http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Susilo didakwa bertanggungjawab keluarkan Sri Mulyani

JAKARTA 7 Mei - Mesyuarat pagi antara bekas Menteri Kewangan, Sri Mulyani 
Indrawati dan pegawai-pegawai kanan kementeriannya pada Rabu lalu, mungkin 
mendedahkan kisah sebenar di sebalik 'keputusan mendadak' menteri pro-reformasi 
itu keluar dari Kabinet Indonesia.

Semasa mesyuarat, Sri Mulyani memberitahu, tawaran kerja sebagai Pengarah 
Urusan Bank Dunia itu 'tidak boleh dirunding' dan diarahkan oleh Presiden 
Susilo Bambang Yudhoyono, menurut pegawai-pegawai yang menghadirinya.

Sri Mulyani dilaporkan menunjukkan surat pengesahan pelantikannya berkuat kuasa 
1 Jun ini. 

''Kami difahamkan bahawa Sri Mulyani tidak pernah memohon jawatan tersebut, dan 
sebenarnya tidak ada rancangan untuk meletak jawatan. Tetapi beliau diarahkan 
oleh Presiden Susilo pada Isnin lalu untuk menerimanya,'' kata pegawai itu 
kepada The Jakarta Post.

Seorang lagi pegawai mendakwa Susilo menghubungi Presiden Bank Dunia Robert 
Zoellick pada Jumaat lalu, menawarkannya supaya mengambil Sri Mulyani dan ia 
dilakukan tanpa menanya pendapat menteri itu sendiri.

Sri Mulyani enggan memberi ulasan mengenainya. Tetapi disebabkan pemergiannya 
disifatkan sebagai 'mendadak', spekulasi rancak mengatakan Susilo dengan 
sengaja memaksa Sri Mulyani meletak jawatan ekoran tekanan politik daripada 
pelbagai pihak.

Susilo mengumumkan kelmarin bahawa beliau sudah meluluskan permintaan Sri 
Mulyani untuk tugas baru tersebut pada hari yang sama beliau menerima 
perletakkan jawatannya.

Pemergian Sri Mulyani, kata The Jakarta Post, seakan mengesahkan laporan akhbar 
itu bahawa Susilo merancang untuk menggantikan Sri Mulyani ekoran tekanan 
daripada pengerusi Parti olkar, Aburizal Bakrie. 

Aburizal, yang merupakan pemilik Kumpulan Bakrie, diketahui umum bertelingkah 
dengan Sri Mulyani berhubung program-program reformasinya.

Penggubal undang-undang yang diterajui Golkar, berusaha sejak lapan bulan lalu 
untuk menyingkirkan Sri Mulyani dan Naib Presiden Boediono berhubung peranan 
mereka dalam menyelamatkan Bank Century semasa kemuncak krisis kewangan pada 
2008.

''Dengan keluarnya Sri Mulyani dari kabinet mungkin menunjukkan wujud kompromi 
antara Susilo dan Aburizal,'' kata penganalisis politik dari Institut 
Reformasi, Yudi Latief. 

Katanya, perjanjian politik itu mungkin tidak terhad kepada kes Bank Century 
tetapi meluas kepada kepentingan lain bagi memastikan perniagaan Kumpulan 
Bakrie bebas daripada sebarang halangan.

Pegawai kanan Golkar, Ade Komaruddin pula menafikan tuduhan yang mengatakan 
Aburizal dan Golkar mempunyai tangan dalam pemergian Sri Mulyani. - AGENSI

Kirim email ke