Tokoh : Ahmad Boestamam

     
   

 Rustam bersama Ahmad Boestaman pada tahun 1975

 
 Dari: suara-rustam.blogspot.com
 
 MESKIPUN saya anak lelaki tunggal Ahmad Boestamam (selain adik perempuan saya, 
Norliah), namun saya yakin bahawa saya bukanlah orang yang terbaik untuk 
menulis tentang beliau. Saya tidak mengenal beliau secara peribadi, kerana 
sepanjang hidup saya tidak pernah tinggal bersama beliau untuk jangka waktu 
yang lama untuk memungkinkan saya mengenal beliau dengan cukup mendalam.


 ‘Kerjaya’ politik dan kewartawanan beliau bermula sejak umur yang masih muda. 
Beliau ‘mengorbankan’ pendidikannya di Sekolah Anderson, Ipoh, untuk 
menceburkan dirinya dalam dua bidang tersebut. Ahmad Boestamam lahir (sebagai 
Abdullah Sani bin Raja Kechil) pada 30 November 1920, dan seawal tahun 1941 
beliau telah ditahan oleh pemerintah kolonial Inggeris kerana kegiatan 
politiknya – hanya dibebaskan oleh pemerintah Jepun pada tahun berikutnya.
 

 Pada tahun 1946 beliau mulai memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) – yakni 
gerakan pemuda (sayap Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)) beraliran 
nasionalis yang bersifat ‘kiri’ dan radikal – dan menerbitkan Testamen Politik 
Api yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah.’ Kerana karya tersebut, 
beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut pada tahun berikutnya, dan 
beliau dikenakan denda $1,200.00.

 
 Penahanan beliau yang lama pertama kali terjadi pada tahun 1948, ketika saya 
berumur kira-kira empat tahun. Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai ingatan 
yang jelas tentang peristiwa tersebut mahupun tentang diri beliau sebagai bapa. 
Meskipun keluarga kami dibolehkan melawati beliau sekali sebulan namun, kerana 
kemiskinan, lawatan itu hanya mampu dilakukan sekali dua sahaja setahun. 
Tambahan pula, tempat tahanannya senantiasa berubah-ubah dari satu tempat ke 
satu tempat yang agak jauh dari Tanjung Malim, kampung kami.
 

 Satu peristiwa yang entah kerana apa hingga kini tidak pernah dapat saya 
lupakan terjadi di Kem Majidee, Johor Bahru, sewaktu saya berumur kira-kira 
enam atau tujuh tahun. Dalam pertemuan itu, ayah saya yang berdiri di belakang 
pagar besi menudingkan jarinya ke arah saya lalu bertanya kepada 
anggota-anggota keluarga yang lain: “Yang ini, anak siapa?”

 
 Demikianlah, pengetahuan saya tentang Ahmad Boestamam tidak mungkin merupakan 
pengetahuan intim seorang anak tentang keperibadian ayahnya. Sebahagian besar 
pengetahuan saya – malah kekaguman saya juga – tentang beliau sekadar merupakan 
hasil kajian dan renungan saya sebagai seorang pelajar ilmu politik dan sejarah 
politik Malaysia moden, khususnya nasionalisme dan gerakan politik radikal 
Melayu.

 
 Dalam hubungan ni, saya amat setuju dengan pandangan Professor Khoo Khay Kim 
dalam catatan belasungkawanya sewaktu kembalinya Ahmad Boestamam ke rahmatullah 
taala (Mingguan Malaysia: 23 Januari 1983). Berkata Khoo: “Kini beliau telah 
pergi. Satu era dalam politik Malaysia telah tamat. Ramai berjuang dalam 
[tahun] empat puluhan dan lima puluhan namun tiada antara tokoh-tokoh zaman itu 
yang lebih berjaya melambangkan gaya dan corak perjuangan golongan radikal 
Melayu.”

 
 Apakah ‘gaya dan corak’ pejuangan golongan tersebut yang terpancar pada 
kehidupan Ahmad Boestamam? Pada hemat saya, gaya dan corak itu tidaklah terlalu 
berbeza daripada gaya dan corak perjuangan para pemimpin dan gerakan-gerakan 
nasionalis lainnya yang banyak muncul di seluruh rantau Asia dan Afrika pada 
tahun-tahun empat puluhan dan lima puluhan itu – gerakan-gerakan yang telah 
mengakhiri pemerintahan kolonial dan melahirkan sebilangan negara-negara bebas 
di rantau ini yang kita kenal hingga ke hari ini.
 

 Kebanyakan gerakan tersebut merupakan gerakan anti-kolonial dalam ertikata 
yang visionary (berwawasan). Penolakan mereka terhadap kuasa penjajahan itu 
tidaklah didorong oleh rasa benci yang bersifat perkauman, tetapi didorong oleh 
fahaman tentang keadilan, demokrasi dan kesamarataan yang amat kuat.

 
 Pada hemat saya, jika Ahmad Boestamam menerapkan gaya yang demikian dalam 
perjuangannya, maka hakikat itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh gaya 
perjuangan yang biasa di kalangan teman-temanya di negara ini sendiri, seperti 
Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Haji Mohamad dan lain-lain.

 
 Para pemimpin nasionalis rakyat seperti Ahmad Boestamam biasanya melihat usaha 
mencapai cita-cita fahaman nasionalisme – yakni cita-cita membentuk sebuah 
nation (negara-bangsa) bagi kelompok rakyat yang diwakilinya – sebagai suatu 
cabaran kecendekiawanan untuk mencari dan merumuskan kembali gagasan jati diri 
bangsa itu dari hakikat sejarahnya, bukannya sekadar suatu usaha mudah untuk 
meneruskan ‘pentadbiran kolonial’ wilayahnya oleh anak negeri.
 

 Dalam hubungan inilah saya berpendapat bahawa beberapa gagasan yang telah 
mereka ajukan – misalnya konsep ‘Melayu Raya’ – perlu kita kaji dan kita fahami 
dalam pengertian ideologi nasionalisme yang lebih mendalam dan tidak sekadar 
menanggapnya sebagai kesan ‘pengaruh Indonesia’ seperti yang sering dikemukakan 
oleh beberapa ahli sejarah yang amat dangkal perspektifnya.

 
 Kedudukan rasmi tertinggi yang pernah dicapai oleh Ahmad Boestamam ialah 
sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Setapak (di Kuala Lumpur) (1959) – tempoh 
jawatan yang tidak sempat diselesaikannya kerana pada tahun 1963 beliau sekali 
lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama empat tahun 
berikutnya.

 
 Ahmad Boestamam menghembuskan nafasnya terakhir pada 19 Januari 1983.

 
  Rencana ini dipetik dengan izin saudara Rustam A Sani (terima kasih)

www.klpos.com  Apa Siapa Mengapa

JOIN : http://health.groups.yahoo.com/group/ReSpeKs/join




  cnw2u
  Weblog : http://cnw2u.blogspot.com
  http://health.groups.yahoo.com/group/respeks

 
---------------------------------
Expecting? Get great news right away with email Auto-Check.
Try the Yahoo! Mail Beta.

Kirim email ke