SUNGAI PETANI - Seorang gadis berusia 16 tahun sanggup menggunakan alasan
bapanya sakit lumpuh ketika diminta menghubungi waris akibat dicekup
bersama teman lelaki di sebuah taman rekreasi, di sini, kira-kira jam 11.15
malam kelmarin.
Seorang lagi gadis berusia 18 tahun ditemui dalam keadaan berbalut selimut
kerana didapati tanpa seurat benang ketika serbuan dilakukan di sebuah
rumah tumpangan di sekitar bandar ini kira-kira jam 3 pagi semalam.
Itu antara situasi yang berlaku ketika operasi cegah maksiat dilakukan
anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda yang bermula tengah
malam kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Rondaan di kawasan panas
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abd Mutalib yang mengetuai
operasi berkata, operasi dijalankan 16 anggota penguatkuasa itu turut
mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Daerah Yan dan Pejabat Agama
Daerah Kulim.
Menurutnya, rondaan dilakukan di kawasan 'panas' selain tempat rekreasi dan
rumah tumpangan sekitar Sungai Petani.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul
Abidin berkata, tinjauan ke lokasi panas dekat sebuah taman rekreasi
menemui beberapa pasangan kekasih yang berkelakuan tidak sopan termasuk
duduk berdua-duaan dalam keadaan gelap.
Menurutnya, alasan yang digunakan seorang gadis berusia 16 tahun dengan
mengatakan bapanya terlantar akibat lumpuh semata-mata bertujuan mahu
meraih simpati penguatkuasa selain mahu 'melepaskan diri' dari dikenakan
tindakan.
“Perempuan itu yang dicekup bersama kekasihnya berusia 18 tahun ditemui
dalam keadaan mencurigakan di sebuah kerusi dalam taman rekreasi terbabit,”
katanya.
Bagaimanapun, katanya, alasan itu hanyalah rekaan semata-mata kerana bapa
yang dimaklumkan lumpuh pada mulanya telah tampil bagi memberi keterangan
setelah dihubungi pejabat agama.
Menurut Zaiferi, selain pasangan terbabit, dua lagi pasangan turut
dikenakan tindakan sama apabila mereka diberi amaran dan saman ketika
ditemui dalam keadaan mencurigakan dekat Jeti Semeling.
"Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah
(Kedah) 1988 iaitu melakukan perbuatan atau kelakuan tidak sopan di tempat
awam waktu siang dan malam.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman denda sebanyak RM1,000 atau
penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,"
katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 10 pasangan kekasih yang ditemui turut
diberi amaran oleh penguatkuasa agama.
Memadu kasih di rumah tumpangan
Sementara itu, katanya, operasi diteruskan ke rumah tumpangan sekitar pusat
bandar yang turut menjadi tumpuan pasangan kekasih melampiaskan nafsu.
Katanya, serbuan ke atas sebuah bilik pada jam 2.45 pagi semalam mendapati
pasangan kekasih masing-masing berusia 23 tahun sedang bermadu kasih dalam
bilik berkenaan.
“Difahamkan, kedua-duanya baru sahaja selesai menghadiri sebuah majlis
keramaian yang diadakan pada malam tadi (semalam) sebelum salah seorangnya
berasa sakit kepala dan letih.
“Keadaan itu dijadikan alasan mereka yang menetap di Pulau Pinang kerana
tidak dapat pulang dan bermalam di rumah tumpangan terbabit,” katanya.
Menurut Zaiferi, serbuan ke atas bilik berikutnya mendapati seorang gadis
berusia 18 tahun menutupi keseluruhan badannya dengan kain selimut kerana
dipercayai berada dalam keadaan bogel.
“Pasangan kepada kekasih berusia 23 tahun ini dikatakan bekerja sebagai
nelayan dan menetap di sempadan Pulau Pinang juga memberi alasan baru
pulang dari majlis keramaian sama,” katanya.
Hasil siasatan selanjutnya mendapati sebuah bilik yang dihuni pasangan
kekasih remaja turut diserbu.
“Kami menunggu hampir 10 minit sebelum pintu dibuka setelah amaran keras
diberikan beberapa kali,” katanya.
Menurutnya, apabila disiasat, seorang wanita berusia 22 tahun berasal dari
Tikam Batu berada di dalamnya, turut ditemui, kekasihnya berusia 29 tahun
dikatakan berasal dari Pulau Pinang.
Hasil pemeriksaan lanjut dalam bilik pasangan berkenaan turut menemui berus
serta ubat gigi yang baru dibeli dalam beg plastik dipercayai digunakan
pasangan terbabit.
Menurutnya, laporan polis berhubung ketiga-tiga pasangan dibuat di Balai
Polis Sungai Petani sebelum kesemuanya dibawa ke pejabat agama untuk
tindakan selanjutnya.
Tindakan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah
Syariah (Kedah) 1988 iaitu bersekediaman, bersekedudukan, berkurung,
bersembunyi atau bersama wanita bukan mahram.
Hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya atau
ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan sekiranya
didapati bersalah.
Pantau anak, bawa sijil nikah
Sementara itu, Radzi menasihatkan ibu bapa atau penjaga memantau pergerakan
anak-anak terutama remaja agar tidak terjebak dalam perbuatan maksiat.
Beliau berkata, bagi pasangan yang sudah bernikah, mereka diminta agar
sentiasa membawa sijil pernikahan bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
“Ketika serbuan dilakukan, turut menjumpai pasangan berkahwin yang menghuni
rumah tumpangan, bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi apabila kedua-duanya
tidak membawa sijil nikah,” katanya.
Menurutnya, keadaan lebih rumit apabila penguatkuasa terpaksa mengambil
tindakan sebelum membuat carian atau pemeriksaan pendaftaran perkahwinan di
pejabat agama terlibat.
--
Posted By apa tu to Says Blog on 12/30/2013 02:51:00 pm
--
GudangMedia || MEDIA - Bertukar Informasi ||
-
Site Milis:
http://groups.google.com/group/gudangmedia
Blog:
http://gudangmedia.blogspot.com
Facebook Page:
http://www.facebook.com/MilisGM
Twitter:
http://twitter.com/MilisGM
Donasi:
http://pendek.in/0xn7
-
---
Anda menerima pesan ini karena Anda berlangganan grup "GudangMedia" dari Grup Google.
Untuk berhenti berlangganan dan berhenti menerima email dari grup ini, kirim
email ke gudangmedia+berhenti [email protected] .
Untuk opsi lainnya, kunjungi https://groups.google.com/groups/opt_out.