Romita Hasibuan dakwa diugut pegawai Imigresen
Muda Mohd Noor

Suhakam akan mendapatkan penjelasan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengapa pegawai Jabatan Imigresen mengugut untuk menangkap dan menghantar pulang wanita Indonesia yang mahu tahu mengapa suaminya dihantar pulang dan tidak dibenarkan masuk lagi ke negara ini.

Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Hamdan Adnan berkata, beliau akan menemui Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Aseh Che Mat untuk mendapatkan penjelasan mengapa perkara tersebut boleh berlaku.

“Jika kes tersebut tidak boleh diselesaikan, saya akan menemui Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid untuk mengetahui kedudukan sebenarnya,” katanya.

Sebelum itu beliau menerima memorandum dari Romita Hasibuan mengenai tindakan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen tidak melayan surat rayuannya untuk membenarkan suaminya, Abdul Mutalib Taib kembali semula ke Malaysia.

Katanya, Abdul Mutalib ditangkap oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika membuat kad pengenalan anaknya di Putrajaya pada 23 Mac lalu dan seterusnya dihantar pulang ke Indonesia pada 22 April lalu.

Bagaimanapun, sebelum itu beliau telah ditahan di Depot Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama sebulan dan taraf penduduk tetapnya ditarik balik.

Romita menulis lima surat rayuan kepada Azmi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mohd Jamal Kamdi untuk mendapatkan penjelasan mengapa Abdul Mutalib ditangkap tetapi tidak dilayan.

Alasan tidak munasabah

Jabatan Imigresen menghantar surat jawapan kepada Romita pada 22 April lalu yang menolak permohonan tersebut dengan alasan `Abdul Mutalib adalah pendatang yang tidak dikehendaki’.

Menurut Hamdan, Suhakam memandang berat perkara tersebut kerana ia merupakan pelanggaran hak seseorang individu dengan alasan yang tidak munasabah serta untuk menakutkan mereka.

“Perbuatan ini sangat serius dan tidak bermoral...ia tidak boleh dibiarkan kerana ia menjatuhkan imej negara di kalangan masyarakat antarabangsa,” katanya kepada wartawan selepas menerima memorandum tersebut.

Hamdan berkata, meskipun Romita merupakan seorang warganegara Indonesia tetapi anak-anaknya memegang kerakyatan negara ini.

“Adalah merupakan satu kezaliman apabila cuba memisahkan anak-anak dengan ibu mereka setelah bapa mereka ditangkap dan dihantar pulang,” katanya.

Beliau berkata, Romita perlu mendapat layanan yang adil kerana beliau bukan penjenayah dan kerajaan tidak pernah mendakwa beliau sebagai penjenayah.

Perlu baharui visa

Menurutnya, Romita perlu diberi peluang tinggal di Malaysia kerana semua anaknya mendapat kerakyatan negara ini.

Dalam aduannya kepada Hamdan, Romita mendakwa, lima surat rayuan kepada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri sejak dua bulan lalu tidak mendapat sebarang jawapan.

Bagaimanapun, katanya, pada 5 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri telah menghantar satu surat kepadanya dengan mengatakan `kes ini telah dibawa untuk pengetahuan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri’.

“Visa saya akan tamat September ini dan tanpa suami, ia tidak boleh diperbaharui kerana pembaharuan visa terpaksa dibuat oleh suami warga negara atau penduduk tetap,” katanya.

Romita mendakwa, beliau cuba membuat permohonan untuk mendapatkan permit masuk dan taraf penduduk tetap, tetapi Jabatan Imigresen enggan menerima permohonan beliau.

Bagaimanapun, permohonannya untuk terus tinggal di negara ini mendapat sokongan daripada 6,517 individu di mana tandatangan mereka akan dihantar kepada Abdullah, Azmi dan Suhakam.



------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke