Mungkin perlu diterapkan di Indonesia juga, larangan pemain import di
Liga.


Ada sokong, ada menentang


Oleh ABD. HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
menghentikan penggunaan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia mulai
musim depan mendapat reaksi berbeza daripada beberapa jurulatih dan
pengurus tempatan sehingga ada segelintir daripada mereka kurang senang
dengan langkah drastik itu.

Jurulatih negara, B. Sathianathan menyifatkan arahan itu sebagai satu
langkah yang baik memandangkan ia telah membuka semula peluang untuk
pemain tempatan khususnya penyerang membuktikan kemampuan sebenar.

"Taraf pemain import sekarang pun kecuali beberapa orang, tiada bezanya
dengan pemain tempatan. Jadi jika mereka tiada, semua pasukan akan
kembali berharapkan pemain tempatan dan keupayaan dan kemantapan skuad
negara hanya boleh diukur menerusi pengalaman dan kekerapan bermain
dalam liga.

"Kebanyakan pasukan memang gemar mengambil penyerang import dan
tempatnya dalam kesebelasan utama sudah tetap kecuali jika ada
kecederaan atau digantung.

"Saya fikir masanya (larangan pemain import) memang tepat sekali.
Mengambil mereka memerlukan kos yang besar tetapi jika timbul masalah
gaji pemain banyak pasukan tidak berbayar, mengapa perlu lagi
diteruskan? Lebih baik kita berjimat cermat," katanya.

Sathianathan yang cukup terasa dengan ketandusan pengalaman pemain
negara gara-gara kurang beraksi dalam perlawanan liga ketika menentang
Chelsea Selasa lalu, mengulas mengenai keputusan Majlis FAM untuk
menolak semula khidmat pemain import seperti yang dilakukan pada 1999
hingga 2001.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mendedahkan betapa kemunculan
pemain import dalam Liga Malaysia masih gagal menyumbangkan sesuatu yang
membina kepada kemajuan bola sepak negara apatah lagi tidak mencapai
tahap yang sepatutnya dan tiada daya tarikan penonton untuk menghadiri
stadium.

Dalam pada itu, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah yang bakal
kehilangan penjaring terbanyak liga, Marlon Alex James, Nelson Sam
Martin dan Cornelius Bernard Huggings berkata: "Ia satu keputusan yang
berat hati untuk diterima tetapi sebaliknya, ia memberikan ruang kepada
semua negeri dan kelab mengerah bakat dan kemampuan sebenar pemain
tempatan mereka khususnya belia.

"Mutu persaingan liga kita masih boleh meningkat sekalipun tanpa tonggak
import dan mungkin inilah peluangnya untuk pemain tempatan mencapai
kematangan dengan lebih pendedahan perlawanan," katanya.

Ramlan Rashid yang mengemudi Johor FC mara ke suku akhir Piala Malaysia
daripada Kumpulan B, berkata: "Ada atau tidak pemain import pun bukan
faktor utama kehadiran ramai penonton ke stadium. Selagi sesebuah
pasukan itu yang tidak berjaya dalam sebarang pertandingan, pemain
import mana pun tidak akan membantu. Ini memang budaya bola sepak kita."

Keputusan FAM bagaimanapun kurang disenangi pengurus pasukan Selangor,
Zakaria Ab. Rahim yang mendakwa telah menentangnya sejak sesi
percambahan fikiran beberapa minggu terdahulu dengan menawarkan sedikit
kelonggaran berhubung khidmat import.

"Ketika itu saya dengan Dollah Salleh (jurulatih Selangor) menyarankan
supaya pasukan yang mempunyai kemampuan kewangan, bebas untuk mengambil
pemain import kerana saya tidak nampak, kehadiran mereka boleh
menimbulkan persaingan yang tidak adil kepada pasukan lain tanpa
import," katanya.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim yang mengambil
alih pasukan pada pertengahan musim liga daripada Abdul Rahman Ibrahim
pula mempertikaikan ketepatan masa bagi FAM mengumumkan larangan itu
sedangkan Piala Malaysia hanya akan berakhir bulan ini dengan turut
melibatkan ramai lagi pemain import. 

"Tumpuan dan prestasi pemain import saya pun agak terjejas. Mengapa
langkah ini diumumkan terlalu awal? Piala Malaysia pun baru mahu nak
masuk suku akhir dan khidmat mereka mungkin masih digunakan lagi dalam
lima perlawanan termasuk sekiranya dua ke perlawanan akhir (23 Ogos),"
katanya yang pernah menjadi jurulatih import Liga Indonesia di Persipura
Jayapura.

 



[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke