MARAH DALAM PANDANGAN ISLAM DAN MELAYU

 

http://garapmaju.tripod.com/marah.wmv

http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/23

http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/24

 

Sejak akhir-akhir ini kemarahan orang Melayu itu membuak-buak, bergelombang wataknya, bergelembung rupanya,berbusa-busa dan membuih-buih menantikan pecah. Di televisyen, memang jelas ketara dipaparkan. Paling penting, kemarahan itu berpunca dan bersebab. Betul juga, siapa yang tidak marah kalau hak rumah yang ingin duduki itu tidak siap hampir lapan tahun. Mereka bayar kepada bank, tapi pemaju tidak bergerak-gerak.

 

            “Ada juga pemilik rumah ini sampai dah meninggal pun,” kata salah seorang dari mereka kepada TV3 baru-baru ini. Dalam kejadian lain, ada kes di mana suara mereka itu dilontarkan kepada pemimpin Umno di bahagian atau cawangan tertentu,tapi seperti yang dinyatakan kepada Buletin Utama, segala surat itu didiamkan kerana golongan pimpinan tersebut hanya ingin menjaga kepentingan mereka sahaja.

 

            Dalam pada itu, di dalam ‘muktamar’ sebuah partai Melayu, setiausaha agungnya berkata, “Kurangkan jenaka dan gurauan, lebihkan serius”. Boleh jadi juga maksudnya, budaya lawak jenaka kosong perlu diganti dengan keseriusan dalam usaha memperbaiki taraf sosio-ekonomi bangsa Melayu. Itu tanggapan awal kita.

 

            “Kita perlukan sedikit jenaka dan gurau senda,” kata seorang ahli Dewan Rakyat dari Kedah. “Jika tidak, ini akan menyinggung perasaan pimpinan tertinggi”. Jika begitu maksud melawak, maka boleh diterima juga. Kerana, tidak ramai orang yang cukup kuat untuk ‘mendengar’. Banyaklah orang boleh ‘bercakap’. Tapi, untuk mempunyai kekuatan ‘mendengar’, kita mesti memiliki stamina rohani yang tinggi.

 

            Mendengar rintihan dan kritikan pedas, marah-marah dan amukan orang bawahan memerlukan kekuatan jiwa, mental dan spiritual yang betul-betul bertenaga. Jika gurauan dan sindiran boleh memadamkan api kemarahan pihak atasan,maka gunakanlah ia dengan sewajarnya. Format mengawal api perselingkuhan ala Usman Awang, ‘berkelahi secara Melayu, menikam dengan pantun” mungkin sesuai juga dalam konteks ini.

 

            Namun, fakta sejarah tidak pernah menipu. Ada juga ‘perang dingin’ antara pihak atasan yang beralaskan lawak jenaka, sindiran dan pantun-pantun.“Akar nibong meresap, akar mati dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar di hati siapa yang tahu”. Selang beberapa lama selepas muktamar, natijahnya si pemantun pun berkelanalah dalam kurungan di hujung sungai bambu selama enam tahun dalam buangan.

 

            Menyentuh kemarahan penguasa politik,dari segi amalan teori politik, ideal-realiti jauh berbeza. Idealnya, berjuang untuk rakyat,realitinya pula memikirkan keuntungan. Di dalam filem Tiga Abdul, Abdul Wahib dan kekandanya Abdul Wahab juga menggunakan idea diktator, demokrasi dan demokrasi terpimpin untuk membahagi harta secara zalim.

 

            Akan tapi, P. Ramlee juga menegur penguasa yang merampas hak orang bawahan iaitu mereka jangan marah. Akibatnya, nanti mereka akan dijual sebagai hamba dan harta akan dirampas. Tapi, kenapa pemimpin tidak boleh marah dan mustadhafin boleh marah?

 

Sabda Nabi, “Orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan marah.” Orang yang marah, jiwanya ditakluk Iblis. Kehambaan kepada Allah beralih kepada Iblis. Sebab itu, lebih binasalah jika pemimpin marah berbanding rakyat bawahan.

 

Pemimpin yang marah, rakyatnya binasa, negaranya tergadai seperti diperkatakan orang, “Menang sorak, kampung tergadai”. Adapun sekalian hamba rakyat, kalau mereka marah sekalipun maka marahnya itu kerana mereka mahu menuntutnya haknya. Tidaklah lebih dari itu. Ringkasnya, jika tidak mampu menahan marah, jangan memasang anganan untuk memimpin. Dunia sudah lama kiamat jika Tuhan tidak bersabar dengan dosa kita.

 

            Syahadan, di dalam Sulalatus Salatin, Tun Seri Lanang pernah merakamkan kisah seorang pembesar Melayu yang marah-marah kepada rajanya kerana tuannya itu berzina, atau bermukah dengan isterinya. Lalu, dimarahilah raja itu dengan ancaman tombak.

 

            “Jika tidak difikirkan anak Melayu itu pantang derhaka, nescaya kutinju raja ini dengan tombakku di dadanya,” marah pembesar itu di depan sang raja. Dan raja itu pun tidak berkata apa-apa lagi melainkan: “Janganlah di apa-apakan kepadanya kerana dia memang berhak marah. Jika dia tidak mengingatkan hamba Melayu pantang derhaka, nescaya bercerailah jiwa dari ragaku ini.”

 

            Itulah sebahagian rakaman dialog yang diubah suai bagi memudahkan kefahaman. Ternyata, format perselingkuhan konflik antara rakyat dan raja lebih membara sifatnya. Maknanya, haruslah orang-orang Melayu melontarkan kemarahannya kerana memang hal itu dibenarkan. Hak mereka telah dirampas secara tersirat dan boleh jadi juga secara tidak bertanggungjawab. Kiaskanlah juga dengan mustakbirin kini yang mengambil zaujah-zaujah rakyat bawahan Melayu sebagai ‘ladang’ mereka sendiri. Yang demikian itulah sebesar-besar jenayah mustakbirin ke atas mustadhafin.

 

            Bukan saja tanah menjadi hak kepada khalayaknya, bahkan sastera al-Qur’an juga mendefinisikan para isteri itu sebagai tanah untuk berladang secara tersirat. Sebab itulah, maruah wanita-wanita bergelar isteri itu wajarlah dipertahankan. Dan sebab itu juga, Tun Perak meletakkan para isteri pejuang Melayu di Melaka demi menaikkan semangat juang mereka untuk mematahkan ancaman Siam.

 

            Mengapa ‘merampas’ zaujah ini dilaknat Tuhan? Nabi Daud a.s telah meletakkan posisi seorang lelaki yang mempunyai isteri cantik di barisan depan dalam perang dengan sengaja. Apabila si suami mati, baginda menikahi wanita itu dan Allah menghantar dua malaikat untuk menegur tindakannya yang tercela itu. Dalam peradaban Eropah dahulu, setiap pengantin wanita akan dipaksa menempuh pengalaman malam pertamanya dengan raja-raja terlebih dahulu. Sedangkan, isteri adalah hak suaminya.

 

            Semua ini; zaujah, rumah, kediaman dan tanah adalah antara hak pemilikan orang ramai. Di mana, jika ada mustakbirin yang melalaikan urusan ini dan dengan sengaja pula melengah-lengahkannya, atau mengambil hak mereka, maka berhaklah mustadh’afin itu pun bangkit dan marah menuntut segala hak yang tercerai dari tangan mereka.

 

Saidina Abu Bakar r.a tatkala diangkat menjadi Khalifah, pernah berkata di dalam ucapan sulungnya, “Yang terkuat dalam kalangan kamu akan menjadi yang paling lemah dan yang lemah akan menjadi kuat dan aku akan memberikan hak kepada mereka yang benar-benar berhak”. Adakah kita boleh berdebat mengenai hak tanpa kemarahan?

 

Tapi, apakah debat dapat dilangsungkan secara harmoni jika debat intelektual pun dirasai bahang azabnya? Apa tidaknya, jika mahaguru di universiti berpantun sudah mahu diputarkan akta sebagai ancaman dan mahasiswa menulis pun diraikan dengan ugutan.

 

Ibnuamir al-Pendangi,

Tunjungan School of Thought.



GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan amanah pelajar Malaysia yang menjalankan penulisan berterusan untuk memasarkan idea pembangunan bagi usaha pembaharuan sosial. Untuk agenda ini, GARAP memerlukan sokongan moral & modal.Sumbangan dana boleh disalurkan ke Bank Islam; 2-011-02-029707-5

 


Yahoo! Sports
Rekindle the Rivalries. Sign up for Fantasy Football

------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke