Layakkah kita bergelar umat Muhammad?                                     
            Alazhariah      
         Sat | Jul 07, 07 | 11:19:45 AM


                            Rasulullah s.a.w. adalah insan pilihan, utusan 
terakhir yang diutus untuk   menyampaikan risalah Ar-Rahman keseluruh alam. 
Baginda adalah contoh teladan yang   terbaik dan sememangnya menjadi ikutan 
dalam kehidupan muslim pada hari ini.   Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. 
dibuktikan dalam Al-Quran melalui firman-Nya   dalam surah al-Ahzab ayat 21 
yang bermaksud:  


--> 
 "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik 
  bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari 
Kiamat   dan yang banyak mengingati Allah."

 
 Berdasarkan dalil yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa keindahan   
akhlak Rasulullah s.a.w. telah diiktiraf oleh Allah SWT sehingga dirakamkan di  
 dalam kitab suci al-Quran untuk dijadikan teladan mahupun "role model" kepada  
 umat baginda dari dahulu hinggalah sekarang, kerana segala yang termaktub 
dalam   al-Quran itu adalah kekal dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman.

  
 Petikan kenyataan "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran" merupakan kata-kata yang 
  diungkapkan sendiri oleh Saidatina Aisyah r.a. sebagai penghargaan dan 
kekaguman   seorang isteri terhadap Rasul tercinta.

  
 Akhlak Rasulullah s.a.w., diumpamakan indah bagaikan Al-Quran, ini kerana 
baginda   adalah Rasul (utusan Allah) yang dipilih untuk menyampaikan amanat 
dari Tuhannya   dan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan risalah dakwah 
kepada seluruh alam,   sehinggalah ke hari ini. Kita dapat merasakan seruan 
dakwah baginda dengan nikmat   iman dan Islam yang menjadi tunjang akidah kita, 
dibuktikan lagi dengan turunnya   kitab suci al-Quran yang merupakan kalam 
Allah dan mukjizat yang paling berharga   dianugerahkan kepada baginda 
Rasulullah s.a.w., melalui perantaraan malaikat   Jibrail, juga merupakan 
sumber utama perundangan Islam, di mana di dalamnya   terkandung seluruh 
peraturan hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan   dan tetap 
menjadi rujukan seluruh umat manusia pada hari ini.

  
 Akhlak Rasulullah s.a.w. seiring dan sepadan seperti mana yang digariskan oleh 
  Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya, yang menjadi tatapan pada umat terdahulu 
dan   menjadi teladan kepada umat yang kemudian. Sesungguhnya, beruntunglah 
umat Nabi   Muhammad pada hari ini, sungguhpun tidak berada di zaman baginda, 
namun sunnah   dan sirah baginda tetap tersemat di hati, lantaran kecintaan 
terhadap Allah dan   Rasulnya serta beriman dan menyakini apa yang di bawa oleh 
baginda Rasulullah   s.a.w..

  
 akhlak terpuji 
 Rasulullah s.a.w.adalah qudwah hasanah yang tidak dapat ditandingi lantaran   
peribadinya yang terpuji dan dikagumi sendiri oleh kawan mahupun lawan. Manakan 
  tidak, Rasulullah tetap melemparkan senyuman tatkala dicaci, dihina dan   
dipersenda oleh musuh-musuh Islam sewaktu baginda menyampaikan risalah 
dakwahnya.   Malahan, baginda sentiasa merendah diri, berbicara dengan lemah 
lembut dan untuk   menarik mereka mendekati Islam.

 
 Peribadi Rasulullah s.a.w. sungguh anggun dan menawan, sungguhpun bergelar 
nabi,   namun baginda sedikit pun tidak menyombong dan tidak riya' dengan 
kedudukannya   yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Tidak seperti kebanyakan 
pemimpin pada hari   ini, yang angkuh dan bongkak dengan gelaran, pangkat dan 
jawatannya yang hanya   sementara sahaja. Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan 
seorang sahabat dan teman   yang setia, seorang suami yang mithali dan lembut 
hati, seorang bapa yang   penyayang dan penyabar, seorang pemimpin yang adil, 
bijaksana dan berkarisma juga   hamba yang wara' dan tawadhuk serta taat kepada 
Allah SWT.

 
 Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. sesuai dengan gelaran yang di bawa, iaitu 
al-  amin yang bermaksud yang dipercayai, dan tanggungjawab yang diamanahkan 
sebagai   pembawa risalah dan memberi petunjuk dan jalan dari perkara 
kemungkaran kepada   kema'rufan, perkara batil kepada yang haq, dan kejahilan 
kepada cahaya.

  
 Rasullah s.a.w. diutus pada zaman Jahiliyyah di mana umat manusia pada ketika 
itu   hidup dalam keadaan kemunduran, kejahilan, persengketaan, penindasan, 
porak-  peranda dan saling berbunuhan. Oleh yang demikian, turunlah ayat Allah 
dalam   Surah Ibrahim ayat 4 yang bermaksud: 
 "Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, 
agar   dia dapat memberi penjelasan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan 
kepada siapa   yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia 
kehendaki. Dia   Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."

 
 Justeru itu, perlantikan dan pemilihan baginda sebagai Rasul utusan Allah 
adalah   membawa tanggungjawab besar untuk memperbetulkan keadaan masyarakat 
pada ketika   itu, dan menunjukkan sinar kebenaran ke arah hidup yang diberkati 
Allah.

  
 Demikianlah, besarnya peranan baginda sebagai penghulu sekalian nabi, pemimpin 
  pejuang Islam, dan penyelamat sekalian ummat. Ini disebutkan oleh Allah SWT 
dalam   firman-Nya dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud:  
 "Dan tidaklah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi 
semesta   alam."

 
 Sungguhpun begitu, berat dan amat payah tanggungjawab baginda, Rasulullah 
tetap   bersabar dan istiqamah dalam perjuangannya menyampaikan risalah dakwah 
hingga ke   hembusan nafasnya yang terakhir. Inilah bukti kasih sayang baginda 
terhadap   umatnya. Meskipun berhadapan dengan saat ajal datang menjemput, 
baginda sentiasa   mengingati umatnya, dengan kata-kata terakhir yang keluar 
dari mulut baginda:   "Ummati, ummati, ummati..." (Umatku, umatku, umatku).

 
 Allahu akhbar... Maha suci Allah, begitu agung peribadimu, sungguh menawan 
tutur   bicaramu, terpaut hatiku menghayati sirah hidupmu. Engkaulah Rasul 
pilihan,   engkaulah pemimpin sanjungan, engkaulah suri teladan, engkaulah 
permata yang   sentiasa bergemerlapan, engkaulah sinar yang menerangi seluruh 
alam... engkaulah   pujaan setiap insan.

  
 Rasulullah diutus membawa cahaya, memberi sinar pengharapan, menunjuk jalan   
kepada kebenaran. Keperibadian baginda tidak dapat disangkal lagi, keluhuran   
baginda tidak dapat diragui, keikhlasan baginda tidak dapat ditandingi, 
pemergian   baginda tiada lagi pengganti.

  
 Wahai seluruh umat manusia, bangunlah dari lenamu, sedarlah dari 
angan-anganmu,   bukalah mindamu, asahlah bakat dan kemampuanmu, persiapkan 
dirimu untuk   meneruskan perjuangan dakwah baginda Rasulullah s.a.w..

  
 Jika dilihat situasi remaja pada hari ini, tiada langsung yang mencerminkan   
keperibadian yang luhur seperti mana yang ditunjukkan oleh contoh teladan,   
Rasulullah s.a.w..

  
 Andainya kita mengambil artis-artis sebagai ikutan dan role model dalam 
kehidupan   kita, dimanakah nilai iman kita sebagai umat yang mengaku Islam?

 
 Wahai para remaja yang dikasihi sekalian, duduklah seketika, berfikirlah 
sejenak,   patutkah kita mengambil artis sebagai ikutan, wajarkah kita 
meninggalkan   Rasulullah s.a.w.insan agung sebagai panduan dalam kehidupan 
kita? Sudah pasti   jawapannya tidak sama sekali. Tergamakkah kita 
mengagung-agungkan artis, memuja-  muja kekasih sebagai tanda sayang kita 
kepadanya? Sebaliknya melupakan selawat   dan salam buat junjungan besar 
Rasulullah s.a.w. sebagai bukti cinta agung   kepadanya? Persoalan ini perlu 
dijawab sendiri oleh umat yang mengaku hamba   kepada Allah yang Maha Esa dan 
umat yang inginkan syafaat baginda di padang   Mahsyar kelak.

 
 Perginya baginda meninggalkan umat, mewasiatkan dua perkara yang paling 
berharga   tiada tandingannya, iaitu kitab suci al-Quran dan Sunnah nabi 
s.a.w.. Barangsiapa   yang berpegang teguh kepada keduanya, maka ia tidak akan 
sesat selamanya, Insya'   Allah.

 
 Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita duduk sejenak merenung kejadian   
sendiri, menginsafi kekurangan diri, kembali ke pangkuan IIahi. Apakah kita   
benar-benar ingin menjadi ummat baginda? Apakah peranan dan tugas kita sebagai  
 umatnya? Layakkah kita bergelar umat baginda? Beranikah kita memohon syafaat   
baginda di akhirat kelak? Apakah yang telah dikorbankan untuk Islam? Apakah 
yang   telah kita sumbangkan untuk perjuangan dakwah baginda? Persoalan inilah 
yang   sepatutnya berlegar-legar di fikiran kita, seandainya mengaku bahawa 
kita adalah   ummat Rasulullah s.a.w. Duduklah sebentar, fikir-fikirkan, 
tepuklah dada,   tanyalah iman...

 
 Sungguhpun kita tidak dapat menjadi sesempurna nabi, tetapi... berazamlah 
untuk   memperbaiki akhlak dan peribadi... Sesungguhnya Allah sentiasa ada 
bersama kita,   dan Dia sentiasa menolong hamba-Nya yang suka kepada 
kebaikan.../tajdid        



Join me :
http://health.groups.yahoo.com/group/respeks/join



  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

       
---------------------------------
Building a website is a piece of cake. 
Yahoo! Small Business gives you all the tools to get online.

Kirim email ke