KENYATAAN MEDIA 
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Jumaat 1 Disember 2006

Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah selesai
melaksanakan Perhimpunan Perwakilan Nasional ke-16
(PPN) pada 25 dan 26 November 2006 di Kompleks Darul
Puteri, Cheras, Kuala Lumpur. Tema PPN tersebut ialah
"Menggembleng Ummah Memperjuangkan Syariah". Serentak
dengan perhimpunan berkenaan, sebuah "Karnival JIM
Bersama Masyarakat" telah diadakan.

Perwakilan seramai hampir 350 orang telah meluluskan
empat usul.

Salah satu usul yang diluluskan ialah Usul yang dibawa
oleh Jawatankuasa Pusat JIM yang bertajuk Menggembleng
Ummah Memperjuangkan Syariah.

Berikut ialah usul tersebut:

Perhimpunan Perwakilan Nasional yang bersidang pada 25
dan 26 November 2006 

Menyedari bahawa Islam adalah Addeen yang syumul yang
harus dipandang tinggi dan mulia, yang mengajak
manusia kepada kebaikan, kesejahteraan dan keamanan

Menginsafi bahawa Islam adalah agama pilihan Allah
berdasarkan firmanNya dalam Surah Al-Imran ayat 19 -
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi
Allah hanyalah Islam." dan bahawa Islam itu ajaran
komprehensif dan indah, anugerah Allah yang diturunkan
untuk hamba-hambaNya selari dengan firmanNya dalam
Surah Al-Maaidah ayat 3 - ".Pada hari ini, Aku telah
sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah
cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah reda Islam
itu menjadi agama untuk kamu."

Meyakini bahawa Islam sebagai sistem hidup yang
terbaik bagi manusia memberikan jalan penyelesaian
kepada kemelut yang dihadapi oleh umat, masyarakat dan
negara

Menyedari bahawa keadaan sosio-ekonomi negara berada
pada tahap yang semakin buruk apabila gejala sosial
dan keruntuhan akhlak terus berlaku, hiburan melampau
menjadi-jadi dengan artis disensasikan, rasuah tetap
berleluasa tanpa kelihatan penghujungnya, kekuasaan
menjamin kemewahan dan kepimpinan bukan amanah tapi
dianggap keistimewaan

Menyedari bahawa walaupun Malaysia kini di bawah
kepimpinan orang Islam yang boleh melaksanakan
perubahan dasar dan polisi tetapi masih tidak
bersungguh untuk melaksanakan syariah

Maka Perhimpunan Perwakilan Nasional yang bersidang di
Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur, pada 4
dan 5 Zulkaedah 1427 H bersamaan 25 dan 26 November
2006 dengan ini mengambil ketetapan untuk:

1. Menggesa pihak kerajaan membuka lebih banyak ruang
untuk pengembangan Islam dalam aspek pendidikan,
ekonomi, sosial, sahsiah, kekeluargaan dan politik

2. Mendesak pihak kerajaan untuk menutup pintu-pintu
elemen yang tidak mencerminkan imej dan dasar Islam di
samping melaksanakan agenda tindakan yang jelas.
Antara elemen negatif ini ialah seperti hiburan
melampau, rasuah, pencabulan hak asasi manusia,
salahguna kuasa dan kelab-kelab maksiat dan perjudian.

3. Menggesa pihak kerajaan untuk membuat penegasan
dalam isu-isu menyentuh sensitiviti agama Islam dan
mengambil tindakan yang nyata. Janganlah sehingga
orang ramai melihat yang mungkar itu baik dan yang
baik itu mungkar. 

4. Menyeru pihak kerajaan untuk memberi ruang yang
lebih luas dalam media massa kepada
pandangan-pandangan Islam

5. Menggesa pihak kerajaan untuk memartabatkan dan
memperkasakan Mahkamah Syariah dengan memperluaskan
bidang kuasa dan penguatkuasaannya serta juga
memartabatkan semula seluruh institusi keagamaan Islam
(badan-badan dakwah & NGO, masjid dan surau) supaya
peranan dan fungsi institusi berkenaan dapat
dimanifestasikan dengan berkesan

6. Menggembleng masyarakat untuk turut menuntut
kerajaan untuk bersungguh-sungguh melaksanakan Islam

7. Mengajak Badan-badan Islam untuk berganding bahu
dalam mencapai amalan Islami yang digariskan oleh
syariah dengan turut menerangkan dan memberi kefahaman
tentang Islam, membetulkan salah tafsir serta
menangkis dakyah dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh
mereka yang tidak bertanggungjawab. 

8. Menganjurkan pemimpin-pemimpin Islam dari kalangan
institusi agama, agensi kerajaan dan bukan kerajaan
untuk menumpukan perhatian kepada punca sesuatu
masalah itu daripada semata-mata mendesak untuk
sesuatu tindakan dan hukuman dikenakan seperti dalam
persoalan mengenai murtad

9. Menggesa pimpinan dan penggerak JIM di semua
peringkat untuk melaksanakan perancangan strategik JIM
bagi merealisasikan wawasan Membangun Sebuah Negara
Malaysia yang Melaksanakan Sepenuhnya Syariat Islam
dengan membawa pemahaman yang benar mengenai agama
Islam

10. Meneguhkan azam, tekad dan ikrar pimpinan,
penggerak dan ahli-ahli JIM dalam usahanya untuk
bersedia berjuang, berkongsi, bermuafakat dan
bertindak tanpa kepentingan peribadi, tanpa
persengketaan dan bersikap positif ke arah menjayakan
wawasan dan misi JIM

Wassalam
Hj Nahar Md. Nor
Setiausaha Agung JIM

Moderator
Ikhwanul Muslimun
http://hidayahnet.multiply.com


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke