Kepulangan Puan Salamah ke Rahmatullah � Takziah Pak Said Sekeluarga


Saya dan beberapa orang pelajar wartawan dari Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan ucapan takziah atas pemergian puan Salamah, isteri kepada tokoh wartawan akhbar Melayu (Utusan Melayu), Said Zahari (Pak Said) pada 29 Disember lalu akibat organ hatinya yang gagal berfungsi dengan baik.

Sebagai isteri seorang wartawan, puan Salamah telah mempamer kesabaran yang harus dipuji dan dicontohi oleh kaum wanita yang bersuamikan seorang pejuang. Ketika Pak Said ditahan selama 17 tahun di Singapura dan Pulau Ubin, puan Salamahlah yang mengambil alih peranan Pak Said sebagai ketua keluarga. Beliau telah meyakini bahawa tahanan politik seperti Pak Said itu, pada hakikatnya tidak pernah bersalah.

Cuma keadaan yang menghukum tanpa sebarang bukti jelas. Tahanan politik yang kesnya dirakamkan dalam al-Qur'an ialah Nabi Yusuf yang terpenjara ekoran fitnah oleh isteri pembesar politik. Oleh itu, tahanan politik dalam Islam bolehlah ditakrifkan sebagai mana-mana individu yang difitnah oleh ahli politik dan / atau difitnah oleh individu yang ada kaitannya secara langsung dan tidak langsung dengan ahli politik.

Sesungguhnya, penjara pun tidak mampu memadamkan kasih sayang Pak Said ke atas puan Salamah sekeluarga seperti yang terakam dalam memoir, Meniti Lautan Gelora (MLG) terbitan Penerbit UKM semasa beliau menjadi Karyawan Tamu (1996-1999) di Jabatan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

�Kekejaman dan dasar tidak berperikemanusiaan penjajah British dan tali-tali barut politiknya di Singapura pada masa itu tercermin pada hidup sengsara keluargaku yang tidak berdosa. Isteriku Salamah terpaksa menyara, memelihara dan membesarkan empat orang anak kecil kami, bersendirian, berhempas pulas mengharung penderitaan dan keperitan hidup selama lebih 16 tahun. Anak-anak tanpa bapa dan isteri tanpa suami, selama lebih 16 tahun, mengalami hidup yang penuh cabaran dan dugaan. Betapa kejamnya!� (hlm. 251).

Kita tertanya-tanya adakah keluarga tahanan politik mendapat pampasan ataupun bantuan untuk mengurangi emosi dan tekanan perasaan mereka? Agensi kerajaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mungkin dapat memainkan peranan sewajarnya dalam hal ini. Pak Said yakin bahawa derita puan Salamah sekeluarga dikongsi bersama keluarga-keluarga yang senasib dengan mereka. Tapi, adakah mereka menubuhkan kesatuan yang membela nasib suami-suami mereka? Hal itu tidak dijelaskan oleh Pak Said sendiri.

Katanya: �Namun, Salamah tidaklah keseorangan. Beratus dan beribu lagi orang sepertinya di tanahair, malah ada ratusan ribu orang lagi di seluruh dunia yang senasib dengannya, juga merenangi lautan hidup yang sama, penuh cabaran dan penuh penderitaan, demi kebebasan, kebenaran dan keadilan�. (hlm. 251).

Pada hakikatnya, Pak Said tidak bersalah sebenarnya ke atas puan Salamah serta anak-anak. Namun, beliau tetap menghukumkan hal itu sebagai kesalahannya sendiri lalu beliau menukilkan sebuah memoir untuk memadamkan rekod-rekod �jenayah besarnya� terhadap keluarga. Dalam �Pendahuluan�, beliau menukilkan sebagai berikut:-

�Saya juga menulis buku ini kerana didesak oleh bisikan hati kecil yang sewaktu-waktu membuat saya berasa bersalah besar terhadap isteri dan anak-anak saya yang masih kecil semasa saya tertangkap. Isteri tersayang Salamah baru berusia 27 tahun, dan anak-anak berumur antara satu dan enam tahun. Perkahwinan kami berusia tujuh tahun ketika masuk penjara dan umur saya 34 tahun,� (hlm. xxxi).

Kami percaya bahawa perjuangan hidup Pak Said dan puan Salamah sekeluarga bukan sahaja terhenti lalu dibukukan dalam rakaman penulisan biografi bahkan plot-plot kehidupan mereka sekeluarga sepatutnya diabadikan dalam sebuah filem biografi sebagai kenang-kenangan sejarah yang bakal membentuk garis-garis masa depan sejarah negara.

Pak Said menulis lagi: �Pengorbanan dan penderitaan hidup isteri dan anak-anak, di luar penjara, seribu kali lebih besar daripada pengorbanan dan penderitaan hidup saya sendiri di dalam penjara. Bukan sahaja anak-anak saya yang kecil-kecil itu, tetapi isteri saya sendiri pun tidak dapat memahami apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas mereka, terutamanya ke atas diri saya, suaminya sendiri�. (Pendahuluan, hlm. xxxi).

Benarlah, Pak Said telah membuat pilihan yang tepat ketika melabuhkan bahtera cintanya bersama puan Salamah sehingga ke akhir hayat. Dalam memoir MLG, Pak Said merakam kisahnya bertahan agar puan Salamah menjadi pasangannya walaupun menjadi adat sanak saudaranya untuk menurut sahaja apa kehendak orang tua ketika itu dalam hal perjodohan. Beliau memecah tradisi keluarga sendiri demi memperjuang hak cinta.

Pak Said disanjungi kawan dan lawan. Dituduh komunis dan lain-lain pertuduhan, hal itu tidak dapat mematah semangat juangnya. Usman Awang misalnya, merakam sajak khusus untuknya. Bekas pengarang Utusan Melayu, Zainuddin Maidin telah memberikan komentar dalam The Straits Times, Singapura (13 Januari 2001) sebagai berikut:-

�Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Pak Said, kita tidak dapat menafikan bahawa Pak Said adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Sama ada mereka berhaluan kiri atau kanan orang seperti Pak Said menjadikan Utusan itu hebat�.

 

Suaramu dari penjara Singapura:

Mereka akan berkembang,

Menghancurkan manusia biadab,

Dan rakyat nanti,

Tiada takut lagi, Salut untuk Said Zahari,

Salut untuk mereka yang berani!

(Usman Awang, Salut Untuk Said Zahari, 1973)


Engkau wartawan kutip berita antara manusia,

Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka!

Engkau diam mengikat tangan di bawah meja,

Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka!

(Usman Awang, Zaman Ini, 1958)

 

Berbanggalah puan Salamah. Dalam dunia ini, boleh dikira suami yang mampu beraksi memuji isterinya secara terbuka. Apatah lagi merakam penghargaan sedemikian rupa dalam penulisan hingga boleh dibaca secara umum. Pasti pemergiannya itu diiringi keredhaan suami tercinta.

Atas keredhaan itu, beliau akan mencapai ketinggian di akhirat. Insya Allah. Kami cuma tunas baru yang menyanjungi Pak Said sekeluarga dari kejauhan ini mendoakan kesejahteraan rohnya dengan simbahan air mata perjuangan.

Demikianlah. Air ciptaan Tuhan ada di mana-mana. Di lautan, air itu mengumpul kekuatan lalu meledakkan tsunami yang menggegarkan jutaan perasaan umat manusia di kala ini. Tapi, ukurannya manakan sama dengan bah kesedaran, ombak perasaan, lelehan dan linangan air mata para pejuang yang menuntut kemerdekaan jiwa di kala ini, dahulu dan buat selama-lama...


Wartawan-Wartawan,
Berita Kampus,

USM, Pulau Pinang.

 

http://ibnuamir.multiply.com  / http://ibnuamir.fotopages.com / http://www.idealis-mahasiswa.net



GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan amanah pelajar Malaysia yang menjalankan penulisan berterusan untuk memasarkan idea pembangunan bagi usaha pembaharuan sosial. Untuk agenda ini, GARAP memerlukan sokongan moral & modal.Sumbangan dana boleh disalurkan ke Bank Islam; 2-011-02-029707-5

 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke