Melangkah ke universiti wartawan realiti                            
                         
                        
                                       Intan Abdullah      
         Thu | Feb 08, 07 | 09:34:17 AM                        Menjadi wartawan 
bukanlah semudah disangka. Mungkin ada sebilangan daripada kita yang 
beranggapan begitu. Namun bagiku, ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab 
yang cukup berat dan besar. Masyarakat memandang ia kerja yang dilingkungi oleh 
informasi dan publisiti.


  Hari ini (8 Februari) merupakan hari keempat aku menjadi seorang wartawan, 
walaupun masih dalam latihan. Ketika ini ada beberapa tugasan untuk 
diselesaikan. Aku masih melihat ia adalah bukan sekadar melaporkan kejadian dan 
menulis kenyataan mahupun pandangan orang; bahkan lebih daripada itu.


  Justeru, ia memerlukan satu kekuatan jiwa dan rohani yang mantap agar apa 
yang dinukilkan boleh menyentuh hati dan sensitiviti masyarakat.


  Menjadi wartawan bukan seperti kerja masuk jam 9 pagi balik pukul 6 petang 
seperti rutin biasa pekerja-pekerja di kebanyakan syarikat lain.


  Tetapi, ia bergantung kepada kerja yang dibuat itu dapat diselesaikan dengan 
baik tanpa mengira masa. Apatah lagi jika apabila menjelang tarikh akhir 
sebelum akhbar dicetak. Kebiasaannya ketika itu, ramailah yang bersengkang mata 
melangsaikan berita yang bakal menghiasi dada akhbar buat tatapan masyarakat.


  Seperti biasa, aku sedang belajar untuk menjadi wartawan. Minggu ini, aku 
mengikuti wartawan kanan untuk tugasan daripada pelbagai latar belakang isu. Di 
sini, aku cuba mengenal pasti cara yang terbaik untuk mendapatkan maklumat dan 
sudut-sudut tertentu yang boleh dijadikan fokus untuk berita yang bakal 
dilaporkan nanti.


  Tidak ketingalan cara, corak penulisan berita dan individu yang perlu 
dihubungi bagi mendapatkan 'input' yang diperlukan bagi memastikan kesahihan 
berita tersebut.


   Menulis berita bukan seperti menulis cerita...agak sukar tetapi itulah 
realiti yang cuba digambarkan. Ketua Pengarang Harakah, Saudara Lutfi Othman 
mengumpamakan ini adalah satu universiti bagiku untuk mempelajari bidang ini 
tanpa ada silibus yang khusus untukku.


  Pensyarah-pensyarahnya adalah para wartawan kanan yang sentiasa bersedia 
memberikan tunjuk ajar kepadaku mengenai sebarang masalah. Cuma aku yang segan 
untuk bertanya segala benda yang bertanda soal di kepalaku...


  Apapun ini merupakan suatu realiti bagi diriku yang tiada asas dalam bidang 
ini - mempelajari sesuatu yang baru selagi nyawa masih di kandung badan.


  Kehidupan ini adalah suatu universiti, bukan di institusi pengajian tinggi 
(IPT) sahaja ilmu boleh dituntut. Bahkan ia perlu terus dilengkapi kerana 
menuntut ilmu itu adalah tuntutan daripada buaian sehinggalah ke liang lahad.


  Kita akan hanya mendapat keputusannya di akhirat kelak, sama ada kita lulus 
ataupun gagal. Kalau lulus, alhamdulillah dapat mengecapi nikmat syurga dan 
jika gagal tunggulah azab yang akan diterima. Tetapi jika kita berada IPT lain 
pula ganjarannya...
  Itulah realiti kehidupan. Tugas seorang wartawan bukan sekadar apa yang 
digambarkan oleh kebiasaan yang kita fikirkan. Apatah lagi jika bergelar 
wartawan Muslim. dengan agenda Islam yang dibawa, rasanya akulah orang yang 
paling tidak layak dan tidak tahu menjalankan peranan seperti yang dituntut.


  Segalanya kuserahkan kepada Allah agar terus diberikan iman untuk meneruskan 
perjuangan ini...Amin.


  Intan Abdullah, 27, menyertai Harakahdaily pada 5 Februari 2007. Bekas 
pembantu audiologi ini tiada langsung pengalaman dalam bidang kewartawanan. 
Artikel ini adalah percubaan pertama beliau dalam bidang penulisan.
*Dari Moderator: Berikanlah sokongan moral serta doa kepada wartawan wartawan 
yang berjuang untuk mendapatkan berita untuk pembaca budiman, terutamanya yang 
membawa berita perjuangan seperti yang dilakukan oleh mereka di Harakahdaily, 
PASTV, Kelantan TV, Tranaungkita dan banyak lagi. 
   

                
---------------------------------
 Yahoo! Photos – NEW, now offering a quality print service from just 7p a photo.

Kirim email ke