KENYATAAN MEDIA Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Jumaat 1 Disember 2006
Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah selesai melaksanakan Perhimpunan Perwakilan Nasional ke-16 (PPN) pada 25 dan 26 November 2006 di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur. Tema PPN tersebut ialah "Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah". Serentak dengan perhimpunan berkenaan, sebuah "Karnival JIM Bersama Masyarakat" telah diadakan. Perwakilan seramai hampir 350 orang telah meluluskan empat usul. Salah satu usul yang diluluskan ialah Usul yang dibawa oleh Jawatankuasa Pusat JIM yang bertajuk Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah. Berikut ialah usul tersebut: Perhimpunan Perwakilan Nasional yang bersidang pada 25 dan 26 November 2006 Menyedari bahawa Islam adalah Addeen yang syumul yang harus dipandang tinggi dan mulia, yang mengajak manusia kepada kebaikan, kesejahteraan dan keamanan Menginsafi bahawa Islam adalah agama pilihan Allah berdasarkan firmanNya dalam Surah Al-Imran ayat 19 - "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah hanyalah Islam." dan bahawa Islam itu ajaran komprehensif dan indah, anugerah Allah yang diturunkan untuk hamba-hambaNya selari dengan firmanNya dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 - ".Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu." Meyakini bahawa Islam sebagai sistem hidup yang terbaik bagi manusia memberikan jalan penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi oleh umat, masyarakat dan negara Menyedari bahawa keadaan sosio-ekonomi negara berada pada tahap yang semakin buruk apabila gejala sosial dan keruntuhan akhlak terus berlaku, hiburan melampau menjadi-jadi dengan artis disensasikan, rasuah tetap berleluasa tanpa kelihatan penghujungnya, kekuasaan menjamin kemewahan dan kepimpinan bukan amanah tapi dianggap keistimewaan Menyedari bahawa walaupun Malaysia kini di bawah kepimpinan orang Islam yang boleh melaksanakan perubahan dasar dan polisi tetapi masih tidak bersungguh untuk melaksanakan syariah Maka Perhimpunan Perwakilan Nasional yang bersidang di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur, pada 4 dan 5 Zulkaedah 1427 H bersamaan 25 dan 26 November 2006 dengan ini mengambil ketetapan untuk: 1. Menggesa pihak kerajaan membuka lebih banyak ruang untuk pengembangan Islam dalam aspek pendidikan, ekonomi, sosial, sahsiah, kekeluargaan dan politik 2. Mendesak pihak kerajaan untuk menutup pintu-pintu elemen yang tidak mencerminkan imej dan dasar Islam di samping melaksanakan agenda tindakan yang jelas. Antara elemen negatif ini ialah seperti hiburan melampau, rasuah, pencabulan hak asasi manusia, salahguna kuasa dan kelab-kelab maksiat dan perjudian. 3. Menggesa pihak kerajaan untuk membuat penegasan dalam isu-isu menyentuh sensitiviti agama Islam dan mengambil tindakan yang nyata. Janganlah sehingga orang ramai melihat yang mungkar itu baik dan yang baik itu mungkar. 4. Menyeru pihak kerajaan untuk memberi ruang yang lebih luas dalam media massa kepada pandangan-pandangan Islam 5. Menggesa pihak kerajaan untuk memartabatkan dan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan memperluaskan bidang kuasa dan penguatkuasaannya serta juga memartabatkan semula seluruh institusi keagamaan Islam (badan-badan dakwah & NGO, masjid dan surau) supaya peranan dan fungsi institusi berkenaan dapat dimanifestasikan dengan berkesan 6. Menggembleng masyarakat untuk turut menuntut kerajaan untuk bersungguh-sungguh melaksanakan Islam 7. Mengajak Badan-badan Islam untuk berganding bahu dalam mencapai amalan Islami yang digariskan oleh syariah dengan turut menerangkan dan memberi kefahaman tentang Islam, membetulkan salah tafsir serta menangkis dakyah dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 8. Menganjurkan pemimpin-pemimpin Islam dari kalangan institusi agama, agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada punca sesuatu masalah itu daripada semata-mata mendesak untuk sesuatu tindakan dan hukuman dikenakan seperti dalam persoalan mengenai murtad 9. Menggesa pimpinan dan penggerak JIM di semua peringkat untuk melaksanakan perancangan strategik JIM bagi merealisasikan wawasan Membangun Sebuah Negara Malaysia yang Melaksanakan Sepenuhnya Syariat Islam dengan membawa pemahaman yang benar mengenai agama Islam 10. Meneguhkan azam, tekad dan ikrar pimpinan, penggerak dan ahli-ahli JIM dalam usahanya untuk bersedia berjuang, berkongsi, bermuafakat dan bertindak tanpa kepentingan peribadi, tanpa persengketaan dan bersikap positif ke arah menjayakan wawasan dan misi JIM Wassalam Hj Nahar Md. Nor Setiausaha Agung JIM Moderator Ikhwanul Muslimun http://hidayahnet.multiply.com [Non-text portions of this message have been removed]