat dengan keuntungan sehingga tergamak menjual harga diri! Jurucakap Playboy Amerika, Lauren Melone ketika membuat ulasan pertama rentetan kekecohan di Indonesia menegaskan republik adalah umpama `lombong emas' kerana memiliki pasaran yang sangat dinamik.

Tetapi, adakah penjualan Playboy edisi Indonesia akan memberikan keuntungan trilion atau bilion dolar kepada negara itu. Adakah Indonesia terlupa betapa negara itu sebenarnya sedang menghadapi krisis keruntuhan moral dan akhlak. Laporan terbaru dari seberang menyatakan VCD dan DVD lucah begitu mudah dijual di Indonesia.

Kini, Indonesia menerima ancaman terbaru iaitu pengedaran dan penjualan Playboy di pasaran terbuka. Ada pihak percaya Indonesia pasti membayar harga yang sangat mahal jika kes rogol meningkat di negara itu. Indonesia sebenarnya tidak memerlukan satu lagi masalah ciptaan sendiri sehingga membuatkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian kalau berlakunya tunjuk perasaan hampir saban hari di jalanan di Jakarta, Bandung, Surabaya, Jogjakarta, Balik Papan, Medan atau Ujung Pandang.

Sewajarnya, Indonesia mengambil pendekatan mudah dengan menarik balik lesen penerbitan dan penjualan Playboy. Apapun tindakan yang akan diambil oleh PT Velvet Silver Media, Indonesia lebih dirasakan `selamat' dengan berbuat demikian. Paling penting imej umat Islam di Indonesia lebih terpelihara.

Pada masa yang sama, Susilo tidak perlu pening kepala menangani kritikan demi kritikan, hentaman demi hentaman bakal dilontar pelbagai kumpulan agama di republik itu. Buat SBY, tepuk dada tanya. Kalau berani dilambung ombak, beliau sudah tentu bersedia membina rumah di tepi pantai!


Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau mampu.




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke