http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2017/07/17/rakyat-miskin-indonesia-meningkat/


Rakyat Miskin Di Indonesia Meningkat

Diterbitkan: Isnin, 17 Julai 2017 6:01 PM

image:
http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2014/04/20/12/44/jakarta.ashx?w=620&h=413&crop=1&/

[image: Jakarta]

- Gambar hiasan


*JAKARTA:* Jumlah rakyat miskin di Indonesia dilaporkan semakin meningkat
 berikutan semakin ramai rakyat negara itu tidak mampu untuk mendapat
jumlah makanan sepatutnya yang diperlukan oleh tubuh badan manusia dalam
sehari.

Laporan terkini Badan Pusat Statistik (BPS) republik itu melaporkan jumlah
penduduk miskin di Indonesia meningkat hampir 10,000 orang dalam tempoh
enam bulan iaitu sejak September 2016 hingga Mac 2017.

Ketua BPS Rusman Heriawan dipetik oleh media-media dalam talian sebagai
berkata, jumlah penduduk yang miskin kini adalah 27.77 juta orang
berbanding 27.76 juta orang bagi tempoh enam bulan tahun sebelumnya iaitu
Mac-September 2016.

Katanya, antara penyumbang kepada peningkatan kemiskinan bagi tempoh itu
termasuklah berlaku keterlambatan pengedaran bantuan beras atau dikenali
sebagai program Beras Sejahtera kepada rakyat miskin pada awal tahun ini.

Tahap kemiskinan di Indonesia diukur berdasarkan kemampuan memiliki
keperluan makanan harian dan keperluan harian bukan makanan.

Keperluan hidup minimum ialah untuk mengambil makanan sebanyak 2,100 kalori
per orang per hari dan keperluan minimum bukan makanan adalah seperti
perumahan, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Indonesia adalah antara negara yang mempunyai penduduk terpadat di dunia
dengan jumlah penduduknya melebihi 260 juta orang dan berdasarkan bancian
terbaharu itu, lebih 10 peratus jumlah penduduk negara itu itu
diklasifikasikan sebagai miskin.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut daerah yang paling ramai mempunyai
penduduk miskin di Indonesia tetapi menurut laporan media, Papua adalah
wilayah yang paling miskin di negara itu walaupun wilayah itu mengeluarkan
emas sebagai hasil buminya.

-Bernama

Kirim email ke