Isnin 22 Januari 2007 | 3 Muharam 1428 Hijrah                                   
 Dangkalnya Najib kerana lupa sejarah diri                                      
                                                                              
Mat Zain Mat Isa      
         Mon | Jan 22, 07 | 11:59:28 AM                              DALAM 
ucapannya sewaktu berkempen bagi Pilihan raya Kecil DUN Batu Talam semalam, 
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak antara lain 
telah melakukan serangan peribadi terhadap calon Bebas, Ng Chee Pang. Petikan 
ucapan beliau di Felda Tersang, Raub itu disiarkan tv nasional menerusi slot 
berita pukul 8:00 malam. 
Lebih kurang kata Najib, kalau ada orang di situ yang memilih calon Bebas yang 
berumur 21 tahun sembilan bulan, dan tak ada pengalaman dalam politik, 
berbanding calon Barisan Nasional (BN) yang berumur 47 tahun dan punya 
pengalaman luas dalam berbagai bidang, beliau kata, "ada sesuatu yang tidak 
kena." 
 Ungkapan akhir itu disertakan dengan gerak tangannya yang mengarahkan jari 
telunjuknya ke arah kepala. Najib senyum sinis. Suara gelak tawa hadirin juga 
jelas kedengaran. 
Sekali dengar, perkara itu bunyinya biasa saja. Bagaimanapun mengambil kira 
Najib adalah pemimpin utama negara, ucapan yang merendah-rendahkan peribadi 
calon lawan tidak sepatutnya keluar dari mulut beliau di atas beberapa sebab: 
Pertama, tindakan menyerang peribadi lawan atau character assasination adalah 
suatu yang tidak bermoral dan tidak dapat diterima oleh mana-mana pihak, walau 
pun dalam peperangan. 
Kedua, secara rasionalnya, apakah benar soal umur menjadi faktor penentu utama 
kelayakan seseorang dipilih sebagai pemimpin? Najib sebagai pemimpin nasional 
patut mendalami sejarah perjuangan tokoh-tokoh politik negara, sama ada dari 
parti pemerintah atau pembangkang. 
 Berikut adalah antara contoh beberapa pemimpin yang sudah mewarnai persada 
politik negara di usia muda mereka: 
 Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mula bertanding salam sebagai calon 
Perikatan-Umno dan memenangi kerusi Parlimen Melaka Luar dalam Pilihan raya 
Umum 1955. 
 Ghafar yang dilahirkan pada 18.02.1925, ketika itu baru berusia 30 tahun. 
Dalam pilihan raya umum berikutnya pada 1959, Ghafar menang pula di kerusi DUN 
Tanjong Kling, Melaka dan diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka. 
 Sejak itu beliau tidak pernah kalah dalam setiap pilihanraya umum yang 
disertainya, sehingga Pilihanraya Umum 1999 lalu di Parlimen Batu Berendam. 
 Dato' Shahrir Abd Samad lahir pada 22.11.1949, mula memenangi kerusi Parlimen 
Johor Bahru dalam Pilihan raya Umum 1978. Ketika itu usianya baru 29 tahun. 
Apakah kerana usia mudanya maka dia tidak cemerlang dalam khidmatnya sebagai 
wakil rakyat? 
 Kemenangannya mempertahankan kerusi itu tiga penggal selanjutnya membuktikan 
usia bukan faktor utama yang dipilih masyarakat. Bahkan, populariti Shahrir 
mengatasi batas parti. 
 Dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada 25 Ogos 1988, Shahrir yang 
bertanding sebagai calon Bebas berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti yang 
sangat besar. 
 Beberapa contoh lagi ialh Abdul Wahab Yunus (PAS) yang menang di DUN Ulu 
Dungun, Terengganu pada PRU 1964 ketika berusia 23 tahun; Larry Sng Wei Shien, 
calon BN (PBDS) menang di DUN Pelagus dalam PRU Negeri Sarawak 2001 pada usia 
22 tahun; dan Tan Sri Lee Lam Thye (DAP) menang di DUN Bukit Nanas, Selangor 
dalam PRU 1969 juga ketika berusia awal 20-an. Dia menjadi wakil rakyat 
sehingga tahun 1990. 
 Ketiga, sejarah penglibatan politik Najib sendiri adalah di awal usia 20-an. 
Dia dilahirkan pada 23.07.1953. Bapanya, Tun Abdul Razak Dato' Hussein 
meninggal pada 14.01.1976. Pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan 
kerusi Parlimen Pekan. 
 Najib yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas meletakkan 
jawatannya dan bertanding sebagai calon BN. Usianya baru 23 tahun. 
 Pengalaman politik? Tiada! Tapi apakah dia ditolak rakyat kerana usia 
mentahnya? Dia menang pilihan raya kecil itu dan dalam pilihan raya umum dua 
tahun kemudian terus mempertahankan kerusi itu. 
Lebih ketara lagi, Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom & 
Pos (1978-80); Timbalan Menteri Pendidikan (1980-81) dan Timbalan Menteri 
Kewangan (1981-82). 
 Dalam PRU 1982, Najib menang di DUN Bandar Pekan. Dalam usia 29 tahun itu 
beliau dilantik sebagai MB Pahang. Senarai jawatan Najib ini bukan untuk 
mempromosi beliau. Ia sebagai membuktikan bahawa dalam politik Malaysia, soal 
umur muda bukan faktor utama seseorang menjadi pilihan rakyat. 
Bukan juga menyokong calon Bebas yang dikatakan dari keluarga DAP. Fakta di 
atas adalah sebagai membuktikan hujah Najib di Felda Tersang semalam sebagai 
suatu yang sangat dangkal dan tidak bersandarkan fakta sejarah. Lebih teruk 
lagi, ucapan Najib itu membuktikan beliau sebagai seorang pemimpin yang lupa 
sejarah diri sendiri. 
 Najib adalah TPM yang jika berlaku apa-apa terhadap PM, maka dialah calon 
utama menjadi pemimpin nombor satu negara. Namun, menilai hujah dangkalnya di 
Felda Tersang semalam mendorong rakyat mempertikaikan kelayakan beliau. 
 Apakah beliau sendiri selaku peneraju kempen BN di Batu Talam sudah tiada 
hujah lain nak diutarakan, selain soal umur?    
 
 
---------------------------------
8:00? 8:25? 8:40?  Find a flick in no time
 with theYahoo! Search movie showtime shortcut.

Kirim email ke