http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

WikiLeaks akan siar lagi dokumen sulit

STOCKHOLM 15 Ogos - WikiLeaks akan menyiarkan baki 15,000 dokumen mengenai 
perang di Afghanistan dalam tempoh sebulan ini, tanpa menghiraukan amaran 
daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pentagon telah memberi amaran, maklumat rahsia tersebut akan membawa kerosakan 
lebih besar terhadap keselamatan dan mengancam lebih banyak nyawa berbanding 
kesan daripada kira-kira 76,000 dokumen perang yang disiarkan oleh WikiLeaks 
sebelum ini.

"Pertubuhan ini tidak gentar dengan ugutan Pentagon atau mana-mana kumpulan 
lain.

"Kami akan mengambil langkah berhati-hati dan selamat dengan bahan itu," kata 
pengasas WikiLeaks, Julian Assange kepada wartawan di sini semalam. 

Katanya, jika pegawai pertahanan AS mahu dilihat sebagai memajukan demokrasi, 
mereka 'mesti melindungi apa yang dianggap oleh para pengasas AS sebagai nilai 
utama mereka, iaitu kebebasan media'.

"Sesuatu yang membimbangkan bukan sahaja bagi media tetapi juga bagi Pentagon 
sendiri jika Pentagon membuat tuntutan berunsur ugutan supaya tapisan dikenakan 
ke atas sesebuah pertubuhan media," ujar warga Australia itu.

Menurutnya, WikiLeaks sudah melakukan 'semakan baris demi baris' terhadap 50 
peratus daripada 15,000 dokumen dan 'nama pihak-pihak tidak bersalah yang 
menghadapi ancaman cukup besar' akan dipadamkan daripada bahan tersebut.

WikiLeaks akan bekerjasama dengan rakan-rakan media semasa menyiarkan baki 
dokumen itu, kata Assange tanpa mendedahkan identiti mereka.

Fail-fail pertama dalam Afghan War Diary yang disiarkan oleh WikiLeaks 
mendedahkan dokumen sulit tentera AS mengenai perang di Afghanistan dari 2004 
hingga 2010. 

Penyiaran dokumen itu membangkitkan kemarahan pegawai AS, menaikkan semangat 
pengkritik kempen pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu, dan 
menarik perhatian Taliban yang berikrar untuk menggunakan maklumat yang 
didedahkan bagi menjejaki rakyat Afghan yang dianggapnya pengkhianat.

Pendedahan maklumat sedemikian turut mencetuskan kebimbangan beberapa 
pertubuhan hak asasi manusia yang beroperasi di Afghanistan, termasuk Wartawan 
Tanpa Sempadan yang menuduh WikiLeaks bersikap sangat bertanggungjawab kerana 
menyiarkan dokumen itu dalam talian. - AP




Kirim email ke